≡ Menu

“Agama bukan periuk nasi” Respon Menteri Tentang Isu Penceramah Didakwa Disekat Masuk TV dan Radio

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf berkata dalam menyampaikan ilmu tidak timbul isu mengganggu periuk nasi. Katanya berhubung dakwaan beberapa penceramah bebas bahawa kerajaan cuba menutup periuk nasi mereka dengan menghalang memberi ceramah di televisyen dan radio.

Bagi Mujahid, dakwaan itu menunjukkan mereka ‘menjaja agama’ dalam mencari rezeki dan ia bertentangan dengan perjuangan sebenar seorang pendakwah agama. “Bila ada ustaz cakap menutup periuk nasi mereka itu bermaksud mereka ‘menjaja agama’ untuk cari makan dan itu tidak betul kerana dalam penyampaian ilmu, tidak timbul isu ganggu periuk nasi orang.

“Agama bukan periuk nasi, tapi agama kena sampai ilmu,” katanya yang turut mengulas lanjut isu tular satu senarai penceramah yang tidak dibenarkan muncul di televisyen atau radio bermula Januari 2019. Mujahid yang ditemui di Konvensyen Nasional Amanah 2018, berkata pejabatnya tidak pernah mengeluarkan arahan atau menyekat mana-mana penceramah untuk berdakwah sebaliknya memberi nasihat kepada golongan berkenaan agar mengikut tiga teras utama yang diperjuangkan.

“Selama ini kita nasihatkan agar penceramah, pengkuliah yang nak muncul di televisyen atau dalam program kita mestilah fahami tiga teras kita perjuangkan iaitu Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Modul Malaysia. “Maknanya dalam apa juga yang mereka sampaikan selagi tidak bercanggah dengan tiga perkara ini maka kita alu-alukan, kita bukan nak sekat orang hanya kerana kita tak suka dia, tapi lebih kepada melihat content,” katanya.

BACA:  Bajet 2019: 4.1 Juta Isi Rumah Akan Terus Terima Bantuan Sara Hidup Ganti BR1M

Sebelum ini tular senarai nama 10 penceramah yang tidak digalakkan untuk ke udara di televisyen atau radio bermula Januari 2019 antaranya Datuk Mohd Kazim Elias, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali Syamsul Debat dan beberapa orang pencetus ummah. Penceramah terkenal Datuk Mohd Kazim Elias meluahkan perasaan sedihnya di media sosial. “Dengar khabarnya teman (saya) dah tak digalakkan untuk keluar dalam program di tv dan radio. Sedihnya. Nak nangis pula rasanya.

“Alhamdulillah dunia dakwah sangat luas. Janji, dakwah jalan terus. Yang sedihnya, bagi yang menyekat itu, apalah nak dijawab di hadapan Allah apabila disoal. “Sedangkan, menyampaikan dakwah itu adalah perintah Allah,” tulisnya di Facebook dan Instagram. Nama Ustaz Kazim diletakkan di tempat kedua dalam senarai

BACA:  7 Tanggungjawab Selepas Perceraian

10 penceramah selepas Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani. Penceramah lain yang turut tersenarai adalah Samsul Debat, Dr Redzuan Tee Abdullah, Ustaz Abdullah Khairi, Ustazah Norhafizah Musa, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Zamihan, PU Amin dan PU Syed. Walaubagaimanapun, PU Syed di laman Facebook miliknya mengakui beliau tidak kisah sekiranya dihalang daripada membuat kemunculan di TV dan radio.

Beliau boleh menyiarkan sendiri ceramahnya untuk diikuti secara langsung oleh penonton pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. “Kenapa nak bersedih? Relaks-relaks saja. Ambe disekat kerana tegur kerajaan. Jika ambe ampu kerajaan, nama ambe takkan tersenarai,” katanya. Menurutnya lagi beliau sering berdepan keadaan ‘dibuang’ daripada mengajar di masjid ketika zaman Barisan Nasional (BN) lagi. Beliau tidak takut kerana ujian ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan ujian diterima para nabi-nabi.

Sumber: Sinar Harian

 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.

error: Content is protected !!