≡ Menu

Ada Orang Bahagia, Tetapi Adakah Keberkatan Dalam Kebahagiaan Itu? Ini Kebahagiaan Menurut Islam

Kebahagiaan merupakan sesuatu yang menjadi dambaan dan impian setiap insan yang menghuni bumi yang terbentang luas ini. Namun tidak semua orang akan dapat memperolehi apa yang dihajatinya itu. Oleh kerana kebahagiaan adalah satu istilah yang bersifat subjektif, maka tafsiran dan pemahamannya juga adalah berbeza di antara seseorang dengan yang lain. Ada yang menganggap kebahagiaan dapat dicari apabila memperolehi kekayaan yang melimpah ruah. Tidak kurang juga yang berpendapat kebahagiaan hanya diperolehi daripada suasana rumah tangga yang harmoni. Yang selebihnya pula berpendapat kebahagiaan yang sebenarnya itu terhasil daripada ketenangan jiwa dan keimanan yang tulus ke hadrat Allah Yang Maha Esa.

Ringkasnya, setiap manusia mempunyai persepsi dan pemahaman yang berbeza mengenai kebahagiaan. Jelas di sini bahawa kebahagiaan adalah suatu yang bersifat abstrak dan tidak dapat dinilai dengan sesuatu apa pun. Maka benarlah kata pepatah Melayu yang berbunyi “Ibarat padi segenggam dengan senang hati lebih baik daripada padi selumbang dengan bersusah hati.”

Menurut ahli falsafah Muslim terkenal, al-Farabi menegaskan bahawa kebahagiaan adalah suatu darjat kebajikan yang tertinggi sekali yang tidak ada lagi suatu jenis kebajikan di atasnya yang lebih tinggi atau lebih berharga daripadanya. Justeru sebagai kebajikan yang paling utama, kebahagiaan adalah kebajikan yang sangat-sangat dicari oleh setiap insan untuk kebaikan dirinya sendiri. Ia adalah matlamat hidup sebenar dan juga merupakan keinginan terakhir yang dijejaki oleh setiap manusia yang menghuni alam semesta ini. Ini kerana apabila seseorang manusia berjaya menggapai kebahagiaan yang dicari-cari tersebut, maka dia tidak akan lagi memerlukan sesuatu yang lain daripadanya.

Manakala ahli falsafah Yunani Aristotles pula menyatakan bahawa kebahagiaan adalah kebaikan yang tertinggi yang dibentuk dan diasaskan di bawahnya oleh himpunan kebaikan yang sangat banyak jumlahnya seperti kecantikan, kesihatan, kekayaan, kekuasaan, kecerdasan, ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan sebagainya. Semua nilai kebaikan tersebut merupakan di antara komponen yang dicari dan dijejaki oleh setiap manusia sebagai wasilah menyampaikan mereka kepada kebahagiaan yang diimpikan.

Menurut perspektif Islam, kebahagiaan adalah lawan kepada penderitaan, kecelakaan dan kesengsaraan. Dalam konteks ini, orang-orang yang berbahagia adalah orang yang memperolehi naungan rahmat, perlindungan dan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah, sedangkan orang yang celaka dan sengsara adalah orang yang dijauhkan daripada rahmat Ilahi dan yang mendapat seksaan api neraka. Dengan kata lain, orang-orang yang beriman kepada Allah sedia maklum dan meyakini bahawa Allah akan menjamin kebahagiaan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Sehubungan itu, Allah berfirman dalam surah al-Mukminun, ayat 1-11 yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman; iaitu mereka yang khusyuk dalam solat, mereka yang menjauhi (perbuatan dan perkataan) yang sia-sia, mereka yang mengeluarkan zakat, mereka yang menjaga kehormatan diri kecuali terhadap isteri-isteri dan hamba-hamba mereka, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Sesiapa yang mencari selain daripadanya (isteri dan hamba), maka mereka itu orang yang melanggar batasan. Mereka yang menjaga amanah dan janji, mereka yang sentiasa mengerjakan solat, mereka itulah pewaris yang bakal mewarisi syurga Firdaus dan kekal di dalamnya.”

