Perempuan dan lelaki adalah dua makhluk yang dijadikan oleh Allah dan berasal dari unsur yang satu iaitu tanah dan mempunyai keturunan yang sama (Adam). Kedudukan atau hubungan antara lelaki dengan perempuan boleh diambil dengan berpandukan hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya perempuan itu adalah rakan bagi lelaki” (Riwayat Ahmad & Abu Daud).
Dari segi kejadian kaum lelaki dan perempuan mempunyai ciri-ciri persamaan seperti anggota tubuh badan, nafsu keinginan, minda dan sebagainya. Justeru itu Islam memberi nilaian yang sama apabila mereka melakukan sesuatu pekerjaan samada kebajikan atau sebaliknya. Firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 97 yang bermaksud;
“Barang siapa yang beramal soleh lelaki atau perempuan sedang dia adalah seorang mukmin, maka Kami hidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan akan Kami beri pahala yang lebih baik dari apa yang mereka lakukan” .
Ayat tersebut meletakkan kedudukan atau martabat lelaki dan perempuan adalah sama di sisi tuhan.
Masyarakat Jahiliyah memandang rendah terhadap perempuan. Mereka beranggapan anak perempuan boleh mendatangkan kesusahan dan sial kepada keluarga. Oleh itu mereka merasa sedih apabila mendapat tahu anak yang akan lahir itu perempuan. Mereka amat berdukacita sehinggakan ada yang sanggup membunuh anak-anak perempuan mereka. Ini dapat diperhatikan dalam beberapa ayat Quran seperti firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nahl ayat 58-59 yang bermaksud;
“Dan apabila diberitahu kepada salah seorang di antara mereka itu dengan (berita) kelahiran anak perempuan, menjadi hitam muka mereka dalam keadaan sangat marah dalam hatinya. Bersembunyi diri dari kaumnya kerana buruknya berita yang diberikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan atau akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup). Ketahuilah betapa kejam hukuman mereka itu”.
Itu adalah gambaran sebelum kedatangan Islam dan amalan seperti itu juga berlaku pada bangsa-bangsa lain. Demikian juga status perempuan di kalangan bangsa barat yang meletakkan perempuan itu tidak memiliki hak bertindak untuk dirinya sendiri di bidang harta benda. Pembunuhan anak secara “pengguguran” adalah di antara amalan yang berlaku dalam masyarakat barat dan telah menular ke dalam masyarakat timur termasuk di negara kita.
Islam mensifatkan orang yang sanggup membunuh anak -anak mereka itu sebagai orang yang tidak mempunyai ilmu dan tidak waras pemikirannya, sebagai individu yang tidak mempercayai diri sendiri dan hilang sifat kemanusiaan serta hilang pegangan keagamaannya.
Allah mencipta lelaki dan perempuan sebagai jodoh dan pasangan hidup. Masing-masing memerlukan di antara satu sama lain termasuk meneruskan generasi manusia. Bahkan itu adalah sebagai tanda kebesaran Allah, seperti firman Allah s.w.t. dalam surah al-Rum ayat 21 yang bermaksud;
“Dan sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenismu supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya. Dan Dia jadikan di antara kamu rasa cinta dan kasih sayang”.
Dalam sebuah hadis ada menyatakan yang bermaksud: “Sebaik-baik kesenangan di dunia adalah isteri yang soleh. Apabila kamu memandangnya kamu merasa senang dan bila kamu tidak ada di rumah nama baikmu dipeliharanya”, (Riwayat Muslim).
Di samping suami sebagai ketua dalam urusan rumahtangga, perempuan atau isteri menjadi pembantu dalam pengurusan seharian. Isteri menjadi ketua rumahtangga apabila ketiadaan suami dan pengurus kepada harta benda suami dan anak-anak. Konsep konservatif ini lebih menjamin ketertiban dan kerukunan rumahtangga. Pernah juga kita mendengar cerita tentang pegawai wanita yang berkeluarga memilih persaraan untuk memberi keutamaan kepada rumahtangga. Tetapi ini mungkin berita yang isolated/terpencil dengan arus kemajuan yang memberi peluang kepada setiap individu, termasuk wanita untuk menyumbang ke arah pembangunan negara.
Islam memberi kepada perempuan hak-hak yang sama dengan lelaki. Bagaimanapun di peringkat awal masih terdapat amalan yang berlaku pada lelaki tidak berlaku pada perempuan. Dalam sejarah pemilihan khalifah, perempuan tidak ikut serta di Bani Saidah. Dalam zaman khalifah al-Rasyidin juga tidak ada bukti bahawa perempuan-perempuan dipanggil bersama bermesyuarat dalam membincangkan masalah negara. Sejarah ada mencatatkan tentang Nabi s.a.w. pernah mengadakan baiah al-Nisa iaitu sumpah setia dengan wanita. Baiah yang seperti itu juga diadakan dengan kaum lelaki. Jelas tidak ada bukti menunjukkan perempuan-perempuan Islam bergerak cergas dalam urusan pentadbiran negara di peringkat permulaan Islam.
