≡ Menu

Hukum Brazilian Wax Di Spa Bagi Bakal Pengantin!


Soalan:

Assalamualaikum, saya ingin bertanya apakah hukum melakukan brazilian wax untuk tujuan membuang bulu kemaluan di spa bagi bakal pengantin ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara umumnya mencabut atau mencukur bulu kemaluan adalah sebahagian dari fitrah sebagai umat Islam. Bahkan ia merupakan antara perbuatan yang disyariatkan berdasarkan apa yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ ـ أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ ـ الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

Maksudnya: Fitrah itu ada lima – atau lima perkara yang merupakan sebahagian dari fitrah – adalah berkhatan, memotong bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku, dan memotong misai.

Riwayat Al-Bukhari (5889)

Para ulama apabila mengulas kalimah الاِسْتِحْدَادُ (al-istihdad) daripada hadis di atas menyatakan, maksudnya adalah: ‘’Mencukur bulu kemaluan’’. Ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah beliau berkata: ‘’Istihdad adalah mencukur bulu kemaluan, iaitu bulu-bulu yang berada di sekitarnya’’. Lihat Tahrir Alfazh al-Tanbih, Al-Nawawi (Hlm. 253).

Manakala Imam al-Nafrawi dari kalangan fuqaha bermazhab Maliki pula menyatakan bahawa bulu-bulu yang berada di sekitar dubur juga turut dikira sebagai bulu kemaluan. Rujuk Al-Fawakih Al-Dawani, Al-Nafrawi (2/306).

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, Brazilian Wax atau dikenali juga dengan nama Bro-Zillian dan Boy-Zillian membawa maksud ‘’suatu rawatan kosmetik yang melibatkan pembuangan bulu ari-ari lelaki secara sepenuhnya melalui proses yang disebut waxing (pelilinan)’’.

Manakala sumber ensiklopedia bebas Wikipedia mendefinisikan waxing sebagai ‘’Pelilinan (waxing) ialah suatu kaedah penanggalan bulu separa kekal yang mencabut keluar bulu badan dari akarnya dengan menggunakan bahan berasaskan lilin (wax) lalu bahagian tersebut boleh kekal dogol selama beberapa minggu – sekitar 4 hingga 6 minggu – namun bulu masih boleh tumbuh semula kerana kitaran pertumbuhan yang berbeza’’.

Melihat kepada suasana masa kini, proses brazilian wax ini menjadi suatu perkhidmatan yang dikenakan bayaran kepada mereka yang ingin melakukannya. Justeru, secara tidak langsung ia melibatkan dua pihak atau spesifiknya dua individu iaitu pelanggan dan staf (pekhidmat) yang menjalankan proses tersebut.

Merujuk kepada persoalan melakukan Brazilian Wax dengan tujuan membuang bulu ari-ari ini terdapat beberapa implikasi yang akan timbul yang kami perincikan melalui beberapa noktah yang berikut:

Pertama: Isu Aurat

Perkataan aurat merujuk kepada apa-apa yang diharamkan untuk didedah daripada anggota badan sama ada lelaki ataupun perempuan. Ia juga ditakrifkan sebagai suatu yang wajib ditutup dan tidak boleh dizahirkan daripada anggota badan. Menurut Imam al-Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat.

BACA:  6 Petanda Bermula 100 Hari Sebelum Tibanya Sakaratul Maut. Mohon Sebarkan Untuk Kebaikan..

Lihat Mughni al-Muhtaj, Al-Khatib al-Syarbini (1/185).

Seperti yang diketahui umum, aurat lelaki dengan lelaki adalah apa yang terdapat di antara pusat hingga lutut. Kata Imam al-Nawawi:

الصحيح المنصوص أنها ما بين السرة والركبة ، وليست السرة والركبة من العورة

Maksudnya: Pendapat yang sahih yang telah dinaskan adalah aurat lelaki itu apa yang berada di antara pusat dan juga lutut dan tidaklah pusat dan lutut itu termasuk daripada aurat.

Lihat Al-Majmu’, Al-Nawawi (3/173)

Justeru, haram hukumnya bagi seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain. Ini berdasarkan larangan ke atas hal tersebut seperti yang terdapat di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ

Maksudnya: Tidak boleh bagi seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki yang lain.

Riwayat Muslim (338)

Begitu juga aurat orang perempuan sesama perempuan adalah apa yang terdapat di antara pusat hingga lutut seperti yang disebutkan oleh para fuqaha’. Dan terdapat larangan bagi seorang perempuan itu melihat aurat perempuan yang lain. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

وَلاَ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ

Maksudnya: Dan janganlah seorang perempuan itu (melihat) kepada aurat perempuan yang lain.

