≡ Menu

Hukum Lelaki Memakai Emas Putih

Soalan; assalamualaikum, ustaz.. saya sedia maklum bahawa emas (kuning) adalah haram dipakai oleh kaum lelaki. namun, adakah hukum yg sama dipraktikkan pada emas putih?.. terima kasih ustaz…

Jawapan;

Diharamkan ke atas orang lelaki memakai perhiasan dari emas berdalilkan beberapa hadis Nabi SAW antaranya sabda baginda;

حُرِّمَ لِبَاسُ الْحَرِيرِ وَالذَّهَبِ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي وَأُحِلَّ لِإِنَاثِهِمْ

“Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki-lelaki umatku dan dihalalkan kepada wanita-wanita mereka” (HR Imam at-Tirmizi dari Abu Musa al-Asy’ari RA. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).

Persoalan yang timbul; adakah emas putih benar-benar emas (yakni diperbuat dari logam emas) atau hanya pada nama sahaja? Untuk menjawab persoalan ini, perlulah kita rujuk kepada orang yang ahli tentang logam untuk mengetahui apa yang menjadi kandungan dalam emas putih itu.

Menurut kajian Syeikh Abdurrahman ad-Dautsari dalam bukunya az-Zahab al-Abyadh Haqiqatuhu Wa Ahkamuhu as-Syar’iyyah (Emas Putih; apa ia sebenarnya dan hukum Syarak tentangnya) dijelaskan bahawa menurut orang-orang yang ahli tentang logam dan juga tukang-tukang emas; Nama/istilah emas putih pada hari ini merujuk kepada dua;

  1. Merujuk kepada emas yang dicampur dengan Platinum (25%) atau Nikel (15%), terhasillah emas putih. Emas tulin tidak cukup keras untuk dijadikan perhiasan, kerana itu ia perlu dicampur logam lain untuk lebih keras di samping untuk mendapatkan warna berbeza. Bila dicampur dengan sedikit tembaga akan menjadikan emas berwarna kemerahan. Bila dicampur dengan perak ia kelihatan hampir putih. Bila dicampur dengan platinum dan nikel, ia menjadi emas putih. (halaman 34)
  2. Merujuk kepada logam platinum itu sendiri (tanpa kaitan dengan emas). Platinum bila dibuat perhiasan sebahagian orang memanggilnya emas putih. Sebenarnya ia bukan emas, cuma kerana warnanya putih dan harganya mahal maka ia dipanggil emas putih (sebagaimana petroleum dipanggil emas hitam). (Halaman 41).
BACA:  Huraian Lengkap Perkara-perkara Yang Mendatangkan Syirik

Merujuk kepada makna yang pertama, emas putih adalah emas pada nama dan hakikatnya. Maka ia tertakluk dengan hukum yang ditetapkan Syarak ke atas emas iaitu wajib dibayar zakat, haram berlaku riba, haram dipakai oleh kaum lelaki dan sebagainya lagi dari hukum-hakam yang ditetapkan Syarak ke atas emas.

Adapun merujuk kepada makna kedua, ia bukanlah emas pada hakikatnya. Hanya panggilan sahaja emas, namun sebenarnya ia bukan emas. Kerana itu ia tidak tertakluk dengan hukum emas. Harus bagi orang lelaki memakainya walaupun harganya lebih mahal dari emas kerana pengharaman hanyalah ke atas emas. Dalam kaedah Fiqh ada disebutkan “Yang diambil perkiraan ialah apa yang ada di sebalik nama, bukan pada nama semata-mata”.

BACA:  Awas Amalan Syirik Untuk Kaki Pancing

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Az-Zahab al-Abyadh Haqiqatuhu Wa Ahkamuhu as-Syar’iyyah, tulisan Syeikh Abdurrahman bin Fahd al-Qad’an ad-Dautsari .

.

error: Content is protected !!