≡ Menu

Polis Masih Belum Dapat Maklumat Acap Ditemui

Polis Perak tidak pernah menerima laporan daripada mana-mana pihak yang terlibat dengan pencarian peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan bahawa mangsa telah ditemui.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata mana-mana pihak tidak sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa menyertakan bukti dan fakta kerana ia hanya akan memburukkan keadaan.

“Kita (polis) tidak mahu mana-mana individu tularkan apa-apa perkara tanpa bukti dan fakta sebab ia akan mengguris hati keluarga Acap. Seperti (ada seorang) individu kononya telah membongkar kehilangan Acap dan telah memberitahu polis, itu adalah perkara tidak betul.

“Dia tidak datang kepada polis dan hanya tulis dalam Facebook, tularkan macam itu sahaja, jadi janganlah kita mengeruhkan keadaan dan menjadikan ia lebih kusut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program derma darah sempena Hari Polis ke-212 di Ipoh hari ini.

BACA:  RM22 Juta Dana Tabung Haji Disalurkan Untuk Aktiviti Politik?

Seramai 300 kakitangan Polis Diraja Malaysia, agensi kerajaan dan orang awam disasar hadir menderma darah bagi memastikan bekalan darah di hospital mencukupi.

Semalam, seorang individu memuat naik status mengatakan beliau dan rakan-rakan yang terlibat dalam misi mencari Acap telah menemui jawapan kehilangan pemuda dari Muar, Johor itu dan mendakwa ia telah diserahkan kepada wakil Ketua Polis Daerah dan hanya menunggu pengumuman rasmi oleh pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan mengenai kehilangan Acap dan telah merakam percakapan lebih tujuh individu termasuk anggota keluarga, rakan serta penganjur.

BACA:  Manis Berhijab, Lisa Surihani Mohon Doakan Dirinya Kekal Istiqomah

“Selain melakukan operasi mencari dan menyelamat, polis turut melakukan siasatan sekiranya wujud unsur khianat bagaimanapun hasil semakan telefon, bank dan kereta masih lagi macam tidak terusik dan tiada yang menjurus kepada khianat.

Dalam pada itu, Razarudin berkata pihak polis sekali lagi akan melaksanakan operasi mencari Acap di kawasan berlainan sekitar Gopeng pada Sabtu ini.

“Operasi ini bukan dalam skala besar tapi kita cuba cari di tempat lain yang diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Yahya Abd Rahman, kekuatan anggota belum diketahui lagi,” katanya.

– Bernama

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.

error: Content is protected !!