Tanggal 8 Mei 2020 perginya seorang tokoh ilmuan agama yang disayangi ramai, Tuan Guru Dato’ Ismail Bin Kamus atau lebih mesra di kenali sebagai ustaz Ismail Kamus. Allahyarham telah meninggalkan kita semua pada hari Jumaat lalu di kediaman beliau di Ampang.
Pemergian tokoh ilmuan agama ini membuatkan ramai yang mengenali diri beliau sebagai tokoh pendakwah tanah air, berasa sedih di atas pemergian beliau. Rata-rata pasti ramai berasa teriang-iang suara Allahyarham yang sering memberi nasihat dan ceramah sambil di selangi dengan lawak jenaka ketika memberi ceramah.
Sikap Allahyarham yang sangat santun dan merendah diri tatkala berbicara membuatkan orang menghadiri majlis ceramahnya terpaut untuk mendengar ceramah dan nasihat yang disampaikan oleh Allahyarham ustaz Ismail Kamus ini.
Meski tokoh agama ini telah pergi menghadap Sang Penciptanya, kita yang masih hidup ini masih dapat mengikuti segala pesanan dan amalan kehidupan yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham sebagai panduan hidup. Ikuti contoh amalan kehidupan ustaz Ismail Kamus di bawah.
Beramal Tidak Perlukan Masa Lapang
Allahyarham sering mengingatkan bahawa untuk melakukan amal ibadat tidak memerlukan kita mencari masa lapang. Sebaliknya kita adalah masa lapang tersebut, kitalah yang harus melapangkan masa untuk melakukan amal ibadat dan bukannya menunggu bilakah diri kita ada masa untuk melakukan amal ibadat.
Elakkan Perbuatan Berdusta
Allahyarham pernah berceramah di mana ada dua perbuatan yang tidak terlepas daripada dusta iaitu terlalu banyak berjanji dan rajin mencari masalah. Sebagai manusia biasa, kita tidak lari dari melakukan kesilapan.
Oleh itu, untuk menjadi seorang manusia yang terpuji, elakkan perbuatan dusta ini, cuba sehabis baik dalam menangani hal kehidupan, InsyaAllah hidup akan diberkati.
Doa Senjata Orang Mukmin
Allahyarham ustaz Ismail Kamus tidak pernah berhenti berkongsi panduan dan doa-doa kepada para pendengar ceramahnya. Ini adalah kerana Allahyarham berpegang teguh bahawa doa adalah senjata orang mukmin, melalui doa kita meletakkan pengharapan ke atas Allah SWT sepenuhnya.
Tidak kira apa jua masalah, cabaran dan ujian yang dilalui oleh diri kita, dengan memunajatkan doa kepada Sang Pencipta, InsyaAllah segala rintihan akan didengari oleh Allah SWT.
Manisnya Bersedekah
Ketika di bangku sekolah pasti guru-guru akan berpesan kepada anak murid di sekolah untuk melakukan amal sedekah kerana ia akan memberi pahala dan dalam masa yang sama dapat membantu yang memerlukan.
Amalan bersedekah ini juga di sebut oleh Allahyarham, bahawa amalan sedekah tersebut adalah bahagian kita di akhirat kelak.
“Sebenarnya duit yang kita sedekah itulah bahagian kita, yang ada dalam poket belum tentu kita punya. Boleh jadi pomen punya, boleh jadi klinik punya, yang semestinya waris punya. Jadi kita punya mana? Yang sedekah itulah kita punya” – Ustaz Ismail Kamus
Amalkan Bangun Sebelum Subuh
Dalam perkongsian video ceramah Allahyarham ustaz Ismail kamus, ada menerangkan amalkan bangun sebelum subuh. Tujuan hidup di muka bumi adalah untuk beribadat, alangkah rugi jika masa banyak dihabiskan dengan tidur.
Dunia adalah tempat untuk kita melakukan amal ibadat dan akhirat adalah tempat pembalasan, jika ingin dapatkan nikmat pembalasan yang baik di akhirat kelak, maka bangkitlah sebelum subuh dan lakukan amal ibadat, bertahajud, lakukan solat sunat dan berzikir.
Banyak panduan dan amalan yang dikongsikan kepada orang ramai menerusi program ceramah yang diadakannya. Ayuh ubah cara hidup kita dengan menjadi insan yang lebih baik dari sebelum ini dan kita jadikan panduan yang diamalkan oleh Allahyarham sebagai panduan dalam kehidupan kita.