≡ Menu

Aurat Pembantu Rumah di Hadapan Majikan

Soalan; assalamualaikum ust. Bolehkah ust jelaskan bagaimana aurat seorang pembantu rumah wanita apabila berdepan dengan majikannya (lelaki) kerana pembantu rumah tersebut biasa melakukan kerja-kerja rumah dihadapan majikannya seperti membasuh pinggan dan menyapu/mop lantai dan sebagainya. Bolehkah ia membuka lengannya dan betisnya di hadapan majikannya kerana keperluan pekerjaannya itu?

Jawapan;

Seorang wanita Islam wajib menutup tubuhnya dari dilihat oleh lelaki yang tiada hubungan mahram dengannya iaitu yang dipanggil lelaki-lelaki ajnabi tidak kira sama ada lelaki itu majikannya atau orang lain. Dikecualikan anggota-anggota tertentu yang dibenarkan oleh Syarak untuk didedahkan, iaitu;
1) Muka dan tangan (hingga pergelangan tangan sahaja); mengikut pandangan jumhur ulamak.
2) Muka, tangan (hingga pergelangan tangan) dan dua kaki; mengikut pandangan Imam Abu Hanifah.
3) Muka, tangan (hingga tengah lengan) dan dua kaki; mengikut pandangan Imam Abu Yusuf (anak murid Imam Abu Hanifah).

BACA:  Membina Keluarga Mawaddah Dan Warahmah, Ajaklah Mereka Beramal Soleh

Keharusan mendedahkan muka dan tangan adalah berdalilkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Baihaqi dari Saidatina ‘Aisyah yang menceritakan; “Suatu hari Asma’ anak saidina Abu Bakar masuk untuk berjumpa Nabi s.a.w.. Kebetulan ketika itu ia memakai pakaian yang nipis (yang menampakkan bayangan kulitnya). Nabi s.a.w. lalu memalingkan pandangan darinya sambil bersabda (maksudnya): “Wahai Asma’, seorang wanita apabila telah datang haidh (yakni telah sampai umur baligh) tidak harus dilihat dari badannya melainkan ini dan ini sahaja”, sambil baginda menunjukkan kepada muka dan dua tangannya” (HR Imam Abu Daud).

Di dalam Tafsir al-Munir ada dinyatakan; “Diriwayatkan dari Imam Abu Hanifah bahawa ia berkata; Dua kaki juga tidaklah aurat kerana kesukaran untuk menutupnya adalah lebih kuat dari kesukaran menutup dua tangan terutama bagi penduduk kawasan pertanian. Dan diriwayatkan dari Imam Abu Yusuf; Dua lengan juga tidak aurat kerana untuk menutup keduanya terdapat kepayahan/kesukaran. (Tafsir al-Munir, Surah an-Nur)

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Imam at-Thabari dalam tafsirnya ada menyebutkan dari ‘Aisyah –radhiyallahu ‘anha- yang meriwayatkan bahawa Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk ia mendedahkan tubuhnya kecuali mukanya dan dua tangannya hingga ke sini sambil baginda menggenggam tengah lengannya”. (Dinaqal dari Tafsir al-Qurtubi, surah an-Nur).

BACA:  14 Amalan Ketika Bulan Syawal, Usah Biarkan Usaha Baik Tamat Setelah Ramadhan Berlalu

Perlu diambil perhatian bahawa; keharusan mendedahkan muka, tangan dan kaki itu ialah jika tidak dikhutiri menimbulkan fitnah. Jika tidak, wajiblah ditutup juga.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah az-Zuhaili.
2. al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, Imam al-Qurtubi.

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.