≡ Menu

Air Asbab Yang Menyelamatkan Kita Dari Perang Dan Bencana. Insya’Allah

Allah ‘azza wa jalla mengingatkan manusia dalam al-Qur’an bahawa Dialah yang menurunkan air kehidupan yang darinya bertumbuh segala macam jenis tanaman sebagai tanda bagi orang-orang yang beriman (Surah al-An‘am, ayat 99).

Bahagian Kitab al-Musaqah dalam Sahih oleh Imam al-Bukhari menghimpunkan sejumlah hadith sahih yang menyentuh mengenai tanggungjawab fardu kifayah memastikan penjagaan sumber air dan berkongsi lebihan dengan masyarakat sekitarnya termasuklah para pengembara, haiwan ragut, dan tanah yang memerlukan pengairan.

Pada awal 2019, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (Food and Agriculture Organisation, FAO), sebuah cabang dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengeluarkan kenyataan bahawa kekurangan air bersih dan selamat diminum di serata dunia yang disebabkan oleh perubahan iklim, penggunaan berlebihan, dan pencemaran merupakan salah satu cabaran terbesar masa kini.

Berkembangnya ‘kawasan panas’ yang muncul akibat daripada ‘ketidakseimbangan antara penggunaan air dan sumber-sumber air’ tidak terhad kepada hanya kawasan di Afrika Utara dan di Timur Tengah tetapi juga di Eurasia dan Amerika Utara.

Sebahagian besar bencana yang menimpa manusia adalah suatu pembalasan disebabkan perbuatan merosakkan alam sekitar yang diamanahkan penjagaannya kepada manusia selaku khalifah di muka bumi.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Allah subhana wa ta‘ala berfirman dalam al-Qur’an: “Telah muncul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum, ayat 41).

Sejak tahun 2015 lagi ahli-ahli sains telah memberi amaran mengenai kemarau dahsyat (megadroughts) yang boleh menjejaskan negara-negara di hemisfera barat selama beberapa dekad dari 2050 hinggalah abad yang seterusnya.

Menurut laporan analisis terkini (17 Mac 2021) Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations International Children’s Emergency Fund, UNICEF), sejumlah 1.42 bilion penduduk dunia tinggal di kawasan sumber air terjejas dalam 80 buah negara.

Malaysia termasuk negara yang memerlukan dasar pengurusan air yang lebih baik. Selain kebergantungan kepada punca air yang terhad, kemarau umpamanya yang berlaku di Selangor dan Negeri Sembilan dan menyebabkan bekalan air perlu dicatu selama berbulan lamanya pada tahun 2014 berupaya kembali di masa akan datang.

Krisis air berpotensi menyebabkan bencana yang membahayakan nyawa manusia. Kekurangan air bersih untuk tujuan minum dan mencuci boleh mewujudkan keadaan kotor dan tidak sihat, selain menjadi kawasan pembiakan vektor dan penyebaran wabak penyakit.

Peningkatan jumlah penduduk dunia di abad ke-20 telah memburukkan lagi masalah bekalan air. Menurut kajian yang dilakukan oleh institusi dan perancang kerajaan di seluruh dunia seperti Bank Dunia, Pertubuhan Air Dunia, Institut Pasifik, dan Forecast International semuanya telah sampai ke yang kesimpulan yang sama iaitu lanjutan krisis air boleh menyumbang ke arah tercetusnya konflik ganas.

Pakar pengajian peperangan, Lawrence Freedman, menyatakan dalam bukunya The Future of War (2017) bahawa sebahagian besar peperangan berpunca dari konflik ideologi dan agama, keruntuhan orde politik, dan perebutan ke atas sumber tanah dan mineral sumber yang terhad. Beliau turut mengisyaratkan bahawa peperangan dalam 100 tahun seterusnya mungkin disebabkan oleh perebutan untuk menguasai sumber-sumber air.

Di zaman purba dan zaman pertengahan, pertempuran dimenangi dengan taktik  mengerahkan pasukan berkuda agar cepat sampai ke sumber-sumber air. Pasukan tentera pertama yang tiba pada sumber air dan menguasainya boleh menyekat bekalan dari pasukan musuh, dengan itu memposisikan pihak lawan dalam keadaan serba kekurangan.

BACA:  Bertadaruslah Bersama Pasangan. Insya'Allah, Pahala Pun Dapat, Hubungan Pun Makin Erat

Dalam strategi pertahanan kubu, askar-askar mengambuskan telaga dan memusnahkan mata air dengan membuang di dalamnya bangkai, air beracun, dan arsenik bagi mencegah daripada jatuh ke tangan pihak musuh.

Kedua-dua contoh di atas menunjukkan bagaimana kekurangan air atau menafikan sumber-sumber dapat digunakan sebagai senjata untuk melemahkan dan mengalahkan musuh.

Di zaman moden, konsep Perang Habis-habisan (Total War) menjadikan peperangan masa depan lebih dahsyat oleh kerana bukan sahaja skalanya yang besar dan menembusi sempadan bahkan juga penggunaan senjata berbahaya antaranya bahan kimia tidak terbiodegradasi justeru meninggalkan kesan berpanjangan.

Pemikir dan ulama besar Islam Imam al-Ghazali menyatakan dalam karyanya mengenai seni pemerintahan dan urus tadbir, Nasihat al-Muluk (Nasihat Buat Para Raja), bahawa pemimpin yang bijak seharusnya berupaya menguruskan wilayah kekuasaannya dengan kemahiran dan pengalaman, mengelakkan konflik yang ganas melalui diplomasi (bi’l-kutub),  dan menerapkan dasar dan strategi yang sesuai (bi’l-ihtiyal).

Maka, penjagaan dan pemeliharaan sumber air ialah salah satu daripada strategi terbaik yang dapat dilaksanakan dalam suasana aman. Oleh kerana kesan akibat krisis air tidak dapat tidak mesti sentiasa berada dalam pertimbangan pemerintah, apa jua tindakan yang menjejaskan pengurusan air atau kekurangan dalam memandang kesan akibat perbuatan demikian hanyalah menjemput datangnya konflik dan bencana.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.