≡ Menu

Bolehkah Berpoligami Tanpa Pengetahuan Isteri Pertama??

Isu poligami memang isu hangat dikalangan wanita dan lelaki khususnya bagi yang sudah berkahwin. Ada yang bersetuju supaya dipermudahkan, ada juga yang mungkin mempunyai pendapat yang berbeza. Baru-baru ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan bahawa undang-undang syariah di Malaysia memberi hak kepada suami berpoligami tanpa perlu meminta kebenaran isteri. AKAN TETAPI, keputusan sama ada lelaki berkenaan dibenarkan berpoligami atau tidak bergantung kepada budi bicara Mahkamah Syariah. Harus diingatkan juga Mahkamah Syariah akan memanggil isteri pertama untuk memaklumkan bahawa suami bakal berkahwin satu lagi.

Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu yang menghadkan amalan yang bebas sebelum ini dan mengambil jalan pertengahan yang lebih wajar. Syariat Islam menetapkan bahawa seorang lelaki boleh berkahwin dengan lebih dari seorang perempuan tetapi tidak melebihi empat orang. Lelaki yang ingin berkahwin lebih dari satu harus membuat permohonan ke Mahkamah Syariah bagi menentukan sama ada layak atau tidak berkahwin lebih dari satu. Permohonan pula mengambil masa hampir 21 hari dan akan dinilai oleh Mahkamah Syariah sebelum mendapat kebenaran.

Lelaki yang tidak mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu dari Mahkamah adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Surah An-Nisa ayat 3 :

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (diantara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Antara syarat poligami adalah :

BACA:  Ramai Orang Sayang Ibubapa, Tapi Sebenarnya Tak Sayang

1. Berkemampuan Untuk Menanggung Nafkah Isteri-isteri

Suami berkewajipan menanggung nafkah isteri zahir dan batin tidak kira sama ada dia mempunyai seorang isteri atau lebih. Nafkah zahir yang dimaksudkan di sini ialah dari aspek makan-minum, pakaian, kediaman dan perubatan. Nafkah batin pula ialah suami berkeupayaan dalam memberi layanan seks kepada isteri.

Di dalam Mazhab Syafi’e, terdapat dua pendapat mengenai kadar pemberian nafkah kepada isteri iaitu :

i. Melihat keadaan suami sahaja tanpa mengambil kira keadaan isteri,

ii. Melihat keadaan kedua-dua suami dan isteri iaitu dinilai menurut kesanggupan suami dan perlu diberi menurut keadaan isteri.

2. Berlaku Adil Kepada Isteri-isteri

Menurut Abu al-‘Aynayn, keadilan bermaksud penyamarataan terhadap semua isteri tanpa wujud pilih kasih di antara mereka. Ia termasuk interaksi yang baik di antara suami isteri yang meliputi perbuatan, tutur kata dan akhlak. Selain itu juga suami perlu adil dalam menyediakan kediaman,giliran bermalam, adil dalam musafir ( melakukan perjalanan bersama salah seorang isteri )

Undang-Undang Poligami Di Malaysia

Tiada seorang pun lelaki, semasa wujudnya sesuatu perkahwinan, boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah, membuat kontrak perkahwinan yang lain dengan perempuan lain atau perkahwinan yang dikontrakkan tanpa kebenaran sedemikian boleh didaftarkan di bawah Akta ini: Dengan syarat Mahkamah boleh jika ia ditunjukkan bahawa perkahwinan sedemikian adalah sah mengikut Hukum Syarak, memerintahkan perkahwinan itu didaftarkan tertakluk kepada seksyen 123. ( AKTA 303 : AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984 [CETAKAN SEMULA 2005 )

BACA:  Wanita yang di Azab Saat Menunaikan Haji

Mahkamah mengambil kira 4 syarat kebenaran sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 23(4) AUKI 1984 iaitu :

1. Perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu memandang kepada keadaan isteri dari segi kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila.

2. Pemohon mempunyai kemampuan mengikut kehendak syarak untuk menanggung semua isteri dan tanggunggannya termasuk orang yang bakal ditanggungnya berikutan dari perkahwinan yang baru.

3. Pemohon berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isteri mengikut kehendak hukum syarak.

4. Perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syar’ie kepada isteri.

Hakikatnya syarat yang dikenakan dalam undang-undang bukan bertujuan untuk mengharamkan poligami kerana mengharamkannya bertentangan dengan hukum syarak. Namun ia dijadikan sebagai satu mekanisme untuk mengawal kaum lelaki daripada menyalahgunakan keharusan berpoligami sesuka hati mereka.


Sumber: Wanista

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.