SOALAN
Assalamualaikum, Datuk Mufti, saya ingin bertanya, saya telah tertinggal beberapa solat fardu secara tidak sengaja. Oleh itu, saya ingin menggantikan solat-solat tersebut. Namun begitu, saya ingin bertanya adakah saya perlu menggantikan solat-solat tersebut mengikut turutan waktu-waktu solat ataupun tidak ?
Sekian terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Seseorang Muslim ada tertinggal solat sama ada dengan sengaja ataupun dengan keuzuran. Bagi mereka yang tertinggal solat dengan sengaja tanpa keuzuran maka dia wajib menggantikannya dengan segera. Manakala mereka yang tertinggal solat kerana keuzuran seperti tertidur atau terlupa maka sunat segera menggantikan solat tersebut. Sementara itu, jika seseorang Muslim itu tertinggal beberapa waktu solat maka wajib dia menggantikan kesemua solat itu. Namun, sunat bagi dia menggantikannya mengikut susunan dan turutan waktu solat bermula dengan Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Solat merupakan salah satu rukun Islam. Maka setiap Muslim wajib menunaikannya mengikut waktu-waktu solat yang sudah ditetapkan. Hal ini sepertimana firman Allah SWT:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
Bermaksud: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
Surah al-Nisa (103)
Oleh itu, sekiranya seseorang itu meninggalkan solat yang telah dipertanggungjawabkan ke atasnya, maka wajib bagi dirinya untuk menggantikan solat tersebut sama ada dia meninggalkannya dengan sengaja ataupun dengan keuzuran. Hal ini berdasarkan hadis nabi SAW:
مَنْ نَسِيَ صَلاَةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا، لاَ كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ
Bermaksud: Sesiapa yang terlupa (menunaikan) satu solat maka hendaklah dia solat (sebagai ganti) sekiranya dia teringat solat itu. Tidak ada kafarah bagi solat itu melainkan itu (menggantikannya semula).
Riwayat al-Bukhari (597)
Sekiranya seseorang itu meninggalkan solat dengan sengaja maka dia wajib menggantikan solat tersebut dengan segera. Manakala sekiranya dia meninggalkan solat kerana terdapat keuzuran seperti tertidur atau terlupa maka sunat baginya untuk menyegerakan solat ganti tersebut. Hal ini berdasarkan kenyataan Imam al-Nawawi:
وَاَلَّذِي قَطَعَ بِهِ الْأَصْحَابُ أَنَّهُ يَجُوزُ تَأْخِيرُهَا لحديث عمران ابن حُصَيْنٍ وَهَذَا هُوَ الْمَذْهَبُ وَإِنْ فَوَّتَهَا بِلَا عُذْرٍ فَوَجْهَانِ كَمَا ذَكَرَ الْمُصَنِّفُ أَصَحُّهُمَا عِنْدَ الْعِرَاقِيِّينَ أَنَّهُ يُسْتَحَبُّ الْقَضَاءُ عَلَى الْفَوْرِ وَيَجُوزُ التَّأْخِيرُ كَمَا لَوْ فَاتَتْ بِعُذْرٍ وَأَصَحُّهُمَا عِنْدَ الْخُرَاسَانِيِّينَ أَنَّهُ يَجِبُ الْقَضَاءُ عَلَى الْفَوْرِ وَبِهِ قَطَعَ جَمَاعَاتٌ مِنْهُمْ أَوْ أَكْثَرُهُمْ وَنَقَلَ إمَامُ الْحَرَمَيْنِ اتِّفَاقَ الْأَصْحَابِ عَلَيْهِ وَهَذَا هُوَ الصَّحِيحُ لِأَنَّهُ مُفَرِّطٌ بِتَرْكِهَا وَلِأَنَّهُ يُقْتَلُ بِتَرْكِ الصَّلَاةِ الَّتِي فَاتَتْ وَلَوْ كَانَ الْقَضَاءُ عَلَى التَّرَاخِي لَمْ يُقْتَلْ
