Telur sememangnya makanan yang menjadi pilihan kebanyakan orang dengan pelbagai jenis masakan yang dibuat. Antaranya masak sambal, masak kicap, malah ada juga yang gemar menikmatinya dengan hanya sekadar telur goreng.
Pun begitu, pengguna atau pengusaha kedai makan perlulah mengetahui tanda-tanda telur sudah rosak supaya tidak berlaku keadaan tidak diingini kelak.
Seperti yang dikongsikan oleh Public Health Malaysia, terdapat beberapa tanda-tanda telur rosak yang perlu diambil perhatian.
Sebelum masak, pastikan anda periksa keadaan telur dahulu.
1) Rendam dahulu telur di dalam air
Sekiranya telur yang ingin dimasak itu terapung, ini bermakna telur itu adalah telur yang lama atau telur tembelang.
2) Periksa keadaan kulit telur
Kulit telur sekiranya kelihatan berdebu, itu adalah petanda telur itu mempunyai jangkitan kulat.
Sekiranya kulit telur itu kelihatan berlendir, segera membuangnya kerana telur itu mempunyai bakteria.
Sekiranya terdapat retakan pada kulit telur, segera membuangnya meskipun di dalamnya kelihatan bersih kerana dibimbangi bakteria, kuman dan kulat sudah berada di dalamnya. Perlu kita ingat bahawa mata kasar kita mungkin tidak nampak akan kewujudan organisma halus seperti ini.
3) Periksa dahulu tarikh tamat tempoh telur tersebut.
4) Pecahkan telur dahulu ke dalam mangkuk.
Amalkan memecahkan telur terlebih dahulu ke dalam mangkuk agar kita boleh menilai keadaan telur sebelum benar benar yakin untuk memasaknya. Perhatikan keadaan putih telur, sekiranya warna nya berubah,itu adalah petanda telur sudah rosak.
Bau telur yang rosak juga hanyir dan busuk. Pecahkan telur didalam mangkuk dan jangan terus memecahkannya di dalam kuali. Kalau telur itu rosak dan tembelang, rugi sahaja minyak yang kita panas kan tadi. Kalau sambal? Masya’Allah.
Ingat petua ringkas ini. Nampak macam remeh, tetapi ia dapat mencegah kita daripada makan telur yang telah dicemari salmonella yang boleh menyebabkan demam, muntah, cirit-birit dan juga kematian!
Loading...