Hukum Mencium Orang Mati, Ini Penjelasan Dr Zulkilfli
Setiap yang hidup pasti akan merasai kematian. Itulah ungkapan yang sering didengari dari mulut ke mulut. Bercakap soal kematian, tentunya pemergiaan seseorang insan meninggalkan kesan lebih-lebih lagi ia melibatkan ahli keluarga dan kenalan rapat.
Bagi orang Islam, jenazah akan dimandikan dan disolatkan terlebih dahulu sebelum dikebumikan. Selepas solat, umumnya, ahli keluarga akan diberikan ruang waktu melihat kali terakhir wajah ahli keluarga mereka buat kali terakhir.
Ada memeluk erat tubuh jenazah dan ada juga yang mencium wajah jenazah buat kali terakhir. Pun begitu, timbul persoalan, apakah hukum sekiranya kita mencium orang yang telah mati?
Sehubungan itu, hari ini SK akan berkongsikan kupasan yang dibawa oleh mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung topik ini di bawah. Semoga bermanfaat.
Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh atau tidak bila keluarga kita mati seperti ayah dan ibu untuk kita menciumnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, kami mengatakan bahawa mati itu adalah benar sebagaimana firman Allah SWT:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ
Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”
Surah al-A’raf (34)
Menjawab persoalan di atas, kami menyatakan bahawa memang sunnah untuk mencium si mati lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai kelebihan dan kemuliaan atau kaum kerabat. Hal ini berdasarkan beberapa hadith, antaranya:
- Daripada Aisyah R.Anha, dan Ibn ‘Abbas R.Anhuma:
أَنَّ أَبَا بَكْرٍ «قَبَّلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْدَمَا مَاتَ»
Maksudnya: “Bahawasanya Abu Bakar telah mencium Baginda Nabi SAW selepas Baginda wafat.”
Riwayat Ibn Syaibah dalam al-Musannaf (37050)
- Daripada Aisyah R.Anha:
أَنَّ أَبَا بَكْرٍ، دَخَلَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، بَعْدَ وَفَاتِهِ فَوَضَعَ فَمَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ، وَوَضَعَ يَدَيْهِ عَلَى صُدْغَيْهِ، وَقَالَ: «وَانَبِيَّاهُ، وَاخَلِيلَاهُ، وَاصَفِيَّاهُ»
Maksudnya: “Bahawa Abu Bakar telah masuk menemui Nabi SAW selepas wafatnya lantas beliau meletakkan mulutnya dengan mencium antara dua kening Nabi dan dia meletakkan dua tangannya pada pelipis Nabi seraya berkata: Wahai Nabiku, wahai kekasihku, wahai pilihanku.”
Riwayat Abu Ya’la dalam Musnadnya (48)
Rasulullah SAW sendiri pernah mencium sahabatnya yang bernama Uthman bin Maz’un RA apabila meninggal dunia. (Lihat Jawab al-Sa’il an Syarhi al-Syamail, hlm. 416)
Antara adab yang baik juga adalah berdoa dan menyebut kemuliaan si mati sebagaimana yang dilakukan oleh Abu Bakar al-Siddiq RA kepada Rasulullah SAW selepas wafatnya.
Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan Allah SWT kurniakan kebaikan kepada kita dan saudara-saudara kita yang telah mendahului kita.
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
Surah al-Hasyr (10)