Soalan
Assalamualaikum,
Minta pencerahan berkenaan doa sebelum dan selepas makan. Adakah ia sabit dengan hadis yg sahih?
Terima kasih
Ringkasan Jawapan
Riwayat yang menyebutkan bahawa doa sebelum makan dengan lafaz (اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ) adalah hadis yang munkar. Ini disebabkan dalam jalur periwayatan hadis tersebut terdapat perawi yang bermasalah seperti Ibn Abi al-Zuʻaiziʻah dan Ibn Aʻbud. Namun, Imam al-Nawawi meriwayatkan doa ini (اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِسْمِ اللَّهِ) melalui riwayat Ibn al-Sunni dibawah bab doa sebelum makan dalam karyanya al-Azkar. Hal ini mungkin kerana terdapat riwayat lain yang mempunyai makna hampir sama namun dengan lafaz berbeza. Nabi SAW bersabda:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ
Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah makanan kami ini dan berilah kami kebaikan daripada makanan tersebut.”
Riwayat al-Tarmizi
Oleh itu, doa ini boleh diamalkan namun tidak boleh beriktikad bahawa lafaz tersebut daripada Nabi SAW. Di samping itu, terdapat dalam riwayat yang lain doa yang hampir sama sepertimana yang diamalkan pada hari ini ialah doa yang diajarkan oleh Saidina Ali RA:
بِسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتنَا
Maksudnya: “Dengan nama Allah, Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan kepada kami.”
Perlu diingat bahawa doa ini merupakan suatu bab yang amat luas. Setiap muslim boleh berdoa dengan apa sahaja lafaz dan pada bila-bila sahaja dia kehendaki walaupun tidak mempunyai hadis yang khusus dalam hal tersebut. Manakala doa selepas makan pula memang terdapat hadis daripada Nabi SAW yang menjelaskan lafaz doanya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Tarmizi dalam Sunan al-Tarmizi, lafaznya seperti berikut:
الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذي أطْعَمَنَا وَسَقانا وَجَعَلَنا مُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang memberikan kami makan dan minum serta menjadikan kami dalam kalangan orang Islam.”
Riwayat al-Tarmizi
Huraian Jawapan
Doa Sebelum Makan
Salah satu doa sebelum makan yang popular dan sering diucapkan oleh masyarakat pada hari ini ialah doa yang dibaca dengan lafaz berikut:
الَّلهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan kepada kami dan jauhilah kami daripada azab neraka.”
Lafaz ini diambil daripada satu hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr. Imam al-Tabrani dalam al-Duʻa’ meriwayatkan doa ini melalui jalur ‘Abdullah bin ‘Amr mengatakan bahawa Nabi SAW apabila dihidangkan makanan kepadanya maka Baginda akan membaca doa:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِسْمِ اللَّهِ
Maksudnya: “Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan kepada kami dan jauhilah kami daripada azab neraka, Bismillah (dengan nama Allah).”[1]
Hadis ini turut diriwayatkan juga oleh Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah[2] dan Ibn ‘Adi dalam al-Kamil fi Duʻafa’ al-Rijal[3]. Sebenarnya, hadis ini telah dikritik oleh ramai ulama hadis antaranya Imam al-Bukhari. Hal ini kerana terdapat dalam sanadnya perawi yang bermasalah iaitu Muhammad bin Abi al-Zuʻaiziʻah. Menurut Imam al-Bukhari, Muhammad bin Abi Zuʻaiziʻah tersangat-sangat munkar al-hadis (terlalu banyak meriwayatkan hadis munkar).[4]
Imam Ibn Hibban menyebutkan Muhammad bin Abi al-Zuʻaiziʻah merupakan perawi yang banyak meriwayatkan hadis munkar daripada perawi yang masyhur sehinggakan mereka yang mempunyai ilmu hadis apabila mendengar riwayatnya mengetahui riwayatnya maqlub (tertukar). Tidak boleh berhujah dengan riwayatnya.[5]
Manakala Imam Ibn ‘Adi mengatakan:
ابْنُ أَبِي الزعيزعة عامة ما يرويه عَمَّن رَوَاهُ مَا، لاَ يُتَابَعُ عَليه
Maksudnya: “Semua riwayat Ibn Abi al-Zuʻaiziʻah tidak ada diriwayatkan oleh orang lain (dengan riwayat yang sama).”[6]
Perkara ini menunjukkan bahawa riwayat Ibn Abi al-Zuʻaiziʻah ini adalah munkar dan bermasalah. Terkait doa ini terdapat dua lagi riwayat yang mauquf iaitu riwayat Ibn Aʻbud dan riwayat Hisyam bin ‘Urwah. Dalam riwayat yang dibawa oleh Ibn Aʻbud lebih ringkas iaitu dengan lafaz berikut:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا
Maksudnya: “Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan kepada kami.”[7]
Namun Ibn Aʻbud ini merupakan perawi yang tidak dikenali. Hal ini sepertimana yang dinukilkan oleh al-Mizzi bahawa ‘Ali ibn al-Madini mengritik Ibn Aʻbud kerana beliau merupakan seorang perawi yang tidak dikenali dan hanya riwayat ini yang diketahui daripadanya.[8] Oleh itu hadis ini merupakan hadis yang daʻif.