Bermaksud: Pendapat yang diputuskan oleh majoriti ulama Syafi’iyyah adalah harus melewatkannya (solat ganti bagi yang meninggalkannya kerana keuzuran) dan ini merupakan pandangan mazhab. Sekiranya dia meninggalkan solat tanpa keuzuran maka terdapat dua pendapat sepertimana yang dinyatakan oleh penulis pendapat yang kuat di sisi ulama Iraq sunat baginya untuk menggantikan solat dengan segera dan harus juga baginya melewatkan sepertimana dia meninggalkan solat tersebut kerana keuzuran. Sementara itu, pendapat yang kuat di sisi ulama Khurasan dia wajib menggantikan solat itu dengan segera dan pandangan ini dipegang oleh beberapa atau majoriti kelompok dalam kalangan mereka. Imam al-Haramain menukilkan kesepakatan ulama al-Syafi’iyyah terhadap pendapat ini dan ia merupakan pandangan yang sahih kerana dia sudah melampaui batas dengan meninggalkan solat dan kerana dia boleh dibunuh kerana meninggalkan solat yang sudah lepas meskipun menggantikan solat tersebut secara lewat tidak menyebabkan dia dibunuh.
(Rujuk: Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 3/69)
Sementara itu, jika seseorang itu meninggalkan beberapa solat maka sunat bagi dia menggantikan solat-solat tersebut mengikut susunan waktu solat. Bermula dengan Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan kemudiannya Isyak. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:
إِنَّ الْمُشْرِكِينَ شَغَلُوا النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَرْبَعِ صَلَوَاتٍ يَوْمَ الْخَنْدَقِ، فَأَمَرَ بِلَالًا فَأَذَّنَ، ثُمَّ أَقَامَ فَصَلَّى الظُّهْرَ، ثُمَّ أَقَامَ فَصَلَّى الْعَصْرَ، ثُمَّ أَقَامَ فَصَلَّى الْمَغْرِبَ، ثُمَّ أَقَامَ فَصَلَّى الْعِشَاء
Bermaksud: Sesungguhnya orang musyrikin mengganggu (berperang) Nabi SAW (sehingga tertinggal) empat waktu solat ketika peperangan al-Khandak. Maka Nabi SAW memerintahkan Bilal (untuk azan) lalu beliau azan. Kemudian beliau bangun (iqamah) dan solat (ganti) Zohor, kemudian bangun untuk solat Asar, kemudian bangun untuk solat Maghrib, kemudian bangun untuk solat Isya’.
Riwayat al-Nasaie (662)
Selain itu, menurut Imam al-Umrani menyatakan bahawa:
وإن فاتته صلوات، فالمستحب: أن يقضيهن على الترتيب؛ لـ: أن النبي – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – ترك أربع صلوات يوم الخندق، حتى خرج وقتها، فقضاها على الترتيب.
Bermaksud: Sekiranya seseorang itu meninggalkan beberapa solat, maka sunat bagi dia untuk menggantikannya mengikut turutan (waktu solat) kerana Nabi SAW pernah meninggalkan empat waktu solat ketika perang Khandak sehingga terlepas waktunya maka Nabi SAW menggantikannya mengikut turutan (waktu solat).
(Rujuk: Al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafie, 51/2)
KESIMPULAN
Berdasarkan dalil dan kenyataan ulama di atas, maka dapat difahami bahawa seseorang Muslim ada tertinggal solat sama ada dengan sengaja ataupun dengan keuzuran. Bagi mereka yang tertinggal solat dengan sengaja tanpa keuzuran maka dia wajib menggantikannya dengan segera. Manakala mereka yang tertinggal solat kerana keuzuran seperti tertidur atau terlupa maka sunat segera menggantikan solat tersebut. Sementara itu, jika seseorang Muslim itu tertinggal beberapa waktu solat maka wajib dia menggantikan kesemua solat itu. Namun, sunat bagi dia menggantikannya mengikut susunan dan turutan waktu solat bermula dengan Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.