SOALAN
Assalamualaikum ust. Apakah benar anak jadi tidak baik, akhlak buruk adalah kerana dosa ibu bapa mereka? Mohon penjelasan. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Tidak ada nas yang jelas yang menyatakan dosa ibu bapa menjadi penyebab kepada akhlak tidak baik anak-anak. Walaubagaimanapun nas ada menyebutkan tentang tanggungjawab ibu bapa untuk mengajar dan mendidik anak-anak agar patuh kepada ajaran agama. Dalam mendidik anak-anak ibu bapa juga perlu menjadi contoh tauladan dengan menunjukkan sikap dan budi pekerti yang baik di hadapan anak-anak kerana anak-anak cenderung mengikuti tingkah laku yang paling hampir dengan mereka. Kekurangan bimbingan agama dan ketiadaan contoh tauladan dari ibu bapa boleh mempengaruhi akhlak anak-anak. Walaubagaimanapun setelah ada usaha bimbingan dari ibu bapa tetapi anak-anak masih berkelakuan tidak baik maka ia merupakan ujian terhadap ibu bapa atau Allah SWT ingin memberi kebaikan dan ganjaran pahala kepada mereka.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkah Baginda hingga Hari Kesudahan.
Tidak ada nas yang jelas yang menujukkan bahawa akhlak tidak baik anak-anak adalah disebabkan dosa ibu bapa. Nas-nas yang ada ialah tentang kewajipan ibu bapa memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak dari sudut pemantapan iman diikuti ibadah dan hubungan yang baik sesama manusia. Firman Allah SWT:
يَٰبُنَيَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَٱنۡهَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ
Maksudnya: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.”
Surah Luqman (17)
Dalam ayat ini Allah SWT menceritakan perihal Luqman seorang hamba Allah yang soleh yang menasihatkan anaknya, agar menjauhi perbuatan syirik, mengerjakan amal-amal soleh serta berakhlak dengan akhlak yang mulia.
(Rujuk: Fath al-Bayan fi Maqasid al-Quran, 10/287)[1]
Allah SWT memberi peringatan dengan jelas kepada orang-orang beriman agar memelihara diri mereka dan keluarga dengan membimbing ke arah kebaikan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.”
Surah al-Tahrim (6)
Ibu bapa adalah cermin kepada anak-anak. Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ، أو يُنَصِّرَانِهِ، أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Maksudnya: “Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibubapanya yang menjadikannya beragama yahudi atau menjadikannya beragama nasrani atau menjadikannya beragama majusi.”
Riwayat Muslim(4805)
Dalam mendidik anak-anak ibu bapa perlu menunjukkan tauladan yang baik dengan mematuhi segala ajaran agama dan ini sudah tentu akan mempengaruhi anak-anak dalam proses pendidikan tersebut. Imam Ibnu Hajar al-Haitami ada menyebutkan jika ibu bapa bertakwa kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT akan mengurniakan kebaikan dan mempermudahkan segala urusan zuriat mereka dengan memberi keberkatan serta petunjuk dalam kehidupan zuriat-zuriatnya. Namun sebaliknya, jika ibu bapa mereka tidak melaksanakan perintah Allah dan melanggar larangan Allah, nescaya anak-anak mereka akan berkelakuan sebagaimana kelakuan ibu bapa mereka.
(Rujuk: al-Zawajir ‘an aI-iqtiraf al-Kaba’ir, 1/23)[2]
Jika sekiranya ibu bapa telah melaksanakan tanggungjawabnya dalam pendidikan agama anak-anak tetapi anak-anak masih tidak berakhlak dengan akhlak yang baik maka itu adalah satu ujian bagi ibu bapa. Mereka perlu bersabar atas ujian itu dan ia menjadi sebab kepada ganjaran pahala di sisi Allah kepada ibu bapa.
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, tidak ada nas yang jelas yang menyatakan dosa ibu bapa menjadi penyebab kepada akhlak tidak baik anak-anak. Walaubagaimanapun nas ada menyebutkan tentang tanggungjawab ibu bapa untuk mengajar dan mendidik anak-anak agar patuh kepada ajaran agama. Dalam mendidik anak-anak ibu bapa juga perlu menjadi contoh tauladan dengan dengan menunjukkan sikap dan budi pekerti yang baik di hadapan anak-anak kerana anak-anak cenderung mengikuti tingkah laku yang paling hampir dengan mereka. Kekurangan bimbingan agama dan ketiadaan contoh tauladan dari ibu bapa boleh mempengaruhi akhlak anak-anak. Walaubagaimanapun setelah ada usaha bimbingan dari ibu bapa tetapi anak-anak masih berkelakuan tidak baik maka ia merupakan ujian terhadap ibu bapa atau Allah SWT ingin memberi kebaikan dan ganjaran pahala kepada mereka. والله أعلم