≡ Menu

Baca Al-Quran Atau Zikir, Yang Mana Lebih Afdhal? Ketahui

SEMUA orang mempunyai cara tersendiri untuk berbuat kebaikan. Ada orang lebih gemar membasahkan lidah dengan berzikir. Segelintir orang pula lebih cenderung untuk mengalunkan bacaan al-Quran.

Tidak kiralah apa sahaja amalan yang dilakukan, semua itu tetap mendatangkan pahala andai kita ikhlas melakukannya kerana ALLAH SWT.

Sebenarnya memang mudah sahaja untuk mengumpul pahala jika kena pada caranya. Semua itu bakal menjadi bekal yang ampuh bagi memberatkan timbangan amal kita di akhirat yang kekal abadi kelak.

Apatah lagi, membaca al-Quran dan berzikir mempunyai kelebihan yang bukan calang-calang kepada mereka yang mengamalkannya.

Namun begitu, antara kedua-dua amalan ini, mana satu yang lebih afdal? Baca al-Quran ataupun berzikir?

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Merungkaikan jawapannya, pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus berkata, kedua-dua amalan mulia itu masing-masing sangat dituntut oleh syarak.

“Bahkan, dijanjikan pelbagai ganjaran kebaikan sama ada di dunia mahupun di akhirat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Ujar beliau, mereka yang melazimkan al-Quran sebagai bacaan rutin dijanjikan dengan balasan syurga. Demikian antara kelebihan yang disebutkan dalam nas.

BACA:  Jangan Tidur Selepas Subuh.. Lihat ini!!

Antaranya, sabda Rasulullah SAW: “Dikatakan kepada pembaca al-Quran, bacalah kamu dan naiklah kamu dan bacalah ia sebagaimana kamu membacanya di dunia, maka sesungguhnya tempat kamu (di syurga) adalah di sisi ayat terakhir yang kamu baca akan dia.” (Riwayat Abu Daud)

Begitu juga dengan berzikir, jelas Ustaz Azhar Idrus, ALLAH menjanjikan imbalan yang bukan calang-calang dalam beberapa nas.

Telah diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA, katanya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah ditanya: ‘Manakah hamba ALLAH yang paling utama darjatnya di sisi ALLAH pada hari kiamat?’ Baginda bersabda: ‘Orang-orang yang banyak berzikir akan ALLAH’.” (Riwayat al-Tirmizi & Ahmad)

Agamawan itu turut menukilkan pandangan Imam al-Nawawi tentang amalan yang paling afdal antara membaca al-Quran dan berzikir.

Imam al-Nawawi berkata: “Bermula baca al-Quran itu lebih afdal daripada bertasbih dan bertahlil dan sekalian zikir, melainkan pada tempat yang datang syarak menentukan dengan ini sekalian zikir padanya.” (Kitab al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab)

BACA:  Fadhilat Solat Dhuha: Memurahkan Rezeki, Menolak Kepapaan

 

Baca al-Quran dan zikir

Berdasarkan ungkapan berkenaan, jelas Ustaz Azhar Idrus, jelas bahawa secara mutlaknya, membaca al-Quran adalah lebih afdal daripada berzikir jika ia tidak mengaitkan dengan masa atau tempat tertentu.

“Adapun, jika datang nas (yang) menentukan (bahawa) dengan berzikir lebih afdal pada suatu tempat atau masa, maka zikir (adalah) lebih afdal.

“Misalnya, disebut dalam hadis, selepas bersin hendaklah mengucapkan alhamdulillah. Maka, menyebut alhamdulillah selepas bersin adalah lebih afdal daripada membaca al-Quran,” jelas beliau lagi.

Kepada mereka yang memang gemar membaca al-Quran, istiqamah dan teruskan usaha murni anda demi meraih fadilatnya. Andai kita jarang membaca kalamullah itu, lazimkanlah diri kita berbuat demikian.

Namun, pada masa sama, jangan pernah berhenti untuk terus membasahkan lidah kita dengan zikrullah.

Semoga dengan amalan yang dilakukan ini akan menjadikan asbab untuk kita menggapai syurga-NYA.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.