Bersesuaian dengan keadaan ketika itu perempuan-perempuan Islam dibenarkan keluar ke medan perang bersama lelaki, tetapi kehadiran mereka adalah untuk menyediakan minuman dan makanan serta merawat perajurit-perajurit yang luka. Mereka merawat dalam khemah.
Sekalipun ada bukti-bukti yang menunjukkan bahawa perempuan Muslimah menyertai hal-hal bersifat politik, tetapi mereka yang aktif dan serius di dunia politik tidak pernah ada dalam sejarah Islam, kecuali mungkin Aishah r.a. Beliau pernah memimpin satu gerakan yang besar yang dicatatkan dalam sejarah Islam. Beberapa pandangan telah diberikan mengenai peristiwa ini.
Perempuan-perempuan muslimah ikut menyumbangkan tenaga dan fikirannya di waktu permulaan dakwah Islam. Mereka telah memberi sumbangan dan pengorbanan yang cukup banyak. Mereka ikut menyediakan alfida, iaitu harta penebus bilamana tertawan. Hal ini telah dicontohkan oleh saudara perempuan Umar bin Khattab, Asma binti Abu Bakar dan lain-lainnya.
Sekalipun Islam itu memberikan kepada perempuan itu hak persamaan dengan lelaki, namun demi untuk kebaikan rumahtangga dan masyarakat, Islam tidak membebankan perempuan dengan tanggungjawab mencan nafkah rumahtangga. Hal ini adalah tanggungjawab si suami terhadap isteri dan anak-anaknya. Adalah menjadi tanggungjawab suami menafkahi isteri sama juga dengan tanggungjawab si bapa terhadap anak-anaknya.
Islam sangat menghormati martabat dan hak-hak wanita. Pada satu ketika Undang-Undang Perancis pernah menyekat perempuan bersuami dari bekerja tanpa izin suaminya. Perancis perlukan revolusi untuk menghapuskan beban-beban yang mengekang kebebasan wanita. Sedangkan Islam telah memberikan kepada wanita akan hak-hak mereka tanpa mengalami revolusi berdarah. Bagaimanapun, kini barat telah memberi kebebasan yang sangat luas sehingga membenarkan perempuan keluar rumah dengan bebas sehingga berlaku perbuatan sumbang.
Islam membataskan pergaulan bebas dan daripada perbuatan sumbang. Ini adalah untuk keselamatan keluarga, masyarakat dan juga untuk mengukuhkan martabat wanita sendiri.
Islam mengharuskan perempuan melibatkan diri dalam urusan jual beli dan mempunyai keahlian dalam tindakan mereka. Mereka juga diberi kebebasan memilih pekerjaan yang sesuai dengan diri mereka. Mereka tidak boleh ditindas atau dizalimi. Keadaan ini menunjukkan bahawa Islam menghargai peribadi dan martabat wanita bekerja di luar rumah untuk mencari rezeki. Mereka dibenarkan bekerja menurut kemampuan. Bagaimanapun Islam tidak pula mendorong. wanita supaya meninggalkan rumah dan menonjolkan diri untuk tontonan di tengah khalayak ramai dan mengabaikan urusan rumahtangga. Perempuan tidak dibenarkan bergaul terlalu bebas dengan kaum lelaki kecuali dalam keadaan dan di tempat-tempat yang tidak mendatangkan fitnah seperti di tempat ibadat dan tempat menuntut ilmu. Perempuan dikehendaki memakai pakaian yang sopan dan berakhlak sesuai dengan ajaran agama. Mereka tidak boleh menjadikan diri sebagai objek tumpuan dan tarikan lelaki serta perhatian orang ramai. Mereka tidak dibenarkan keluar berjalan seorang diri, terutama dalam keadaan yang boleh mendatangkan fitnah.
Anak perempuan turut dibenarkan mencari rezeki. Yang dilarang ialah caranya yang melanggar ajaran Islam. Oleh yang demikian setiap tujuan yang bersih seperti mencari rezeki hendaklah diikuti dengan cara yang bersih dan halal. Bertugas sebagai operator di firma dan pegawai-pegawai eksekutif dan setiausaha adalah dibenarkan. Yang terlarang mungkin menggunakan kesempatan tertentu untuk melakukan perkara yang bercanggah dengan nilai murni dan terlarang oleh ajaran Islam. Bercumbuan dan berkhalwat tentunya tidak baik dan bertentangan dengan nilai budaya dan agama. Oleh sebab itu bapa harus memberi panduan yang betul kepada anak-anak gadis mereka supaya tidak terdampar ke lembah kehinaan dan penyesalan.
Dalam kehidupan sehari-harian, memang terdapat perempuan yang terpaksa bekerja di luar rumahtangganya. Sungguhpun dibolehkan tetapi hendaklah menjaga budaya dan moral menurut ajaran agama.