Riwayat Muslim (338)

Oleh yang demikian, sekiranya staf yang melakukan Brazilian Wax merupakan seorang lelaki dan pelanggannya juga lelaki, atau stafnya perempuan dan juga pelanggannya perempuan maka sudah pastilah akan berlakunya pendedahan aurat dan ini adalah dilarang. Maka lebih utama akan pengharaman hal ini adalah apabila proses tersebut melibatkan staf dan pelanggan yang berlainan jantina.

Kedua: Isu Khalwat

Antara perkara yang perlu diberikan perhatian adalah apabila proses Brazilian Wax ini dilakukan secara berduaan bagi proses yang melibatkan pelanggan berlainan jantina. Tambahan pula sekiranya ia dilakukan di dalam bilik khas yang hanya menempatkan staf dan pelanggannya sahaja secara berdua. Hal ini adalah perkara yang dilarang di sisi syarak berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ

Maksudnya: Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya.

Riwayat Muslim (1341)

Imam Al-Nawawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini berkata: Maksud hadis ini adalah:‘’Janganlah seorang lelaki itu duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengannya mahramnya. Dan sekiranya seorang lelaki ajnabi itu berkhalwat bersama-sama dengan wanita ajnabiyyah tanpa ada yang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat oleh para ulama. Demikianlah juga (hukumnya) jika bersama-sama perempuan tersebut seseorang yang mereka tidak berasa malu dengannya disebabkan kecilnya dia seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia dua atau tiga tahun dan seumpamanya maka kewujudan anak tersebut sama seperti tidak ada orang’’. Rujuk Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (9/109).

BACA:  Kenali 41 NGO Pro-LGBT Yang Memfitnah JAKIM

Sekiranya ada yang mengaitkan proses perkhidmatan Brazilian Wax ini dengan rawatan yang berlaku antara doktor dan pesakit yang berlainan jantina atau proses berbekam yang melibatkan lelaki dan perempuan, maka kami nyatakan bahawa terdapat beberapa perbezaan dalam isu-isu tersebut.

Ini kerana dalam isu rawatan yang berlaku antara doktor dan pesakit yang berlainan jantina, hal ini dibenarkan kerana pesakit tersebut tidak boleh melakukan proses rawatan tersebut melalui diri sendiri. Demikian juga kebiasaan proses rawatan ini melibatkan pembantu-pembantu perubatan lain yang turut berada di tempat tersebut.

Demikian juga dengan isu bekam, dari sudut seorang perempuan hanya dibenarkan untuk melakukan rawatan bekam dengan orang lelaki sekiranya tidak ada orang perempuan yang lain yang boleh melakukan perkara tersebut. Bahkan ia disusuli dengan beberapa syarat sampingan seperti berikut:

Adanya keperluan dan dharurat untuk merawat melalui proses berbekam.
Tidak berlakunya khalwat antara lelaki dan perempuan yang dibekam. Ia sama ada mahram perempuan tersebut turut bersama ataupun mahram lelaki itu turut serta dalam tempat rawatan tersebut.
Lelaki yang menjalankan proses bekam itu tidak menyentuh tubuh badan perempuan tersebut sebaliknya menggunakan sarung tangan.
Ini berbeza dengan proses brazilian wax yang mana seseorang itu boleh sahaja melakukannya secara sendiri di rumah. Ini berikutan terdapatnya jualan wax tersebut di pasaran dan seseorang itu boleh sahaja membelinya dan melakukan ia secara sendiri di rumah. Bahkan ini lebih selamat dari sudut terdedahnya aurat ataupun terjebaknya seseorang dalam kancah khalwat. Demikian juga sekiranya tidak melalui proses Brazilian Wax ini pun seseorang itu boleh membuang bulu ari-arinya sendiri dengan pencukur seperti yang makruf dalam kalangan masyarakat.

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa sekiranya Brazilian Wax ini dilakukan dengan cara aurat pelanggan itu terdedah khususnya apabila melibatkan pembuangan bulu ari-ari dan ia dilihat oleh orang lain maka ini adalah diharamkan. Adapun Brazilian Wax yang melibatkan pembuangan bulu di betis, lengan atau dada, maka ianya adalah harus sekiranya yang melakukannya adalah staf yang sama jantina.

Isu pembuangan bulu-bulu di bahagian kaki, lengan, dada dan seumpamanya telah kami kupas secara panjang lebar menerusi artikel Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 177 : Hukum Mencukur Bulu Kaki Bagi Lelaki Dan Perempuan yang boleh di baca di pautan berikut https://bit.ly/2FemTLy

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Sumber:muftiwp

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.