≡ Menu

Doa Tetamu Buat Tuan Rumah

1. Ketika beraya, jangan lupa doakan buat Tuan Rumah. Rasulullah pernah menziarahi seorang sahabat Nabi bernama Saidina Busr. Beliau telah menjamu Rasulullah dengan makanan. Ketika ingin pulang, Saidina Busr berkata: Doakan kami Wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah mendoakan mereka:

اللهُمَّ بَارِكْ لَهُم فيما رَزَقتهْمْ، واغْفِر لهم وارحَمْهُم

“Ya Allah berkatilah mereka dengan rezeki yang engkau berikan kepada mereka, ampunilah mereka dan rahmatilah mereka.” (HR Muslim).

2. Berdasarkan hadith ini, Sheikh Said al-Qahtani telah meletakkan satu topik khusus di dalam kitab Hisnul Muslim tentang doa si tetamu kepada tuan rumah yang memberi makan. Ia dinamakan sebagai:

دعاء الضيف لصاحب الطعام
(Doa tetamu kepada si pemberi makan)

BACA:  Fadhilat dan Kelebihan Surah Al-Mulk

Kaedah yang sama juga digunakan oleh al-Imam al-Darimi, al-Bayhaqi dan Ibn Hibban. Mereka meletakkan topik yang hampir sama dengan lafaz yang berbeza.

3. Berdasarkan hadith ini juga al-Imam al-Nawawi menyatakan tentang keharusan buat si tetamu untuk mendoakan Tuan Rumah yang memberi makan. Kata al-Nawawi:

وفيه استحباب طلب الدعاء من الفاضل، ودعاء الضيف بتوسعة الرزق والمغفرة والرحمة

“Hadith ini menunjukkan keharusan meminta doa daripada orang yang lebih baik dari kita, begitu juga keharusan berdoa oleh tetamu agar (Tuan Rumah) diberikan keluasan rezeki, keampunan serta rahmat dari Allah.

4. Pandangan yang sama dinyatakan oleh al-Imam Ibn Qudamah. Kata beliau:

ويستحب الدعاء لصاحب الطعام ; لما روى جابر بن عبد الله

BACA:  Adakah Banjir Besar Zaman Nabi Nuh Menenggelamkan Keseluruhan Manusia? Ini Jawapan Dari Mufti…

“Dan harus untuk mendoakan seseorang yang memberi makan kepada kita, ia adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir ibn Abdillah. (Ibn Qudamah, al-Mughni)

5. Biarpun hadith ini secara umumnya tidak menampakkan sunnah yang khusus tentang doa tetamu buat Tuan Rumah, ia adalah satu keharusan buat tetamu mendoakan kebaikan buat Tuan Rumah seperti yang dinyatakan oleh al-Imam al-Nawawi dan Ibn Qudama.

6. Di musim perayaan ini, marilah kita bersama mendoakan kebaikan terhadap mereka yang memberikan kita makan dengan lafaz yang pernah diucapkan oleh Rasulullah.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.

error: Content is protected !!