≡ Menu

Bacalah Al-Quran, Agar Kita Celik Hati Dan Beroleh Hidayah Allah. Insya’Allah

Al-Quran adalah wahyu Allah SWT untuk dibaca, difahami dan dikaji oleh sesiapa sahaja tanpa mengira agama dan pegangan idealogi. Pembaca yang terlatih dalam pengajian al-Quran mampu membacanya melalui teks Arab. Bagi yang tidak berkemampuan, sekadar membaca terjemahan sahaja dan tidak dapat menikmati roh dan mukjzat al-Quran sepenuhnya sebagai kalam Allah.

Sekarang ini pelbagai rancangan terutama  dalam rancangan TV dan radio menyusun program tadabur al-Quran sebagai langkah bijak dan proaktif mengajak masyarakat untuk menghayati isi wahyu Allah. Siaran rasmi kerajaan RTM TV1 dan TV Hijrah seringkali menyediakan penterjemah bahasa isyarat  bagi mempastikan golongan OKU pendengaran dapat mengikuti  rancangan arus perdana yang disediakan.

Di Malaysia bermacam kemudahan disediakan kepada mereka seperti  pendidikan melalui sekolah khas, peluang kerjaya sektor awam, sehinggalah disediakan laluan, parkir dan tandas khas untuk mereka.   Malah ada yang sangat terserlah kecermerlangan mereka dalam bidang profesional seperti perundangan, sukan dan ekonomi. Antaranya ialah Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh seorang tokoh ekonomi dan korporat sampai ke peringkat antarabangsa. Beliau boleh dijadikan ikon OKU ini adalah pemilik  International University College Of  Technology Twintech  dan senator OKU pertama di Malaysia. Cacat penglihatan seperti beliau bukanlah alasan menjadi seseorang itu tidak cemerlang.

Bagi menyantuni OKU, Islam sememangnya memberi keistimewaan dan pengecualian kepada OKU dalam banyak perkara sehingga terakam asbab nuzul al-Quran supaya diberikan keutamaan. Ini menunjukkan Islam tidak menyisihkan golongan OKU seperti cacat penglihatan, tempang dan sakit malah dalam yang perkara besar seperti mempertahan negara mereka dikecualikan seperti disebut al-Quran (al-Fath: 17)

Dalam konteks OKU penglihatan, secara khususnya Quran merakamkan bahawa Allah SWT menegur Rasulullah SAW apabila memberi tumpuan dakwah kepada golongan bangsawan Quraisy sehingga mengenepikan Ibn Makhtum yang buta dengan memalingkan mukanya. Teguran tersebut tercatat dalam surah ‘Abasa sebagai pengajaran kepada kita. Rakaman peristiwa ini menunjukkan OKU diberi perhatian dan keistimewaan dalam muamalat walaupun ketika penyampaian dakwah.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Bagi meraikan keperluan golongan OKU  cacat penglihatan, satu usaha terkini dengan menerbitkan Mashaf al-Quran Braille Malaysia (MQBM) telah  menjadi kenyataan setelah mendapat perakuan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Pengertian al-Quran itu sendiri menurut Al-Zarqani ialah bacaan dan tulisan yang berasal daripada perkataan Arab daripada kalimah qiraah yang membawa maksud menghimpunkan huruf dan kata-kata tersusun rapi. Manakala Braille pula sempena nama pengasasnya Louise Braille.

BACA:  Kurangkan 10 Jenis Makanan Ini Jika Kerap Mengantuk Ketika Kerja

Apabila kita merujuk kepada Quran Braille bermakna menggunakan kod bahasa Arab versi Braille yang mewakili setiap huruf hijaiyyah, tanda baris dan bacaan.

Penerbitan Quran Braille versi Malaysia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebernarnya ialah dengan Kerjasama Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). PERTIS telah menghimpun mereka yang cacat penglihatan tetapi ramai dalam kalangan mereka yang profesional sebagai peguam, guru, pensyarah dan usahawan. Institusi pengajian yang terlibat secara langsung ialah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Usim mempunyai unit tersendiri bagi pembangunan pengajian Braille sebagaimana Jakim mempunyai Unit Braille di bawah Bahagian Penerbitan. QBM adalah satu inovasi terkini dalam penyampaian dan penyebaran kalam Allah SWT secara profesional melalui pendekatan Malaysia dengan mengambil kira bahasa utama negara bukan bahasa Arab sedangkan al-Quran adalah bahasa Arab.

