Apabila kita diuji seperti doa masih tidak tercapai, jangan terus berputus asa, apalagi bersangka buruk dengan YANG MAHA ESA.
Sesungguhnya dalam kitabullah, ALLAH SWT telah menyediakan beberapa formula istimewa kepada umat Islam untuk mempersiapkan diri apabila berhadapan dengan sebarang pancaroba walau seberat mana pun.
Formula yang pertama terkandung dalam Surah al-Baqarah, ayat 286. ALLAH SWT berfirman: “Setiap ujian yang diberikan, pasti kita mampu hadapinya kerana ALLAH tidak akan uji hamba-NYA yang tidak ada berkemampuan.”
Dalam surah yang sama, ayat 45, DIA secara jelas menyatakan: “Pada saat kita berasa berat dengan ujian tersebut, mohonlah bantuan daripada ALLAH SWT dengan cara bersabar dan bersolat.”
Kedua-dua ayat yang mulia itu secara izharnya memberitahu manusia yang sedang berdepan dengan rintangan perlu bersabar dan jangan meninggalkan solat. Pada masa sama, ALLAH tidak akan mendatangkan sebarang tantangan melainkan ia mampu dipikul oleh insan yang dipilih-NYA.
Seterusnya, ALLAH turut membimbing umat Islam menerusi Surah Ghafir, ayat 60: “Di samping berusaha mencari jalan keluar, banyakkan berdoa kepada ALLAH dengan penuh taat dan ikhlas kerana ALLAH pasti akan perkenankan doa-doa kita apabila sampai masanya kelak.”
Pun demikian, seandainya keinginan yang dimahukan termakbul, cepat-cepatlah melafazkan kesyukuran.
Jangan pula kita berasa sombong, bongkak dan beranggapan segala kurniaan tersebut diperoleh semata-mata kerana usaha kita. Sedarlah segala yang dimiliki adalah pinjaman semata-mata. ALLAH SWT boleh menarik balik segala yang kita ada dengan sekelip mata sahaja. Oleh itu, tambahkanlah amal ibadah, berkongsilah rezeki dan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Jangan lupa diri dan berasa takbur