Tahukah anda, ada banyak penyakit yang disebabkan oleh obesiti? Obesiti merupakan sejenis kondisi yang menandakan seseorang itu mempunyai lemak badan yang berlebihan.
Obesiti bukanlah sekadar masalah kosmetik atau rupa paras semata-mata. Ia boleh menyebabkan peningkatan risiko penyakit tertentu seperti sakit jantung, diabetes, tekanan darah tinggi dan kanser.
BMI yang lebih daripada 30 dikira sebagai obesiti. Manakala, BMI yang lebih daripada 40 pula dikira sebagai obesiti teruk (morbidly obese).
Namun, kesihatan golongan obes atau yang mempunyai berat badan berlebihan boleh ditingkatkan jika mereka menurunkan berat badan.
Walau bagaimanapun, penulis faham bahawa bukan mudah untuk menurunkan berat badan secara beransur-ansur. Malah, bukan semua jenis diet sesuai untuk semua orang.
Tetapi, penurunan berat badan yang sihat amat penting untuk mereka yang obes. Dengan bantuan doktor, pemakanan sihat dan senaman, anda mampu menurunkan berat. Malah, risiko untuk menghidap penyakit yang disebabkan oleh obesiti juga dapat dikurangkan.
Mengapa ramai orang mempunyai berat badan berlebihan?
Apabila kita mengambil lebih banyak kalori daripada yang digunakan, badan akan menyimpan lebihan kalori tersebut sebagai lemak. Selalunya, lemak berlebihan sebanyak 1-2 kilogram tidak akan menjadi masalah terhadap kesihatan.
Namun, masalah mulai timbul apabila lebih banyak lemak mula berkumpul pada badan. Semakin banyak lemak, semakin sukarlah untuk kita menurunkan berat badan.
Masalah berat badan berlebihan selalunya berlaku secara turun-temurun. Malah, ada juga orang yang lebih cenderung mempunyai masalah obesiti disebabkan faktor genetik. Walaupun gen seseorang mempengaruhi berat badan, namun faktor persekitaran juga memainkan peranan yang penting.
Pada zaman sekarang, ramai orang yang mempunyai berat badan berlebihan disebabkan diet yang tidak sihat. Kini, terdapat lambakan makanan segera di pasaran. Malah, gaya pemakanan yang tidak baik seperti makan di hadapan televisyen juga boleh menjadi faktor masalah kegemukan.
Bukan itu sahaja, mereka yang tidak mendapat tidur yang mencukupi juga cenderung untuk mengalami masalah berat badan berlebihan. Makan terlalu banyak sebelum tidur juga boleh menjadi penyumbang kepada penyakit yang disebabkan oleh obesiti.
Ada juga yang akan makan secara berlebihan disebabkan faktor emosi, terutamanya ketika stres, sedih atau bosan. Jika ini yang berlaku, mereka selalunya akan makan lebih banyak daripada apa yang diperlukan.