≡ Menu

3 Cara Memupuk Rasa Cinta Kepada Rasulullah. Pedoman Ummat Akhir Zaman

Sebagai seorang Muslim, kita beriman dengan Allah dan Rasul – mempercayai bahawa Allah adalah Tuhan Yang Mencipta dan Mentadbir Sekalian Alam. Manakala Rasulullah SAW pula diutus sebagai nabi dan rasul yang terakhir.

Dan antara bukti keimanan kepada Allah adalah dengan mencintai dan mengikuti setiap ajaran yang telah dibawakan oleh baginda.

Disebutkan dalam Surah Ali Imran ayat 31,

Allah Ta’ala berfirman,

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ

“Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Nabi SAW), nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”.” (Surah Ali Imran 3:31)

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Namun apabila disebut tentang cinta atau sayang Nabi SAW, kita mungkin akan teringat tentang baginda apabila tiba musim sambutan Maulidur Rasul (sambutan kelahiran baginda) sahaja atau sambutan Maal Hijrah iaitu peristiwa hijrah baginda dan kaum Muslimin dari Mekah ke Madinah.

Kadang-kadang mungkin kita berfikir bahawa beruntungnya umat terdahulu yang hidup pada zaman Nabi SAW – boleh melihat baginda, boleh mendengar suara baginda, dan boleh pula bertanya sebarang persoalan dan kekeliruan kepada baginda.

Bagaimana Para Sahabat Zaman Dahulu Mencintai Nabi SAW

Para sahabat pada zaman dahulu mencintai Rasulullah SAW dengan meminta nasihat kepada baginda, bertanya soalan tentang amalan dan kelebihan, malah mereka sangat menjaga adab ketika bersama Rasulullah SAW.

Diceritakan apabila turun sepotong ayat Al-Quran yang menegah umat Islam daripada meninggikan suara melebihi suara Nabi SAW, dan larangan bercakap dengan keras dan kasar kepada baginda, maka Ibnu Zubair melaporkan bahawa selepas itu Umar Al Khattab tidak pernah memperdengarkan suaranya lagi kepada Nabi SAW, kecuali apabila ingin meminta penjelasan kepada baginda.

Dalam peristiwa lain, Ali bin Abi Talib pernah ditanya – “Bagaimana cinta kalian kepada Rasulullah SAW?” Beliau menjawab, “Demi Allah baginda lebih kami cintai daripada harta, anak-anak, ayah, dan ibu kami serta kami juga lebih mencintai beliau daripada air sejuk pada saat dahaga.”

Malah diceritakan dalam sebuah hadis yang sahih tentang sebatang pohon kurma yang menangis kerana rindu ingin mendengar bicara Nabi SAW.

Daripada Jabir R.anhu, Nabi SAW biasanya berdiri berkhutbah pada hari Jumaat di sebatang pokok kurma. Seorang wanita atau lelaki Ansar berkata: “Ya Rasulullah, bolehkah kami buatkan untuk mu mimbar.”

Baginda menjawab: “Boleh, jika kalian mahu.”

Lalu mereka membuatkan untuk baginda mimbar. Apabila tibanya hari Jumaat, baginda pun naik ke mimbar tersebut.

Lalu pokok kurma (yang digunakan oleh Nabi SAW sebelum itu) mengeluarkan bunyi seperti bunyi bayi. Kemudian baginda pun turun dari mimbar lalu pergi memeluk pokok kurma seperti sedang menenangkan bayi yang sedang menangis.

Baginda bersabda: Ia menangis kerana (tidak dapat mendengar lagi) apa yang biasa ia dengar daripada peringatan berhampirannya. (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, Bab ‘Alamat an-Nubuwwah, hadis no. 3584)

Bagaimana Untuk Mencintai Nabi SAW Sekarang

Sukar untuk kita mencintai Nabi SAW tanpa mengetahui apa-apa tentang baginda, sedangkan seorang lelaki atau perempuan yang jatuh cinta juga pasti terpikat sekurang-kurangnya kerana melihat wajah, penampilan, mendengar suara atau mengenali peribadinya.

