≡ Menu

Agama dan Akhlak Menjadi Teras Dan Cerminan Masyarakat

Kemajuan tertinggi yang dicapai oleh sesebuah bangsa ialah apabila setiap ahli masyarakat di segenap peringkat dapat menikmati kehidupan dalam keadaan sejahtera dan makmur. Kesejahteraan hidup ini terzahir bukan sahaja dalam bentuk pembangunan luaran akan tetapi yang lebih penting dalam bentuk ketenangan dan kesejahteraan jiwa.

Keadaan inilah yang dipanggil tamadun dan peradaban.  Ibn Khaldun menamakannya sebagai ‘umran’ yang menekankan aspek kemakmuran sesebuah Masyarakat. Beliau mentakrifkan umran sebagai “keadaan masyarakat yang digerakkan oleh sekumpulan anggota yang bekerjasama di kawasan kota atau desa dalam sebuah negara yang berdaulat dan berpengaruh bagi tujuan memenuhi matlamat hidup yang selesa lagi makmur sama ada dari segi rohani atau jasmani berpandukan agama, akhlak, hukum dan peraturan kejadian alam serta manusia ciptaan Allah.”

Malaysia sebagai negara yang ingin meningkatkan kedudukannya ke tahap negara maju dan membawa kehidupan masyarakat ke arah peradaban melalui prinsip Masyarakat MADANI, perlu mengambil panduan yang tepat dan mengikuti jalan yang betul dalam membangunkan bangsa

Dalam mengambil panduan tersebut, satu perkara penting yang harus digarisbawahi ialah, disebabkan perbezaan pandangan alam,  pendekatan dalam pembinaan tamadun akan bergantung kuat kepada pentafsiran makna insan oleh sesebuah peradaban itu sendiri.

Sebagai contoh, peradaban yang lebih dipengaruhi oleh kerangka pandangan alam sekular akan cenderung mentafsirkan insan dari sudut jasmaniah justeru akan lebih banyak menekankan pembangunan berbentuk kebendaan bagi mencapai kemaslahatan insan. Seluruh usaha dan tenaga akan digunakan untuk membina sistem dan mekanisme yang akan mencapai matlamat tersebut.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Penekanan ini jelas dapat dilihat misalnya melalui penilaian mengenai ciri-ciri peradaban dan tamadun oleh pengkaji-pengkaji moden Barat yang menumpukan aspek kebendaan sesebuah tamadun seperti kewujudan teknik pertanian dan penternakan, revolusi perbandaran, penghasilan barang tembaga dan gangsa, perkembangan tulisan, kalendar,  teknologi pengairan, perkembangan pengangkutan seperti kapal, penciptaan matawang, revolusi perdagangan dan industri.

BACA:  Seorang Mukmin Tidak Ada Waktu Berehat Melainkan Pada Saat Pertemuannya Dengan Allah SWT

Walaupun aspek-aspek ini tidak dinafikan merupakan sebahagian dari manifestasi luaran sesebuah tamadun, namun dengan menyempitkan ciri tamadun kepada perkara tersebut sahaja. Ia akan dimensi akar dalam pembentukan peradaban. Dimensi yang dimaksudkan ialah ilmu dan akhlak yang merupakan teras utama pembinaan peradaban dan dimensi yang akan memastikan sesebuah peradaban.

Dimensi ilmu dan akhlak adalah yang paling berkait dengan kemanusiaan yang menjadi asas penting peradaban. Ketinggian sesebuah peradaban seperti yang diteliti oleh Ibn Khaldun berkait dengan kehalusan akal budi manusia terzahir dari ilmu dan akhlak.

Mengambil peradaban Islam sebagai contoh, kerangka pandangan alam Islam yang menekankan tawhid dan ketundukan kepada Tuhan telah membentuk satu peradaban yang mencerminkan satu kehalusan budipekerti dan akhlak hasil dari ilmu yang berteraskan kerangka tauhid.

