
Apakah khasiat ketumbar pada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan khasiat ketumbar, kandungan nutrisi dan kompaun sihat dalam ketumbar.
Pengenalan
Daun ketumbar merupakan sejenis herba yang dikenali ramai terutamnya di kalangan masyarakat Asia. Daun ketumbar atau nama saintifiknya Coriandrum sativum merupakan sejenis herba yang berasal dari keluarga Apiaceae.
Bahagian pokok ketumbar yang sering digunakan di dalam masakan ialah daun dan bijinya di mana ianya ditambah untuk meningkatkan lagi rasa masakan.
Tahukah anda bahawa daun ketumbar bukan sahaja boleh digunakan untuk tujuan menaikkan rasa masakan, malah ia juga mempunyai pelbagai kebaikan terhadap kesihatan. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan dengan lebih lanjut akan kebaikan ketumbar terhadap kesihatan.
Komponen Berkhasiat Daun Ketumbar
Disebalik pelbagai kebaikan yang ditawarkan oleh ketumbar, terdapat pelbagai komponen berkhasiat yang terdapat did alam tumbuhan ini. Pohon ketumbar mempunyai beberapa jenis flavonoid seperti quercetin, keampferol, rhamnectin dan apigenen di mana flavonoid ini dapat memcegah kerosakkan yang disebabkan oleh radikal bebas. Ianya juga mempunyai beberapa komponen antioksida dan bahan aktif seperti caffeic dan chlorogenic.
10 Khasiat Daun Ketumbar pada Kesihatan
1. Bersifat hipoglisemik
Satu kajian telah dijalankan ke atas haiwan diabetik untuk mengkaji kesan ketumbar ke atas pengawalan gula di dalam darah. Kajian ini mendapatii bahawa pengambilan daun ketumbar ke dalam diet haiwan tersebut dapat mengelakkan kejadian hiperglisemia. Hal ini kerana ianya meningkatkan penghasilan insulin dan meningkatkan pengangkutan glukosa ke dalam sel.
2. Merawat pembengkakkan
Di dalam ketumbar, terdapat satu komponen yang bernama cineole yang mampu untuk merawat bengkak pada badan yang disebabkan oleh masalah ginjal. Hal ini kerana komponen di dalamnya membantu untuk menyingkirkan air yang berlebihan di dalam badan.
3. Bersifat diuretik
Kajian terhadap haiwan telah dijalankan untuk mengkaji kesan ekstrak ketumbar ke atas aktiviti diuretik haiwan. Kajian mendapati bahawa pengambilan ekstrak ketumbar meningkat jumlah pengeluaran air kencing haiwan. Oleh itu, ketumbar dilihat berpotensi dijadikan sebagai rawatan kepada tekanan darah tinggi.
4. Membantu sistem penghadaman
Antara khasiat lain ketumbar adalah dapat merangsang penghasilan jus dan enzim yang diperlukan oleh badan untuk proses penghadaman. Hal ini dapat menggalakkan proses penghadaman makanan dan proses peristalsis dan membantu mereka yang mempunyai masalah penghadaman.

5. Meningkatkan selera
Satu kajian terhadap haiwan telah dijalankan untuk mengkaji kesan pengambilan ekstrak ketumbar ke atas selera haiwan tersebut. Kajian mendapati bahawa kumpulan haiwan yang mengambil ekstrak ketumbar menunjukkan pengambilan tenaga yang lebih tinggi berbanding kumpulan haiwan yang tidak mengambil ekstrak ketumbar.
6. Mencegah cirit-birit.
Antara salah satu punca kepada terjadinya cirit birit adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria. Ketumbar dapat merawat masalah ini kerana terdapatnya komponen cinoele, borneol, limonene, alpha-pinene, dan beta phelandrene yang mempunyai sifat anti bakteria.
7. Merawat ulser mulut
Salah satu komponen di dalam ketumbar yang dapat merawat ulser mulut ialah citronelol. Citronelol adalah sejenis komponen yang terdapat minyak pati ketumbar yang bersifat antiseptik. Sifat antimikrob nya juga membantu dalam penyembuhan ulser mulut dis amping menyegarkan nafas.
8. Bersifat anti inflamasi
Satu kajian telah dijalankan untuk mengkaji komponen yang terdapat di dalam biji ketumbar. Kajian ini mendapati bahawa ekstak hexane dan metalonik biji ketumbar dapat menghalang perkembangan sel kanser kanser perut, prostat, kolon, payu dara, dan paru-paru.
9. Mengawal paras kolesterol
Kajian telah dijalankan ke atas haiwan untuk mengkaji kesan pengambilan biji ketumbar ke atas metabolisma lemak di kalangan haiwan yang diberi makan dengan diet tinggi lemak dan tambahan kolesterol.
Kajian mendapati bahawa pemberian biji ketumbar telah memberi kesan hipolipidemia (penurunan paras kolesterol). Biji ketumbar dilihat mampu menurunkan paras kolesterol tidak baik seperti LDL dan VLDL dan meningkatkan paras kolesterol baik, HDL.
10. Meningkatkan ingatan
Kajian telah dijalankan ke atas haiwan untuk mengkaji kesan pengambilan daun ketumbar k atas fungsi kognitif. Kajian ini mendapati bahawa terdapat peningkatan ingatan dikalangan haiwan yang masih muda dan yang sudah berusia.
Konklusinya, ketumbar mempunyai pelbagai kebaikan terhadap kesihatan selain digunakan di dalam masakan. Namun, kebanyakkan dari kajian-kajian yang dijalankan di atas dilakukan ke atas haiwan dan keberkesanannya masih belum dikaji ke atas manusia. Namun begitu, ianya memberi gambaran akan potensi pohon ketumbar untuk kegunaan yang bertujuan kesihatan.
