سَنُقۡرِئُكَ فَلَا تَنسَىٰۤ * إِلَّا مَا شَاۤءَ ٱللَّهُۚ إِنَّهُۥ یَعۡلَمُ ٱلۡجَهۡرَ وَمَا یَخۡفَىٰ
“Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Quran yang diturunkan kepadamu – dengan perantaraan jibril), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa. Kecuali apa yang dikehendaki Allah engkau lupakan; sesungguhnya Ia mengetahui (segala keadaan yang patut berlaku), dan yang tersembunyi” [Surah al-A`la 6-7]
#Sambungan bicara tentang hukum jika terlupa hafazan al-Quran.
#Ibn Rusyd menukilkan pandangan ijma’ bahawa jika seseorang itu terlupa hafazan al-Quran kerana sibuk mempelajari ilmu-ilmu yang wajib dan ilmu-ilmu sunat, dia tidak berdosa. (Lihat: Mathalib Uli Nuha)
#Sementara Abu Syammah, guru Imam an-Nawawi pula mentafsirkan kalimah نسيان dengan erti kata meninggalkan dan tidak beramal, bukan semata-mata lupa dari sudut hafalan. (Lihat: Al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir)
#Adapun jika terlupa disebabkan tabiat sifat manusiawi, maka ia tidaklah berdosa, kerana Nabi saw sendiri pernah terlupa sebahagian ayat al-Quran. Daripada Sayidatina ‘Aisyah r.ha:
سَمِعَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم رَجُلاً يَقْرَأُ فِي سُورَةٍ بِاللَّيْلِ فَقَالَ “ يَرْحَمُهُ اللَّهُ لَقَدْ أَذْكَرَنِي كَذَا وَكَذَا آيَةً كُنْتُ أُنْسِيتُهَا مِنْ سُورَةِ كَذَا وَكَذَا
“Rasulullah saw mendengar seorang lelaki membaca satu surah dari al-Quran pada suatu malam, dan bersabda: “Moga Allah swt merahmatinya, dia telah memperingatkan kepada aku suatu ayat daripada satu surah al-Quran yang telah dilupakan daripada aku” (Sahih Bukhari dan Sahih Muslim)
#Diriwayatkan daripada Sayidina Abdullah r.a:
بِئْسَمَا لأَحَدِهِمْ يَقُولُ نَسِيتُ آيَةَ كَيْتَ وَكَيْتَ بَلْ هُوَ نُسِّيَ اسْتَذْكِرُوا الْقُرْآنَ فَلَهُوَ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنْ صُدُورِ الرِّجَالِ مِنَ النَّعَمِ بِعُقُلِهَا
“Celakalah bagi sesiapa yang berkata “aku lupa ayat al-Quran sekian-sekian”, bahkan hendaklah dia berkata “aku telah dilupakan darinya”. Sentiasalah membaca dan mengingati al-Quran, kerana ia lebih mudah terlepas daripada dada dan ingatan manusia daripada unta terlepas daripada talinya” (Sahih Bukhari dan Sahih Muslim)
#Menurut Imam Khatib Syarbini, berdasarkan hadis ini, sunat untuk kita menggunakan istilah dilupakan daripada al-Quran, berbanding kita menggunakan istilah terlupa atau melupakan al-Quran. (Lihat: Mughni al-Muhtaj)
#Berkata Imam an-Nawawi rahimahullah: Makruh seseorang mengatakan, “Aku lupa ayat ini.” Bahkan hendaklah dia katakan, “Aku dilupakan terhadapnya.” (Lihat: al-Tibyan fi Adab Hamalatil Quran)
#Antara sebab untuk sentiasa mengingat al-Quran dan tidak melupakannya iaitu selalu mengulanginya saban hari. Inilah yang dilakukan oleh golongan salafussoleh.
#Imam an-Nawawi berkata: “Hendaklah seseorang memelihara bacaan al-Quran dan memperbanyakkan bacaan. Ulama salafussoleh mempunyai kebiasaan yang berlainan tentang tempoh dan jangka masa dalam mengkhatamkan al-Quran.
#Sebagai contoh, Imam as-Syafie khatam al-Quran sehari sekali serta dua kali sehari pada bulan Ramadhan. Hal ini disahkan oleh al-Rabi’ bin Sulaiman, salah seorang murid kanannya.
#Semua ini menunjukkan kesungguhan mereka dalam memelihara dan menjaga hafazan al-Quran agar tidak lupa dan sentiasa kukuh di dalam ingatan.
Semoga Allah mengurniakan kita semua ingatan yang kuat dan sentiasa ingat ayat-ayat al-Quran serta dijauhkan kita daripada sifat pelupa. Aamiiin