Inovasi ini dapat memenuhi keperluan kira-kira 25,000 orang OKU penglihatan beragama Islam di Malaysia untuk membacanya  selari dengan Mashaf al-Quran  Rasm Uthmani. Kehadiran MQBM memberi peluang mereka mendampingi dan mengkaji isi kandungan serta pengajaran al-Quran dengan mudah dan terperinci terutama  dalam bulan Ramadan ini. Kesukaran berlaku selama ini  disebabkan perbezaan penulisan  Quran Braille versi lama tidak menepati  Rasm Uthmani  yang digunakan sekarang ini.

Contohmya pada penandaan waqaf dan peralihan juzuk. Inilah  antara keistimewaan tersendiri berbanding dengan Quran Braille negara-negara lain seperti Indonesia dan Saudi Arabia.

MQBM membantu pembaca mengenal ayat-ayat Allah tanpa batas kepada sesiapa sahaja memerlukannya terutamanya pengguna braille. Ini adalah kerana sacara umumnya ayat (kebesaran) Allah terbahagi kepada dua. Pertamanya ayat  manzurah, iaitu ayat-tanda kekuasaan Allah daripada ciptaan-Nya seluruh alam terdiri kehidupan manusia, haiwan, tumbuhan dan cakrawala serta segala macam ciptaan yang boleh dilihat dan disentuh.  Orang buta dan cacat penglihatan gagal melihat tanda-tanda kebesaran Allah ini tapi masih menikmati, merasai, bergerak bebas  ke mana sahaja dan menghayati hidup dengan segala macam kemudahan  yang sediakan.  Keduanya ialah ayat maqruah, ia ayat al-Quran yang dibaca.

BACA:  Teladani Kisah Abu Dzar Agar Kita Waspada Memilih Calon Pemimpin

Ayat maqruah ini adalah menjadi hidayah, petunjuk dan panduan kehidupan yang diperlukan oleh setiap insan tanpa mengira apa kedudukan dan apa juga kerjaya. Tanpa suluhan ayat ini maka insan gagal hidup sebagai fitrah insan yang sempurna.

Maka dengan ini MQBM  akan memenuhi keperluan golongan cacat penglihatan. Mereka terdiri daripada guru-guru pendidikan khas, universiti yang melatih mahasiswa dalam pendidikan Braille. Semestinya mereka mengalami cacatan kelihatan sama ada buta atau penglihatan terhad akan mendapat manfaat maksima.

OKU penglihatan tersebut secara umumnya: Pertamanya buta, penglihatan kurang 3/60 pada mata yang biasa atau  10 peratus sahaja medan penglihatan. Keduanya penglihatan terhad di mana lebih baik daripada 3/60 walaupun dengan bantuan atau medan penglihatan kurang daripada 20 darjah.

Golongan ini akan menjadi pengguna utama sebagai sasaran penerbitan MQBM.

Malahan ramai kita dapati penghafaz yang buta menguasai dan menghafaz al-Quran dengan sempurna mengatasi mereka yang celik. Secara tradisinya mereka mempelajari dan menghafaz al-Quran melalui bertalaqqi dengan guru al-Quran. Malah ramai pula yang berjaya menghafaz keseluruhan tiga puluh juzuk al-Quran dengan baik.

Dengan terbitnya MQBM akan memberi kemudahan OKU menikmati hidayah Allah. Orang buta mampu membaca dan menghafaz al-Quran kerana hati mereka celik dan terbuka sebagai tadahan wahyu. Mereka membaca dan menghayati dengan  basirah.

Sebaliknya  dalam kalangan yang celik ramai gagal membaca dan menghayati al-Quran hanya sekadar melihat  aksara hitam tanpa memberi apa-apa makna pada minda dan hati mereka.  Hati mereka masih tertutup pada hidayah walaupun mata mereka terbuka luas, sungguhpun minda mereka penuh dengan segala macam informasi.

Begitu juga bangsa Arab sememangnya memahami bahasa al-Quran  tetapi ramai yang mengabaikan dan tidak beriman dengan al-Quran kerana mata hati mereka terkunci sungguhpun mata mereka terbuka luas. Tanpa mengira siapa pembaca al-Quran sama ada yang buta  atau celik, Rasulullah SAW memberi peringatan bahawa bacaan yang dikehendaki ialah sampai ke hati, bukan hanya terhenti sampai ke halkum! (Riwayat Bukhari dan Muslim). Bacaan yang sia-sia  tidak mendatangkan pahala,  tanpa sentuhan kesedaran dan keinsafan kepada pembacanya.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.