Apakah makanan yang sesuai untuk pesakit asma? Artikel ini akan membincangkan beberapa jenis makanan yang sesuai untuk pesakit asma
Pengenalan
Asma bukanlah sejenis penyakit yang asing lagi bagi kita di Malaysia. Ianya merupakan sejenis yang disebabkan oleh masalah pada sistem pernafasan di mana terdapatnya inflamasi dan keradangan pada salur pernafasan yang menyebabkan salur pernafasan menjadi sempit lalu menyulitkan pesakit untuk bernafas.
Pesakit yang mengalami serangan asma akan mengalami tanda-tanda seperti sukar bernafas atau sesak nafas, batuk, penghasilan bunyi seperti bersiul semasa bernafas, cepat penat dan sakit pada bahagian dada. Asma merupakan sejenis penyakit yang tidak dapat disembuhkan tetapi simptom-simptomnya boleh dikawal dan dirawat dengan rawatan yang betul. Kebiasaanya terdapat dua jenis ubat (1) yang akan diambil oleh pesakit asma iaitu:
- Ubat pengawal: Ubat yang perlu diambil sama ada pesakit mempunyai simptom ataupun tidak dan ianya bertujuan untuk mengawal asma.
- Ubat pelega: Ubat yang perlu diambil apabila pesakit mengalami tanda-tanda serangan asma.
Selain daripada ubat-ubatan, adakah diet juga memainkan peranan di dalam pengawalan penyakit asma ini? Oleh itu artikel ini akan membincangkan dengan lebih lanjut akan diet yang sesuai diamalkan oleh pesakit asma.
Punca Asma
Salah satu punca asma adalah ia merupakan penyakit keturunan. Penyakit ini boleh tercetus disebabkan beberapa punca (2).
- Jangkitan kuman
- Tindak balas alergik seperti alergik terhdap habuk, asap, bulu haiwan dan lain-lain.
- Pengambilan sesetengah ubat-ubatan
- Tekanan ataupun stress
- Melakukan Latihan ataupun senaman yang berat
- Perubahan suhu ataupun cuaca
10 Makanan untuk Pesakit Asma
Berikut merupakan vitamin dan mineral yang dapat membantu untuk meningkatkan kesihatan pesakit asma.
- Vitamin D
Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa kekurangan vitamin D berkait dengan penyakit asma. Satu kajian di Peru telah dijalankan untuk mengkaji hubungan diantara vitamin D dan kelaziman penyakit asma di kalangan populasinya (3).
Kajian mendapati bahawa paras vitamin D yang rendah berkait dengan penyakit asma. Antara fungsi vitamin D adalah memodulasikan respon sel T. Antara makanan yang kaya dengan sumber vitamin D adalah ikan seperti salmon, sardin, daging, kuning telur dan makanan yang difortifikasi dengan vitamin D seperti bijirin sarapan pagi.
- Vitamin E
Antara fungsi vitamin E adalah menghalang penghasilan IgE, memodulasikan respon sel T, dan terlibat di dalam kestabilan membran sel (4). Kajian menemukan bahawa pengambilan vitamin E dapat mengurangkan risiko untuk mendapat asma (5). Antara sumber bagi vitamin E adalah minyak sayuran, sayur-sayuran hijau, kekacang dan lain-lain.
- Vitamin C
Umum pasti mengetahui bahawa vitamin C mempunyai kebaikkannya seperti dapat meningkatkan sistem imunisasi dan terlibat di dalam penghasilan kolagen. Untuk sistem pernafasan pula, vitamin C menghalang penghasilan prostaglandin di mana prostaglandin ini dapat menyebabkan keradangan dan penyempitan salur pernafasan (6). Antara sumber bagi vitamin C ialah buah-buahan sitrus, jambu batu, anggur, buah-buahan beri dan lain-lain.
- Beta karotin
Beta karotin merupakan sejenis elemen yang akan ditukarkan kepada vitamin A oleh tubuh badan. Beta karotin dapat mencegah aktiviti radikal bebas yang dapat menyebabkan kerosakkan sel dan mencegah keradangan. Kajian mendapati paras serum beta dan alfa karotin yang tinggi dikaitkan dengan peningkatan fungsi paru-paru (6). Antara sumber makanan yang kaya dengan beta karotin adalah lobak merah, tomato, ubi keledek dan lain-lain.
- Serat
Serat merupakan sejenis elemen yang boleh didapati daripada tumbuh-tumbuhan, buah-buahan dan makanan bijirin penuh. Pengambilan serat dikaitkan dengan kurangnya risiko mendapat asma dan peningkatan fungsi paru-paru (6). Hal ini kerana serat mempunyai sifat antioksida dan anti inflamasi yang dapat melindungi fungsi paru-paru.
- Sumber lemak baik
Lemak juga mempunyai kategori lemak yang baik seperti omega-3. Pengambilan omega-3 dikatakan dapat mencegah asma dan tindak balas alergik (6). Antara sumber omega-3 ialah ikan salmon, ikan sardin, biji chia, sayuran hijau dan lain-lain.
- Selenium
Selenium merupakan sejenis mineral yang berfungsi untuk metabolisma tubuh dan fungsi tiroid. Ianya turut mempunyai sifat antioksida. Kajian telah mendapati bahawa pesakit asma mempunyai paras selenium yang rendah (6). Antara makanan yang mempunyai sumber selenium adalah bijirin penuh, produk tenusu, ayam, ikan, telur dan lain-lain.
- Zink
Seperti selenium, zink juga merupakan sejenis mineral yang diperlukan oleh tubuh badan. Zink dapat memodulasi aktiviti dan respon yang dihasilkan oleh sel T, sejenis sel imun tubuh badan (4). Pengambilan yang mencukupi semasa hamil dapat membantu pembentukkan paru-paru bayi (4). Antara makanan yang kaya dengan sumber zink adalah daging, kekacang, makanan laut, bijirin penuh dan lain-lain.
- Magnesium
Antara kelebihan pengambilan magnesium terhadap pesakit asma adalah dapat mengendurkan otot licin dan menstabilkan sel mast (4), iaitu sejenis sel yang terlibat di dalam respon inflamasi seperti tindak balas alergik.
- Flavonoid
Flavonoid adalah komponen yang boleh didapati di dalam sayur-sayuran dan buah-buahan. Antara kebaikkannya adalah bersifat antioksida, anti keradangan dan anti alergik (6). Oleh itu, rajin-rajinlah makan sayur-sayuran dan buah-buahan ya.
Konklusinya, tiada diet yang khusus perlu diamalkan oleh pesakit asma di dalam mengawal penyakit ini. Pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan bijirin penuh dapat membekalkan vitamin dan mineral kepada tubuh badan lalu mengurangkan simptom-simptom penyakit asma. Adalah penting untuk anda mengenali sendiri makanan-makanan yang akan mendatangkan alergik dan keradangan kepada diri anda apabila diambil. Sekiranya anda mengalami simptom asma yang teruk, sila dapatkan rawatan segera di klinik dan hospital berdekatan.