≡ Menu

Kempen Larangan Merokok Di Tempat Makan Bukan ‘Hangat-Hangat Tahi Ayam’


Kementerian Kesihatan memberi jaminan bahawa kempen larangan merokok di tempat makan bukanlah bersifat “hangat-hangat tahi ayam” atau bermusim sebagaimana digusarkan oleh netizen di media sosial.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penguatkuasaan yang telah dilaksanakan sejak 1 Januari itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam menjadikan rakyat di Malaysia sebagai masyarakat maju menjelang 2020.

“Agak terlalu awal untuk mengukur kejayaan penguatkuasaan ini namun setakat ini kami mendapat maklum balas yang positif daripada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Promosi Tempat Makan sebagai Tempat Dilarang Merokok dan Pelancaran Program Restart (Restoran Tanpa Asap Rokok dan Tembakau) di sini hari ini.

BACA:  Waktu EMOSI, Jangan Up Apa-apa Di Media Sosial, Luahkan Saja Di Tikar Sejadah

Turut hadir ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata kementerian juga sedia menerima sebarang maklum balas dan cadangan daripada orang ramai bagi memastikan penguatkuasaan larangan merokok itu berjaya dilaksanakan.

“Kita juga akan mempertimbang cadangan ruangan khas untuk merokok sebagaimana yang dilaksana di Jepun namun dalam masa enam bulan ini kementerian akan memfokuskan penguatkuasaan secara mendidik dengan memberi amaran kepada mereka yang ingkar,” katanya.

Beliau berkata setakat dua hari pelaksanaan, kementerian telah melalukan pemeriksaan di 5,746 premis dan mengeluarkan notis amaran sebanyak 2,500 selain mengedarkan 14,237 risalah kesihatan kepada orang ramai.

BACA:  Larangan Merokok Di Semua Restoran Dan Premis Berkuatkuasa 1 Januari 2019

Dalam pada itu, Zuraida berkata kementeriannya akan turut memberi sokongan kepada usaha tersebut dari segi penguatkuasaan larangan berkenaan.

“Kempen larangan merokok ini hanya membabitkan 10 peratus ruang yang ada dan perokok boleh memilih 90 peratus lagi kawasan merokok yang lain… kita tidak akan menghalang hak untuk merokok,” katanya.

–BERNAMA

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.

error: Content is protected !!