BACA:  Islam Melarang Kita Mencaci Agama Lain. Hormatilah Kepercayaan Orang Lain

Berdasarkan pengertian ayat suci tersebut, dapat disimpulkan terdapat sekurang-kurangnya enam syarat utama yang sewajibnya dipenuhi terlebih dahulu oleh setiap Muslim sebelum dapat mengecapi nikmat kebahagiaan yang dijanjikan Allah. Keenam-enam syarat inilah yang menjadi lambang atau bukti kepada kesempurnaan iman yang bertapak kukuh di dalam jiwa seseorang Muslim kepada Allah, iaitu khusyuk di dalam solat, meninggalkan perkara yang sia-sia, mengeluarkan zakat, memelihara kehormatan diri, memelihara amanah serta menunaikan janji dan sentiasa mengerjakan solat. Pendek kata, sesiapa yang dapat menghiasi dirinya dengan keenam-enam ciri tersebut, nescaya dia telah menempah tiket kebahagiaan sejati yang dijanjikan Allah dan juga seterusnya dia telah terjamin di sisi Allah sebagai pewaris syurga Firdaus yang disediakan kepadanya buat selama-lamanya.

Dalam satu hadis sahih, Rasulullah SAW pernah menjanjikan dua jenis kegembiraan (kebahagiaan) kepada orang-orang yang berpuasa. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa ada dua jenis kegembiraan; iaitu kegembiraan pada waktu berbuka puasa dan kegembiraan pada waktu berjumpa dengan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut ulama al-Azhar, Syeikh Mahmud Syaltut, berdasarkan hadis Rasulullah SAW, kegembiraan (kebahagiaan) yang pertama bagi seorang Muslim adalah kegembiraan kerana berjaya melaksanakan ibadat atau kewajipan agama yang diperintahkan Allah SWT kepadanya iaitu ibadat puasa secara khususnya. Kegembiraan yang kedua pula ditafsirkan sebagai kegembiraan kerana yakin dan optimis dengan ganjaran pahala berlipat ganda yang dijanjikan Allah kepadanya.

Tambah Syeikh Mahmud lagi, kedua-dua kegembiraan tersebut iaitu kejayaan menunaikan perintah Allah dan harapan yang besar terhadap ganjaran pahala di sisi Allah merupakan dua faktor yang secara langsung akan memudahkan seseorang Muslim menjejaki kebahagiaan hidupnya dunia akhirat. Ini kerana kejayaan menunaikan perintah Allah akan mencetuskan ketenangan jiwa di sudut hatinya di samping harapan mendapatkan ganjaran pahala yang besar akan mempertingkatkan lagi motivasi dan kesungguhannya untuk terus beribadat dan beramal soleh selagi hayat masih dikandung badan.

Barangkali inilah di antara hikmah dan kesan yang boleh dirasai oleh setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah setelah berlalunya sebulan Ramadan yang penuh keberkatan. Kalaulah sepanjang Ramadan yang lalu, setiap Muslim dapat memanfaatkan setiap detik dan saat yang berlalu dengan amal soleh yang dianjurkan Islam, maka mereka adalah golongan yang bakal mengecapi kebahagiaan yang dijanjikan Allah itu. Mereka beroleh kebahagiaan kerana berjaya melaksanakan ibadat puasa dan amal soleh yang lain dengan jaya dan ikhlas di samping berjaya memperolehi ganjaran pahala berlipat ganda sepanjang Ramadan.

Kesimpulannya, nilai kebahagiaan yang sebenarnya tidak diukur pada harta seseorang, pangkatnya, kedudukannya, kekayaannya dan sebagainya. Sebaliknya, kebahagiaan menurut kaca mata Islam didasarkan kepada amalan soleh yang dilakukan seseorang hamba Allah dengan penuh ikhlas sepanjangnya hidupnya. Oleh itu, dia mengisi seluruh kehidupannya sarat dengan amalan-amalan soleh dan ibadat kepada Allah semata-mata. Itulah kebahagiaan sejati yang dijanjikan Allah kepada sesiapa yang beriman kepada-Nya dengan sebenar-benar keimanan. Oleh yang demikian Syawal dan bulan-bulan seterusnya menjadi titik tolak ke arah perubahan hidup seorang Muslim untuk memulakan corak hidup yang lebih berbahagia di bawah keredaan Allah.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.