Riwayat Hisyam bin ‘Urwah pula didatangkan dengan lafaz yang lebih panjang, iaitu:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا، وَأَطْعَمَنَا وَسَقَانَا، وَنَعَّمَنَا، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُمَّ أَلْفَتْنَا نِعْمَتُكَ بِكُلِّ شَرٍّ، فَأَصْبَحْنَا مِنْهَا وَأَمْسَيْنَا بِكُلِّ خَيْرٍ، نَسْأَلُكَ تَمَامَهَا، وَشُكْرَهَا لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ، إِلَهَ الصَّالِحِينَ، وَرَبَّ الْعَالَمِينَ، الْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang memberi hidayah kepada kami, memberi makan, minum dan nikmat. Allah Maha Besar. Ya Allah, nikmat-Mu tetap ada walaupun wujud setiap kejahatan kami, dengan nikmat-Mu kami menjalani waktu pagi dan petang dalam kebaikan. Kami memohon kesempurnaan nikmat itu dan kesyukuran atas nikmat-Mu. Tiada kebaikan melainkan kebaikan-Mu, tiada Tuhan melainkan Engkau, Tuhan orang yang soleh dan Tuhan sekalian alam. Segala puji bagi Allah, tiada tuhan melainkan Allah, tiada yang berlaku melainkan dengan kehendak Allah, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah. Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan pada kami dan jauhilah kami daripada azab neraka.”[9]
Sanad yang dibawa oleh Imam Malik ini adalah sahih. Berdasarkan kepada riwayat ini, al-Baji menjelaskan bahawa ia boleh difahami dengan dua keadaan, iaitu jika dilihat daripada sudut lafaz, doa ini dibaca sebelum makan atau jika dilihat dari sudut makna maka doa ini dibaca selepas makan. Hal ini kerana, kebiasaannya lafaz bismillah sesuai dibaca sebelum makan dan lafaz alhamdulillah sesuai dibaca selepas makan. [10]
Namun, Imam al-Nawawi meriwayatkan doa ini (اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِسْمِ اللَّهِ) melalui riwayat Ibn al-Sunni dibawah bab doa sebelum makan dalam karyanya al-Azkar.[11] Hal ini kerana, terdapat riwayat lain yang mempunyai makna hampir sama namun dengan lafaz berbeza bahawa Nabi SAW bersabda:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ
Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah makanan kami ini dan berilah kami kebaikan daripada makanan tersebut.”[12]
Riwayat al-Tarmizi
Oleh itu, doa ini boleh diamalkan sebagai doa sebelum makan namun tidak boleh mengatakan ia daripada Nabi SAW kerana sanad hadis yang mengatakan ia daripada Nabi SAW adalah bermasalah. Walaupun begitu, doa ini diamalkan oleh para sahabat Nabi SAW dan ulama. Antara yang mengamalkan doa ini ialah Saidina Ali RA, hal ini boleh dilihat melalui riwayat Saidina Ali RA yang dibawa oleh Ibn Abi Syaibah dalam karyanya al-Musannaf:
قَالَ عَلِيٌّ: «تَدْرِي مَا حَقُّ الطَّعَامِ؟»، قَالَ: قُلْتُ: وَمَا حَقُّهُ؟، قَالَ: ” تَقُولُ: بِسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتنَا “، ثُمَّ قَالَ: «تَدْرِي مَا شُكْرُهُ؟»، قُلْتُ: وَمَا شُكْرُهُ؟، قَالَ: ” تَقُولُ: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا “
