≡ Menu

Siang Penuntut Perubatan, Malam Jadi Imam Kerana Tidak Mahu Lupa 30 Juzuk Al-Quran


Muhammad Syazwan Mohd Basil, 25 adalah penuntut tahun akhir jurusan perubatan dan pembedahan dari Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS). Anak kedua daripada empat beradik ini menghafaz 30 juzuk al-Quran ketika menuntut di Darul Quran dan kini menjalani latihan praktikal di Hospital Putrajaya sebagai persediaan sebelum bergelar doktor perubatan.

“Jika kita ada al-Quran, apa saja laluan dipilih lebih mudah,” kata Muhammad Syazwan.

Biarpun sibuk dengan rutin pada siang, setiap hari jadual harian sepanjang malam Ramadan terisi dengan tugasan mengimamkan solat tarawih selain membimbing qiamullail di masjid dan surau sekitar Lembah Klang termasuk memenuhi jemputan imam di Sungai Petani, Kedah.

JADI IMAM RAWATIB SEJAK 2015

Muhammad Syazwan dari Pulau Pinang berkata, kesibukan sebagai penuntut tidak menghalangnya untuk mengimbangkan dunia dan bekalan akhirat termasuk melaksanakan tugas sambilan sebagai Imam Rawatib di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya.

BACA:  Solat Dhuha Dan Panduan Mengerjakannya

“Sebenarnya saya akui mencabar apabila bergelar penuntut dan dalam masa sama, perlu mengimbangkan tugasan sambilan sebagai Imam Rawatib sejak 2015 di masjid itu.

“Sepanjang Ramadan, saya mengimamkan solat tarawih bergilir dengan imam lain di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah selain memenuhi jemputan imam solat tarawih dan qiamullail antaranya di Putrajaya, Puchong, Shah Alam, Klang dan Kedah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada masa sama, Muhammad Syazwan berkata, memandangkan siang hari sibuk dengan latihan praktikal di hospital, dia mengambil masa selepas sahur atau selepas solat Subuh untuk melakukan persediaan mengimamkan solat tarawih pada malam.

“Saya mengambil masa setengah jam untuk membaca al-Quran bagi melancarkan bacaan ketika mengimamkan solat.

BACA:  Khasiat Buah dan Daun Durian Belanda (Soursop) Untuk Melawan Kanser

“Untuk bacaan surah di dalam solat, imam baca satu juzuk bagi 20 rakaat setiap hari.

“Sebagai penuntut, saya rasa mencabar tetapi saya akan pastikan kelas habis petang untuk bersiap bagi tugasan malam sebagai imam solat tarawih,” katanya.

DUNIA DAN AKHIRAT DISEIMBANGKAN

Mengulas lanjut, Muhammad Syazwan berkata, tugasan sambilan sebagai Imam Rawatib juga membantunya memastikan 30 juzuk al-Quran yang dihafaznya sentiasa diingati dan diamalkan.

“Bagi saya, al-Quran ini adalah amalan kita setiap hari untuk bekalan akhirat dan kerjaya doktor di dunia ini diseimbangkan.

“Al-Quran bukan bebanan untuk berjaya di bidang lain kerana ia lebih memudahkan pilihan kita,” katanya.

Sumber :Kashorga

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.

error: Content is protected !!