≡ Menu

5 Perkara Yang Perlu Disegerakan Dalam Islam. Usah Ditangguh-Tangguh

Pernah kan kita dengar, jangan banyak tergesa-gesa, ia sebahagian daripada sifat syaitan.

Makan jangan tergesa-gesa, nanti tercekik. Dengar khabar sesuatu jangan tergesa-gesa ceritakan pada orang lain, periksa dahulu. Jika sedang marah, kita dilarang daripada tergesa-gesa bersikap semberono. Tenangkan diri dulu, kerana membuat keputusan apabila marah banyak mendatangkan sesalan di kemudian hari.

Hatta dalam hal ibadah pun, umat Islam dilarang untuk tergesa-gesa – jangan berlari ke tempat solat.

“…apabila kalian mendatangi solat maka hendaklah berjalan dengan tenang, dan rakaat yang kalian dapatkan solatlah dan rakaat yang terlewat sempurnakanlah”

Begitu pesan Nabi SAW dalam satu hadis riwayat Bukhari.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Umumnya dalam banyak perkara kita dilarang daripada tergesa-gesa. Tapi takkan semuanya kena buat dengan gerak perlahan, kan? Bukankah kecekapan itu pun hal yang baik untuk dipraktikkan.

Sebenarnya ada lima keadaan di mana umat Islam disarankan untuk bersegera. Seorang ahli ibadah, Hatim al-Asham berkata bahawa ketergesaan biasa dikatakan daripada syaitan kecuali dalam lima perkara.

Apakah lima perkara tersebut, mari kita teliti sama-sama.

#1- Menyajikan Makanan Kepada Tetamu

Ada satu kisah yang terabadi dalam Al-Quran dalam Surah Ad-Dzariyat ayat ke 24 hingga 27, tentang bagaimana Nabi Ibrahim melayan tetamu yang datang (sebenarnya adalah malaikat). Nak tahu bagaimana baginda melayan tetamunya?

Baginda diam-diam bertemu ahli keluarganya yang lain, dan mendapatkan seekor anak lembu yang gemuk dan dipanggang untuk dihidangkan kepada tetamu.

Dalam ayat tersebut, kalimah فَرَاغَ إِلَىٰ أَهْلِهِ (faroogho ilaa ahlihi) bermaksud segera pergi menemui ahli keluarganya untuk mendapatkan hidangan. Hidangan tersebut pula yang terbaik untuk memuliakan tetamu.

BACA:  Kita Tidak Menghukum, Tetapi Ingatlah Apa Yang Terjadi Pada Kaum Nabi Lut. Nauzubillah

#2- Menguruskan Jenazah

Perkara kedua yang disyariatkan untuk disegerakan ialah menguruskan jenazah. Hal ini termasuklah memandikan jenazah, mengafankan dan menguburkan jenazah.

Segerakanlah pengurusan jenazah. Jika dia orang baik, bererti kalian menyegerakan dia untuk mendapat kebaikan. Jika dia bukan orang baik, bererti kalian segera melepaskan keburukan dari tanggungjawab kalian.” (HR. Bukhari, no. 1315 dan Muslim, no. 944).

Kematian datang tiba-tiba, dan tak dijangka. Ada kala ahli keluarga tidak sempat untuk berkumpul melihat wajah jenazah buat kali terakhir, kerana tempat tinggal yang jauh dan perjalanan memakan masa.

Tetapi menyegerakan pengurusan jenazah juga adalah kebajikan dan khidmat yang terakhir boleh diberikan kepada si mati.

#3- Segera Menikahkan Seorang Wanita Jika Sudah Bertemu Jodoh Yang Baik

Perkara ketiga yang disarankan bersegera ialah dalam hal pernikahan.

Tapi, bukan nikah membuta tuli.

Apabila telah datang seseorang yang baik agama dan akhlaknya, maka walinya perlu segera menikahkan seorang perempuan.

Jika ada yang engkau redai agama dan akhlaknya datang untuk melamar, maka nikahkanlah dia. Jika tidak, maka akan terjadi musibah di muka bumi dan mafsadah yang besar.” (HR. Tirmidzi, no. 1084 dan Ibnu Majah, no. 1967. Syaikh Al-Albani dalam Irwa’ Al-Ghalil, no. 1868 menyatakan bahawa hadis ini hasan).

Sabda Nabi SAW :

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ! مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ

Maksudnya :” Wahai sekalian pemuda, jika ada antara kalian yang mampu (untuk bernikah) maka nikahlah.” [Riwayat Muslim (2577)]

BACA:  Obesiti! Ini Puncanya Kenapa Negara Malaysia Kerap Tersenarai No.1 Di Asia

Ia bukan tentang lambat atau cepat bernikah, tetapi jika sudah bersedia dan mampu, maka bernikahlah.

#4- Melangsaikan Hutang

Hutang adalah salah satu benda yang paling berat kerana ia bersangkut-paut dengan diri hingga mati.

Orang yang berhutang tetapi tidak berniat melangsaikan hutang yang ada, dan jika dia meninggal dunia, maka dia akan berjumpa Allah SWT sebagai seorang pencuri. Malah dalam satu hadis, orang yang meninggal dunia, rohnya akan tergantung iaitu rohnya tertahan daripada mencapai makam yang mulia kata Imam Suyuti.

Maka, urusan membayar hutang juga perlu disegerakan kerana kematian akan menjengah tanpa mengkhabarkan bila dan di mana.

#5- Bertaubat

Perkara ke-lima yang perlu disegerakan ialah bertaubat. Sebagai manusia, kita tidak lekang dari dosa. Pasti ada sahaja kesilapan yang kita lakukan, perintah yang kita langgar sama ada sengaja atau tidak.

Kita juga tidak tahu sebanyak mana lagi masa yang kita ada untuk hidup, maka taubat perlu dilazimi setiap waktu.

“SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (Surah Al-Baqarah 2:222)

Perhatikan bagaimana Allah menyebut tentang soal kuantiti dan kualiti di sini, iaitu ‘banyak bertaubat’ dan ‘sentiasa mensucikan hati’ . Di dalamnya ada kegigihan dan ketekunan untuk mencapai kemaafan daripada Allah SWT.

Kesimpulan

Ibadah dan amalan dalam Islam sangat menekankan praktikaliti, nilai dan kualiti. Setiap perkara yang dianjurkan atau dilarang pasti ada kebaikannya. Maka mulai daripada sekarang, ayuh perhatikan amalan kita, adakah kita tergesa-gesa dalam hal yang dianjurkan atau tidak.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.