Maksudnya: “Ali RA bertanya: Adakah kamu tahu apa itu hak makanan?, Ibn A’bud berkata: Aku bertanya kepada Ali RA: Apakah haknya? Ali RA berkata: Ucaplah, Dengan nama Allah, Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan kepada kami. Kemudian Ali bertanya lagi: Tahukah kamu apa itu syukur terhadap makanan? Aku bertanya: apa itu syukur terhadap makanan? Ali RA berkata: Ucaplah, Segala puji bagi Allah yang memberikan kami makan dan minum.”[13]
Doa Selepas Makan
Manakala doa selepas makan pula memang terdapat beberapa hadis daripada Nabi SAW yang menyebutkan berkenaan dengan doa tersebut. Antaranya ialah hadis yang direkodkan oleh Imam al-Tarmizi dalam karyanya Sunan al-Tarmizi, lafaznya adalah seperti berikut:
الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذي أطْعَمَنَا وَسَقانا وَجَعَلَنا مُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang memberikan kami makan dan minum serta menjadikan kami dalam kalangan orang Islam.”[14]
Riwayat al-Tarmizi
Ucapan hamdalah (pujian kepada Allah SWT) selepas daripada makan ialah sebagai tanda syukur seorang hamba kepada Allah SWT kerana nikmat yang telah diberikan dan juga merupakan permohonan kepada Allah SWT agar ditambahkan lagi rezeki kepadanya.[15] Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT:
لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ ۖ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu.”
Surah Ibrahim (7)
Selain itu, disunatkan untuk memperbaharui ucapan hamdalah (pujian kepada Allah SWT) setiap kali menerima nikmat yang baharu.[16]
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbahasan di atas, jelaslah bahawa riwayat yang menyebutkan berkenaan doa sebelum makan dengan lafaz (اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ) adalah hadis yang munkar. Ini disebabkan dalam jalur periwayatan hadis tersebut terdapat perawi yang bermasalah seperti Ibn Abi al-Zuʻaiziʻah dan Ibn Aʻbud. Namun, Imam al-Nawawi meriwayatkan doa ini (اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِسْمِ اللَّهِ) melalui riwayat Ibn al-Sunni dibawah bab doa sebelum makan dalam karyanya al-Azkar. Hal ini kerana, terdapat riwayat lain yang mempunyai makna hampir sama namun dengan lafaz berbeza. Nabi SAW bersabda:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ
Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah makanan kami ini dan berilah kami kebaikan daripada makanan tersebut.”
Riwayat al-Tarmizi
Oleh itu, doa ini boleh diamalkan namun tidak boleh beriktikad bahawa lafaz tersebut daripada Nabi SAW. Perlu diingat bahawa doa ini merupakan suatu bab yang amat luas. Setiap muslim boleh berdoa dengan apa sahaja lafaz dan pada bila-bila sahaja dia kehendaki walaupun tidak mempunyai hadis yang khusus dalam hal tersebut. Manakala doa selepas makan pula memang terdapat hadis daripada Nabi SAW yang menjelaskan lafaz doanya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Tarmizi dalam Sunan al-Tarmizi, lafaznya seperti berikut:
الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذي أطْعَمَنَا وَسَقانا وَجَعَلَنا مُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang memberikan kami makan dan minum serta menjadikan kami dalam kalangan orang Islam.”
Riwayat al-Tarmizi
Wallahu A’lam