SITUASI setiap orang tidak sama. Walaupun kita mungkin duduk di dalam satu rumah yang sama, namun rutin atau urusan yang dilakukan pastinya berbeza.
Begitupun, sebagai orang Islam, kita tetap berkongsi kewajipan yang sama iaitu solat fardu lima waktu. Sesibuk mana pun, ibadah itu tetap wajib dikerjakan sekalipun seseorang itu sedang sakit atau berkelana.
Apa yang membezakannya adalah masa seseorang menunaikan kewajipan berkenaan apabila masuknya waktu.
Kadangkala ada sebab tertentu yang menyebabkan seseorang itu terlewat. Tidak kiralah sama ada ia disebabkan urusan sendiri atau berhadapan situasi darurat yang menyebabkan mereka terlewat untuk menunaikan solat.
Situasi di luar jangkaan ataupun sudah dijangka itu pastinya akan menyebabkan mereka menunaikan solat pada hujung waktu. Contohnya, solat Asar pada waktu hampir-hampir hendak masuk Maghrib.
Bagaimanakah status solat berkenaan yang dilakukan pada penghujung waktu dan kemudian terdengar azan solat waktu berikutnya ketika sedang menunaikan kewajipan berkenaan?
Andai berlaku situasi tersebut, teruskan solat yang sedang dikerjakan itu.
Jangan gelabah atau berhentikan solat tersebut. Teruskan sahaja solat tadi.
Ini kerana jika kita sempat melakukan sebahagian aktiviti solat pada waktu sembahyang itu sendiri, kita telah mendapat keseluruhan solat berkenaan walaupun telah masuk waktu sembahyang yang lain.
Perkara itu ada dijelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang mana baginda bersabda: “Barang siapa yang sempat melakukan satu rakaat Subuh sebelum terbitnya matahari, maka sesungguhnya ia sudah dapat keseluruhan Subuh dan barang siapa yang sempat satu rakaat pada solat Asar sebelum terbenamnya matahari, maka dia telah mendapat keseluruhan Asar.” (Sahih al-Bukhari).
Apa pun yang terbaik, kita berusaha untuk solat pada awal waktu.
Alangkah bagusnya jika kita dapat menunaikan solat pada awal waktu. Terasa tenang dan tenteram hendak menghadap ALLAH SWT.
Tidak adalah kita terkejar-kejar dan tergopoh-gapah mahu mengejar waktu kerana khuatir ia akan tamat.
Biasakan diri kita untuk melakukan solat tepat pada masanya kerana ia antara amalan yang paling dicintai oleh ALLAH SWT.
Ketahuilah, Rasulullah SAW pernah ditanyakan tentang amalan yang paling dicintai oleh ALLAH.
Lalu, baginda SAW bersabda: “Solat pada waktunya.” Dia (perawi) bertanya lagi kemudian apa, jawab baginda: “Berbuat baik kepada ibu bapa.” Dia bertanya lagi kemudian apa, jawab baginda: “Jihad pada jalan ALLAH SWT.” (Sahih al-Bukhari)