≡ Menu

“Sebagai Tuan Rumah Layan Pelawat Dengan Akhlak Yang Baik” – Mufti


Tidak dapat disangkal lagi kemenangan pasukan Malaysia yang menewaskan Indonesia dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno pada Khamis lepas.

Namun, kekecohan yang ditimbulkan oleh ‘tuan rumah’ sedikit-sebanyak merencatkan kemenangan Malaysia apabila ada di antara penyokong Harimau Malaya yang didakwa mengalami kecederaan dalam insiden rusuhan yang agak teruk.

Susulan itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah memberi nasihat kepada seluruh penyokong Harimau Malaya untuk menunjukkan akhlak yang baik kepada pasukan lawan dalam perlawanan kedua kumpulan G yang akan berlangsung pada 10 September ini.

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sekalung tahniah kami ucapkan buat skuad Harimau Malaya kita yang telah berjaya membawa pulang 3 mata amat berharga dari Stadium Gelora Bung Karno.

Perlawanan yang telah berlangsung semalam telah menyaksikan bahawa skuad Harimau Malaya telah didahului skuad Indonesia sebanyak dua kali. Namun keterujaan kami adalah apabila skuad Harimau Malaya mampu bangkit semula seterusnya berjaya memenanginya.

BACA:  Misi Pencarian Acab Selesai, Jawapan Akan Dibongkarkan PDRM

Pada pemerhatian kami, skuad Harimau Malaya layak memenangi perlawanan semalam kerana:

Semua pemain telah berjaya bermain dengan corak permainan yang terbaik serta tenang mengawal emosi sepanjang permainan terutamanya pada separuh masa kedua biarpun ditekan di dalam dan luar padang oleh pemain dan puluhan ribu penyokong Indonesia.
Semangat tidak berputus asa semua pemain terutama barisan serangan skuad Harimau Malaya dalam usaha memburu gol sehingga wisel penamat. Sebagai contoh, Syafiq Ahmad, pemain tengah yang kerapkali turun naik akhirnya telah berjaya menjaringkan gol penyamaan kedua hasil tandukannya yang kemas.
Kebijaksanaan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe dan pasukan kejurulatihan yang cepat membaca tempo dan taktikal pihak lawan juga kemampuan pemain telah segera membawa masuk Muhamadou Sumareh dimana dia berjaya menjaringkan gol penyamaan pertama dan gol kemenangan skuad Harimau Malaya.
Walaupun tampak sedikit gugup dan goyah pada separuh masa pertama, barisan pertahanan skuad Harimau Malaya juga berjaya tampil memperbaiki permainan dan persefahaman di separuh masa kedua. Tahniah Kapten Farizal Marlias, Shahrul Saad, Adam Norazlin dan rakan-rakan yang telah berjaya menidakkan sebarang gol buat Indonesia di separuh masa kedua permainan.
Di kesempatan ini juga ingin kami gunakan untuk menyeru seluruh penyokong Harimau Malaya untuk tampil dengan akhlak yang baik saat kita sebagai Tuan Rumah melayan penyokong pasukan pelawat nanti. Ketinggian akhlak kita cerminan ketinggian mentaliti rakyat berkelas tinggi dunia. Contohilah akhlak dan kebesaran jiwa Baginda Rasulullah SAW. Semoga ukhuwah Islamiyah kita akan terus subur. Insya Allah.

BACA:  Tangan Basah Main Telefon Yang Sedang Dicas, Kanak-Kanak 4 Tahun Maut Terkena Renjatan Elektrik

Semoga langkah kanan skuad Harimau Malaya ini dapat menjadi bekal semangat berterusan bagi terus memperagakan aksi yang terbaik memenangi perlawanan menentang UAE pada 10 September 2019 nanti dan juga perlawanan-perlawanan yang seterusnya.

Sekali lagi, tahniah Harimau Malaya. Anda kebanggaan rakyat Malaysia.

Sumber : muftiwp.gov.my

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.