Imam at-Tobrani telah merekodkan satu riwayat yang bersumber daripada Abu Qirsofah RA, katanya, telah bersabda Rasulullah SAW: “Wahai manusia sekalian, berhijrahlah kalian (di jalan Allah) dan berpegang teguhlah dengan Islam, sesungguhnya hijrah itu sesekali tidak terputus selagi mana masih ada jihad.”
Hijrah tidak dapat dipisahkan daripada jihad. Jihad itu pula akan terus berlangsung hingga Hari Kiamat. Hijrah merujuk kepada amalan meninggalkan kampung halaman semata-mata untuk mempelajari, menyebarkan dan memperjuangkan agama Allah Taala.
Hijrah juga memaknawikan hakikat perubahan seseorang daripada satu keadaan yang tidak atau kurang elok, kepada tahap sahsiah dan keimanan yang lebih baik.
Hadrat Mu’awiyah, Hadrat Abdur-rahman ibn ‘Auf dan Hadrat Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash radhiyallahu ‘anhum meriwayatkan, bahawa baginda Nabi SAW telah bersabda maksudnya: “Hijrah itu dua bentuk iaitu hijrah meninggalkan perbuatan-perbuatan yang jahat dan satu lagi ialah hijrah seseorang itu kepada Allah dan Rasul-Nya (yakni dengan meninggalkan kampung halamannya). Dan hijrah itu tidak akan terhenti selagimana diterima taubat; dan taubat itu kekal diterima sehinggalah terbitnya matahari dari sebelah barat; apabila telah terbit sedemikian, maka hati manusia akan dimeterai (atau dipatri) dengan sekadar apa yang telah ada; dan mencukupilah manusia dengan (sekadar) amalan (yang pernah dilakukan)” – (Hadis riwayat Ahmad dengan perawi-perawinya adalah thiqah (dipercayai) dan oleh at-Tobrani di dalam kitab al-Awsath dan al-Soghir beliau.)
Apabila ada hijrah, maka berlaku pergerakan. Air yang mengalir, air itu akan menjadi jernih, suci lagi menyucikan walaupun sedikit. Sebaliknya, jika air itu jernih sekalipun, apabila bertakung dan tiada pergerakan berlaku, akhirnya air itu akan berlumut, busuk dan memudaratkan.
Apabila kita meneliti kehidupan sahabat Rasulullah SAW, kita akan dapati kehidupan mereka sentiasa diwarnai dengan pergerakan hijrah. Sama ada hijrah secara kekal seperti hijrah sahabat dari Makkah atau kampung halaman mereka ke Madinah untuk bersama Rasulullah SAW atau hijrah yang bersifat sementara dengan meninggalkan kampung halaman mereka demi keperluan agama. Hijrah sudah menjadi darah daging mereka. Mereka bersedia meninggalkan kampung halaman mereka demi agama Allah.
Daripada Wathilah bin al-Asqa’ RA berkata Rasulullah SAW telah bertanya kepada ku: “Apakah engkau akan berhijrah?”
Saya menjawab, “Ya.”
Rasulullah SAW bertanya lagi: “Hijrah al-Baadiyah atau Hijrah al-Baattah?”
Saya bertanya: “Yang mana di antara keduanya lebih utama?”
Sabda baginda: “Hijrah al-Baattah iaitu engkau tetap tinggal bersama Rasulullah SAW; manakala Hijrah al-Baadiyah pula ialah (selepas meninggalkan kampung halaman dan menyempurnakan maksud agama) engkau pulang kembali ke kampung mu, dan hendaklah engkau dengar (perintah amir) dan mentaatinya baik dalam keadaan engkau sulit mahupun senang, juga ketika engkau enggan mahupun ketika engkau bersemangat, mahupun saat (ada perkara lain) yang kau anggap lebih utama (pada ketika itu).” (Ini adalah sebahagian hadis yang diriwayatkan oleh al-Tobrani dengan perawinya adalah thiqah)
Al-‘Allamah Asy-Syaikh Sayyid Abul-hasan ‘Ali al-Husaini an-Nadwi, seorang tokoh pemikir Islam pernah menyatakan di dalam satu syarahannya, bahawa sesungguhnya umat Islam ini hanya terdiri daripada dua kelompok sahaja iaitu muhajirin (orang yang berhijrah) dan ansar (orang yang membantu mereka yang berhijrah).
Apabila ada kelompok kaum Muslimin yang meninggalkan kampung halaman mereka kerana agama, maka wujud apa yang dipanggil sebagai muhajirin. Apabila kelompok muhajirin ini sampai ke sesuatu destinasi dan disambut serta disantuni oleh penduduk tempat itu, maka terwujud kelompok ansar. Melalui amalan hijrah dan nusrah (bantuan kepada orang yang berhijrah) ini Allah jadikan asas agama tegak dan mulia di atas muka bumi.
Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (atas maksud agama) dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” ( Surah al-Anfaal 8: 74)
Di dalam kelompok manakah kita sedang berada?