Maka langkah pertama untuk mencintai baginda adalah dengan mengenali baginda. Bagaimana caranya?

1. Baca Tentang Kata-Kata Allah Yang Ditujukan Kepada Baginda Dari Al-Quran

Cara yang paling mudah untuk mengenali baginda adalah dengan membaca Al-Quran dan terjemahannya. Bagaimana kita boleh mengenali dan mencintai baginda jika kita sendiri tidak membaca apa yang diutuskan oleh Allah untuk baginda?

Anda boleh mendapatkan Al-Quran dengan terjemahan di pasaran, atau anda boleh juga memuat turun pelbagai aplikasi Al-Quran berserta terjemahan dengan kemudahan telefon pintar.

Sungguh banyak perbualan atau ucapan daripada Allah yang ditujukan kepada baginda dan juga umat baginda secara umumnya.

Dalam Surah Al-Muddatsir ayat 1 hingga 7 contohnya adalah kata-kata Allah yang menyeru Nabi SAW supaya bangkit berdakwah dan kata-kata semangat agar tidak takut dengan ancaman orang kafir.

“Wahai orang yang berselimut!”

“Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia)”

“Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!”

“Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan”

BACA:  Rezeki Terasa Sempit, Periksa Dahulu 7 Perkara Ini Pada Diri, Dan Keluarga

“Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi”

“Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.”

“Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!”

Daripada potongan ayat ini, kita sedikit sebanyak dapat mengetahui bahawa Rasulullah SAW juga pernah melalui pengalaman merasa takut lalu menyelimutkan diri.

Kemudian baginda diseru oleh Allah sendiri melalui wahyu, memujuk baginda agar bertabah melalui perjalanan menyebarkan dakwah.

2. Membaca Hadis-Hadis Baginda SAW

Hadis-hadis Nabi SAW juga sarat dengan kisah yang lebih terperinci yang boleh memberi gambaran tentang kehidupan baginda – contohnya ketika ada isu atau permasalahan, tentang adab dan cara hidup Nabi SAW, peribadi baginda dan sebagainya.

Contohnya tentang kisah penghinaan yang berlaku terhadap Rasulullah SAW – apabila seorang lelaki bernama Uqbah bin Abi Mu’aith meletakkan kotoran berupa isi perut unta ke atas baginda semasa baginda sedang sujud bersolat. Hal ini tidak terdapat dalam Al-Quran namun ada diceritakan melalui hadis.

3. Baca Dan Telusuri Sejarah Perjalanan Hidup Baginda

Cara ketiga untuk mengenali baginda baginda adalah mengambil tahu tentang kisah hidup baginda dengan membaca buku-buku sejarah yang benar tentang kehidupan Rasulullah SAW.

Antara buku yang boleh dibaca ialah Kitab As-Syamail dan Kitab Zad Al Ma’ad. Selain itu, kitab moden lain yang boleh dibaca ialah Fiqh As-Sirah oleh Said Ramadan Al-Bouti, Kitab Ar-Rahiq Al-Makhtum oleh Syaikh Safiyyu Al-Rahman Al-Mubarakfuri dan juga Fiqhus Sirah An Nabawiyah oleh Munir Muhammad Ghodban.

Dalam buku-buku Sejarah ini juga ada terselit kisah yang hasil catatan para sahabat atau para pengkaji sejarah kenabian sendiri.

Kesimpulan

Bacalah tulisan berkenaan Rasulullah SAW bukan seperti membaca buku sejarah biasa. Bacalah setiap catatan dengan niat untuk mengenali baginda SAW. Bacalah dengan niat untuk mengikut segala tunjuk ajar baginda, menghargai setiap usaha dan pengorbanan yang telah dilakukan dan juga di akhirnya semoga kita jatuh sayang dan cinta kepada baginda. InsyaAllah.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.