Sebab itulah dalam peradaban Islam aspek kebendaan mungkin tidak terlalu terserlah sebagai manifestasi peradaban, akan tetapi yang lebih menonjol ialah cerminan ilmu dan akhlak yang lebih banyak dilihat dari sudut penghasilan karya-karya agung serta cerminan dimensi akhlak keagamaan yang lebih banyak dapat dilihat dari diri contoh-contoh individu unggul dari sudut tingkah laku dan budi pekerti.

Peradaban Islam juga tidak meninggalkan kesan peninggalan monumen, arca dan binaan hebat seperti Piramid di Mesir, Colosseum di Rom, Borobudur di Indonesia dan Angkor Wat di Cambodia, namun ketinggian peradaban Islam lebih dapat dilihat dari segi sejarah perkembangan pusat-pusat ilmu pengetahuan di kota-kota besar seperti Baghdad, Kaherah, Damaskus, Isfahan, Samarkand, Istanbul, Cordoba dan Andalusia serta institusi pendidikan tinggi seperti Nizamiyyah, Baitul-Hikmah, al-Azhar, Zaytunah dan Qarawiyyin.

Justin Marozzi dalam kajiannya terhadap lima belas bandar-bandar penting dunia Islam yang menjadi simbol peradaban Islam melalui karyanya Islamic Empires: Fifteen Cities that Define a Civilization menyimpulkan bahawa bandar-bandar ini “mencerminkan sejarah yang sarat dengan kehebatan, kesarjanaan dan keruhanian.”

BACA:  Perbaiki 10 Perkara Ini Jika Ingin Rezeki Yang Tak Sempit. Insya'Allah

Aspek ilmu dan akhlak inilah yang sebenarnya mengekalkan kelangsungan sesebuah peradaban sebagaimana keruntuhan kedua-duanya bakal meruntuhkan sesebuah peradaban. Ini kerana kedua-dua unsur ini berperanan besar memperkukuhkan kekuatan dalaman insan yang menjadi teras utama sesebuah peradaban.

Tidak hairanlah sejarah  tamadun Islam yang berakarkan ilmu dan akhlak merakamkan kelangsungan empayar-empayar Islam yang mempu  bertahan begitu lama seperti khilafah Abbasiyah selama 500 tahun dan empayar Uthmaniyah lebih 600 tahun.

Sejarah juga merakamkan kejatuhan banyak empayar besar disebabkan keruntuhan nilai kemanusiaan hasil dari lunturnya unsur ilmu dan akhlak.

Dalam konteks peradaban Islam, aspek ilmu dan akhlak ini sekiranya diteliti berpunca dari prinsip agama Islam yang amat kuat menekankan tentang kedua-dua unsur ini. Al-Quran sebagai sumber agama Islam sarat dengan ayat-ayat yang menekankan kepentingan ilmu dan akhlak yang baik.

Dari segi bahasa, hubungan rapat antara agama dan peradaban dalam Islam antara lain dapat dilihat pada hubungan semantik istilah din (agama) dan madinah (bandar) dan tamaddun (peradaban) yang mempunyai akar kata yang sama iaitu dana.

Ini menunjukkan bahawa pembangunan perbandaran dan akhirnya peradaban tidak harus terlepas dari teras agama dan akhlak. Bukti lain yang dapat dilihat dalam tradisi Islam ialah apabila penzahiran perbandaran dan peradaban pertama bermula dengan terbinanya madinatunnabiy (Madinah) selepas penghijrahan nabi dari Mekah. Di sinilah bermulanya pengamalan agama  dalam bentuknya yang paling sempurna diikuti dengan pembentukan masyarakat MADANI yang meliputi aspek keagamaan, kemasayarakatan, siyasah, mu’amalah, dan pendidikan.

Inilah antara asas penting yang perlu mendasari gagasan Malaysia MADANI yang sedang dirancakkan oleh kerajaan sekarang.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.