≡ Menu

Sudahkah Kita Ikhlas Hari Ini? Ikhlas Itu Mahal Dan Berharga

Hikmah terbesar yang dapat kita lihat daripada pandemik COVID-19 ini ialah, sebenarnya ramai orang yang baik wujud dalam kalangan kita.

Mungkin sebelum ini, kebaikannya tidak kelihatan kerana perbuatannya tidak mendapat perhatian atau mungkin juga kerana ia perkara yang dianggap biasa, iaitu bukan pada masa yang terdesak.

Namun, dalam situasi hari ini, semua orang berduyun-duyun menghantarkan bantuan mengikut kemampuan mereka dek rasa ihsan dan kemanusiaan yang wujud dalam diri.

Dari golongan bangsawan sehinggalah mereka yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, semuanya bertungkus-lumus memberi kerana mereka merasa ada lagi insan yang lagi susah daripada mereka.

Bantuan ini, walaupun kecil di mata manusia, namun percayalah dengan keihklasan dan ketulusan yang wujud dalam hati, nescaya besar ganjarannya di sisi Allah.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Apabila ditatal di laman-laman sosial seperti Instagram dan Twitter, ramai yang menularkan mengenai kutipan dana masing-masing. Ramai juga yang memberi bantuan makanan dan bahan asas kepada mereka yang memerlukan.

Semuanya membuktikan bahawa nilai kemanusiaan yang sedikit itu mampu membantu seseorang mengharungi kehidupan.

Namun, jangan silap langkah dan matlamat. Bimbang ia akan menjadi sebuah amalan yang mengharapkan pandangan manusia semata-mata dan bukan Allah.

BACA:  Potensi Diri, Semua Orang Mampu Lakukan Perubahan. 5 Cara Untuk Gilap Kemampuan Diri

Zaman sekarang, begitu mudah untuk mencari publisiti. Muat naik sahaja video atau gambar ke media sosial, maka likes dan retweet yang akan membantu seseorang menjadi insan yang mulia di dunia.

Namun, adakah Allah akan memandang amalan itu jika niat hati hanya untuk memuaskan manusia semata-mata?

إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Maksud: “Sesungguhnya setiap perbuatan itu bergantung kepada niat. Dan sesungguhnya setiap orang akan dibalas berdasarkan apa yang diniatkannya. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya dan barangsiapa yang berhijrah kerana menginginkan harta benda dunia atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya mengikut kepada nilai apa yang dia berhijrah kepadanya.”(Hadis Riwayat bukhari, no. 54)

Menurut penjelasan yang telah diberikan oleh Mufti Wilayah, hukum melaksanakan amalan semata-mata ingin mendapat ganjaran dunia semata-mata adalah tidak dibolehkan.

Hal ini kerana, ia adalah berkait dengan nilai keikhlasan yang perlu wujud dalam diri kita kerana manusia dituntut untuk ikhlas keranaNya.

Jika anda niat membuat amalan untuk mendapat pujian manusia, maka hanya itulah yang anda akan dapat. Jika anda niat kebaikan itu untuk mendapat keredaan Allah dan ganjaran akhirat, maka anda akan mendapat kedua-duanya, bahkan ditambah dengan bonus, iaitu ganjaran dunia. Sama ada gaji anda akan dinaikkan atau ramai orang yang akan membantu misi anda, Allah akan menghantarkan bonus yang terbaik buat anda.

BACA:  Selagi Nyawa Dikandung Badan, Dirikanlah Solat. Teramatlah Rugi Jika Meninggalkannya

Justeru, apabila menanam niat untuk membuat amalan kebaikan, maka berbaliklah kepada Allah. Pertama sekali, niatlah semoga amalan yang dilakukan ini mendapat keredaan di mata Allah.

Tidak salah untuk memaparkan kebaikan anda di mana-mana platform, namun sentiasa perbaharui niat anda agar ia tidak menjadi suatu yang sia-sia.

Niatkanlah agar ia menjadi sumber inspirasi untuk mencetus lebih ramai lagi manusia membuat kebaikan dan mendoakan golongan yang ditimpa ujian itu.

Semoga setiap kebaikan yang anda buat menjadi saham dan bekalan anda di akhirat. Dalam masa yang sama, ia juga akan menjadi pahala berantai buat anda apabila menginspirasikan orang lain untuk turut sama berbuat baik.

Jadi, sudahkan anda perbaharui niat anda hari ini?

Wallahu a’alam.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.