≡ Menu

Amalkan Ayat Kursi Elak Gangguan Syaitan. Gangguan Datang Dalam Pelbagai Bentuk Dan Rupa

SYAITAN adalah merupakan musuh nombor satu kepada orang-orang beriman. Mereka akan sedaya upaya berusaha bagi menyesatkan anak-anak Adam dengan mendekatkan mereka kepada segela jenis maksiat.

Bahkan makhluk itu menghasut dan menjadikan perbuatan maksiat tersebut indah di mata manusia.

Persoalannya, adakah syaitan boleh menyerupai manusia?

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, terdapat kisah syaitan menyerupai manusia dan meminta harta zakat kepada Abu Hurairah RA yang ketika itu diamanahkan untuk menjaga zakat sebagaimana katanya:

(Maksudnya): Rasulullah SAW mewakilkanku untuk menjaga zakat Ramadhan, lalu datang kepadaku seseorang dan mengaut makanan. Aku memegangnya dan berkata: “Sesungguhnya aku akan melaporkanmu kepada Rasulullah SAW.” Orang itu pun menceritakan apa yang berlaku, lalu berkata: “Apabila kamu ke tempat tidurmu bacalah ayat kursi, maka pemelihara dari Allah akan sentiasa bersamamu, dan syaitan tidak akan mendekatimu sehingga subuh.” Nabi SAW bersabda: “Dia telah berkata benar kepadamu sementara dia adalah pendusta, dia itu ialah syaitan.”

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Jelasnya lagi, terdapat satu riwayat bagaimana iblis datang menjelmakan diri dengan rupa seorang lelaki lalu menabur janji-janji indah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas dengan sanad yang dipertikaikan mengenainya daripada riwayat Ali bin Abi Talhah. Ibn Abbas R.Anhuma berkata:

(Maksudnya): “Ketika hari perang Badar, iblis muncul dalam barisan tentera syaitan dan aku melihat dia menjelmakan diri seperti lelaki dari Bani Mudlij, dengan rupa seperti Suraqah ibn Malik ibn Jus’um. Dia berkata kepada musyrikin: “Tidak ada seorang pun dari manusia yang dapat mengalahkan kalian pada hari ini dan sesungguhnya saya adalah pelindungmu.” Ketika manusia telah berbaris, Rasulullah mengambil segenggam debu, lalu baginda melemparkan ke arah orang-orang musyrikin, mereka pun lari bertempiaran. Lalu Jibril menuju ke arah iblis. Ketika itu iblis sedang memegang tangan salah seorang musyrik, apabila dia melihat kedatangan Jibril, dia terus melepaskan tangan orang musyrik tersebut, kemudian iblis bersama syaitan-syaitan yang mengiringinya melarikan diri. Lelaki (musyrik) itu pun berkata: “Wahai Suraqah, kamu bagitahu kamu adalah pelindung kami? ” Iblis menjawab: “Sesungguhnya aku dapat melihat apa yang kalian tidak bisa melihatnya, sesungguhnya saya takut kepada Allah. Dan Allah sangat keras siksa-Nya.” Ketika itulah Iblis melihat para malaikat.”

Kisah ini kata Zulkifli diriwayatkan oleh Imam al-Tobari dalam tafsirnya, dan Ibn Kathir dalam tafsir surat Al Anfal. Al-Tabrani juga telah meriwayatkan di dalam al-Mu’jam al-Kabir daripada Rifa’ah bin Rafi’ al-Ansariy sepertimana Riwayat Ibn Abbas, tetapi sanadnya dhaif kerana terdapat Abd al-Aziz bin Imran, seorang yang dhaif. Al-Haithami telah mendhaifkan riwayat ini disebabkan olehnya di dalam Majma’ al-Zawaid.

Sementara itu, Zulkifli berkata, Sheikh Muhammad Al-Syibli menyebut bahawa tidak syak lagi bahawa jin dan syaitan mampu untuk berubah-ubah bentuk sama ada bentuk manusia atau haiwan.

Sepertimana syaitan menyerupai Suraqah Bin Malik Bin Ja’syam dan mendatangi orang musyrikin Quraisy ketika mana mereka mahu keluar ke medan Badar.

BACA:  Salah Faham Tentang Jama' Dan Qasar

“Sheikh Sulaiman al-Asyqar menyebut bahawa kadang-kadang syaitan mendatangi manusia bukan dengan membisikkan perkara was-was akan tetapi ada satu ketika ia datang menyerupai manusia. Kita boleh dengar suara tapi tidak nampak tubuhnya. Ia juga boleh menyerupakan diri dengan bentuk-bentuk yang pelik,” katanya.

Tambahnya, Al-Qadhi Abu Ya’la menyebut bahawa Syaitan tidak ada kemampuan untuk merubah-ubah bentuk. Akan tetapi boleh jadi Allah mengajarkan kepadanya beberapa perkataan dan perbuatan yang mana jika ia dilakukan atau disebutkan maka akan mengubah bentuknya kepada bentuk yang lain atau menyerupakan dirinya dengan sesuatu yang berbeza.

“Walaupun syaitan dan jin boleh merubah-ubah bentuk atau merupakan diri mereka dengan sesuatu bentuk yang asing akan tetapi satu perkara yang perlu diingat bahawa penyerupaan tersebut tidak mampu langsung untuk memberikan mudarat kepada kita. Mudarat atau manfaat kesemuanya datang daripada Allah SWT,” ujarnya.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan sabda Nabi SAW yang diriwaytakan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

(Maksudnya):”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul (Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia).”

“Justeru, kami nyatakan bahawa syaitan atau iblis boleh menyerupai pelbagai rupa dan bentuk, termasuk juga dengan manusia sebagaimana peristiwa syaitan menyerupai manusia meminta zakat dan mengajarkan ayat al-Kursi, serta peristiwa penyerupaan Suraqah bin Malik di dalam peperangan Badar,” jelasnya.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.