Bila ada anak yang ‘perfectionist’ ibu bapa perlu bersedia untuk memberi perhatian dan tumpuan yang lebih kepada mereka. Dalam masa yang sama ibu bapa juga tidak perlu menekan anak dengan jangkaan dan harapan yang tidak realistik kerana bimbang anak tertekan hingga membawa kemurungan.
Elakkan daripada membanding-bandingkan anak dengan anak orang lain. Setiap anak mempunyai kelebihannya yang tersendiri dan perbandingan itu membuatkan anak tertekan hingga membawa kemurungan.
Bagaimanapun kita juga perlu tahu, di dalam sesetengah keluarga walaupun ibu bapa tidak menekan, walaupun ibu bapa tidak membanding-bandingkan, tetapi sifat anak itu sendiri sangat kompetitif dan terlampau inginkan kesempurnaan dalam apa juga yang diusahakannya.
Anak ‘Perfectionist’ Ibu Bapa Perlu Beri Perhatian & Tumpuan Supaya Anak Lebih Tenang
Dan di antara anak-anak yang ‘perfectionist’ sebegini, ada yang tenang dalam pergelutan mencapai kesempurnaan yang diimpikan dan ada juga yang terbeban dengan jangkaan dan harapan yang menggunung tinggi ke atas diri sendiri.
Jika anda memiliki anak yang sebegini ataupun anda mempunyai pelajar yang sebegini, anda tentu faham apa yang cuba saya sampaikan.
“Saya tidak pernah paksa anak saya Puan,” keluh seorang Ibu.
“Tetapi dia sangat berharap agar terpilih menyertai pasukan bola sepak tu. Dia memang usaha sungguh-sungguh untuk mendapat tempat. Saya kesiankan dia sebab adik dia berjaya dan dia tidak berjaya.”
“Saya tak bandingkan dia dengan adik dia pun Puan. Cuma saya rasa dia sangat kompetitif ingin bersaing dengan adik dia.”
Saya faham keluhan ibu ini. Saya faham kerisauannya.
“Anak saya ni Puan, saya cakap dah OK dah hasil lukisan dia. Dia tetap rasa dia buat tak cantik. Sampai menangis-nangis tak puas hati.”, cerita seorang Ibu yang lain pula.
“Kadang-kadang dia tak puas hati, padam sampai koyak kertas. Kemudian dia menangis sebab kertas tu koyak pulak.” Sambung si Ibu lagi.
Anak yang ‘perfectionist’ berbeza dengan anak yang menetapkan standard yang tinggi ke atas dirinya sendiri.
Anak yang menetapkan standard tinggi berusaha dengan lebih tenang. Lebih mudah menghadapi kekecewaan dan kegagalan. Lebih cepat terima dan bangkit.
Anak yang ‘perfectionist’:
*Mempunyai harapan dan jangkauan yang terlampau tinggi ke atas diri sendiri.
*Merasa tidak cukup dan belum sempurna walaupun di mata orang lain dia sangat hebat.
*Sangat sensitif kepada sebarang maklumbalas atau pendapat yang diberikan kepadanya.
*Cenderung untuk menilai diri (self critical), dan sentiasa berhati-hati (self conscious).
*Merasa gusar yang berpanjangan apabila melakukan kesilapan.
*Sangat terkesan dengan emosi negatif yang dirasainya.
Anak yang ‘gifted’ dan sering mencapai kejayaan yang cemerlang dalam sesuatu bidang mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk menjadi seorang ‘perfectionist’.
Menurut Dr Gordon Flett, Pengarah La Marsh Centre for Child and Youth di University of York, ‘perfectionism’ ataupun sifat inginkan kesempurnaan adalah sesuatu yang lumrah dan boleh diwarisi. Bagaimanapun faktor genetik bukanlah sebab sepenuhnya ia berlaku.
Tekanan di kalangan ahli keluarga boleh menyumbang ke arah perfectionism. Faktor persekitaran juga boleh menyulitkan lagi. Berada di kalangan rakan-rakan yang kompetitif dan hebat memberi tekanan kepada anak untuk meletakkan harapan yang tinggi ke atas diri sendiri untuk bersaing.
Media sosial juga boleh menjadi sumber anak menjadi ‘self critical’ dan membandingkan dirinya dengan orang lain.
Bimbingan emosi sangat penting bagi anak-anak ‘perfectionist’ ini kerana mereka sering diselubungi oleh rasa tidak yakin, tidak cukup bagus, kecewa kerana melakukan kesilapan dan kecewa kerana ‘gagal’ pada tafsiran mereka sendiri.
Sebagai ibubapa, perhatian dan tumpuan yang lebih perlu diberikan kepada anak-anak ini untuk mendengar luahan mereka supaya mereka dapat menjadi lebih tenang. Kadang-kadang apa yang diluahkan tidak masuk akal tetapi teruskan memberi sokongan.
Dekati mereka dengan Bahasa Kasih Sayang (Love Language) mereka. Jikalau kita banyak berkata-kata dari mendengar ia akan hanya mengeruhkan suasana.
Cuba yakinkan anak yang sesiapa sahaja akan melakukan kesilapan. Sesiapa sahaja akan melalui episod kegagalan. Berkongsi dengan anak kisah kesilapan dan kegagalan kita sendiri untuk meyakinkan anak.
Sekiranya kita sudah mencuba sedaya upaya, meletakkan harapan dan jangkaan yang realistik pada anak namun anak tetap bersedih, sukar untuk gembira, murung yang berpanjangan, tetap menghukum dan menyalahkan dirinya sendiri sehigga mengganggu tugasan dan rutin harian, dapatkanlah bantuan pakar yang dapat membantu.