
Bulan Ramadan ialah bulan suci yang dipenuhi dengan keberkatan. Ramai umat Islam di seluruh dunia meraikannya dengan penuh keterujaan dan kesyukuran kerana masih lagi berkesempatan menyambutnya.
Malah, amat bertuah sekali buat umat Nabi Muhammad S.A.W kerana memperoleh banyak syafaat daripada Allah S.W.T. Mari ikuti perkongsian berkenaan 5 anugerah Allah berikan kepada umat Nabi Muhammad di bulan Ramadan untuk direbut bersama.
Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan.
Jom rebut 5 Anugerah Allah kepada Ummat Nabi Muhammad saw di bulan Ramadan.
Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda,
“Umatku telah diberikan 5 perkara pada bulan Ramadhan yang tidak diberikan kepada umat lain sebelumku.”
5 ANUGERAH ALLAH BUAT UMAT NABI MUHAMMAD PADA BULAN RAMADAN
1. TIDAK AKAN DISIKSA SELAMANYA
Pertama : Sesungguhnya apabila datang malam pertama bulan Ramadhan, Allah melihat mereka (dengan pandangan rahmat-Nya) dan sesiapa yang dilihat oleh Allah, Dia tidak akan mengazabkannya selama-lamanya.
2. BAU MULUT ORANG BERPUASA LEBIH HARUM DI SISI ALLAH
Adapun yang kedua: Sesungguhnya bau mulut mereka yang berpuasa ketika waktu siang (berpuasa), lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

3. MALAIKAT MOHON KEAMPUNAN UNTUK UMAT RASULLAH
Adapun yang ketiga: Sesungguhnya para Malaikat memohon keampunan untuk mereka pada setiap hari dan malam.
4. DISEDIAKAN SYURGA UNTUK ORANG YANG BERPUASA
Adapun yang keempat: Sesungguhnya Allah memerintahkan syurga-Nya, lalu berfirman kepadanya, “Bersedialah dan berhiaslah untuk hamba-hamba-Ku. Aku mengharapkan mereka beristirehat daripada kepenatan dunia menuju ke istana-istana (kurniaan)-Ku dan kemuliaan-kemuliaan-Ku.”
5. ALLAH MENGAMPUNKAN DOSA DI MALAM AKHIR RAMADAN
Adapun yang kelima: Sesungguhnya apabila datang akhir malam (bulan Ramadhan), Dia (Allah) mengampunkan mereka semuanya.
Lalu seorang lelaki daripada mereka bertanya, “Apakah ia malam Lailatul Qadar?”
Lalu Baginda menjawab, “Bukan. Tidakkah kamu melihat para pekerja yang bekerja? Lalu apabila mereka telah selesai daripada kerja-kerja mereka, mereka akan diberikan upah-upah mereka”.
(HR : Imam Ahmad)
Semoga perkongsian di atas, dapat mengimarahkan lagi diri kita untuk sentiasa membuat amal kebaikan dan beribadah kepada Allah dalam bulan mulia ini. Selamat berpuasa dan beramal!
