Memanggang adalah kaedah memasak panas dan kering, sama ada menggunakan haba panas dari ketuhar, api terbuka, atau sumber haba lain untuk memasak makanan sepenuhnya di semua bahagian. Memanggang adalah salah satu cara menghasilkan reaksi Maillard iaitu reaksi yang menjadikan makanan dipanggang berwarna coklat, enak, manis dan berkaramel.
Panggang menjadi kegemaran ramai disebabkan cara masaknya yang mudah dan sesuai untuk dijadikan menu hari keramaian dan perjumpaan sosial di luar rumah. Namun, memanggang boleh mendatangkan kesan yang tidak baik kepada tubuh badan. Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui kesan makan makanan yang dipanggang.
Meningkatkan Risiko Penyakit Kanser
Apabila daging daripada lembu, kambing, ayam atau ikan dimasak di atas api atau suhu yang sangat tinggi, protein daripada otot daging tersebut akan bertindak balas dengan suhu panas api. Tindak balas ini seterusnya membentuk satu sebatian yang disebut sebagai heterosiklik amina (HCA). HCA terbukti boleh menyebabkan perubahan DNA selular badan dan meningkatkan risiko penyakit kanser.
Selain daripada HCA, bahan lain yang terdapat pada makanan yang dipanggang termasuklah aromatic polisiklik hidrokarbon (PAH).[1] PAH terbentuk melalui asap yang ditemui di permukaan daging ketika proses memanggang dan sukar untuk dibuang. Kedua-dua bahan ini iaitu PAH dan HCA dikaitkan dengan risiko tinggi pelbagai jenis kanser termasuklah kanser ovari, kanser kolorektal, kanser paru-paru dan barah payudara.[2,3,4] HCA dan PAH mampu merosakkan DNA setelah proses pengaktifan bio iaitu proses metabolisma oleh enzim tertentu badan.
Meningkatkan Pengambilan Makanan Bersifat Karsinogenik
Makanan yang dipanggang jika tidak dipotong dengan bahagian kecil mestilah dimasak dengan masa yang lebih lama. Seterusnya, makanan tersebut berisiko tinggi untuk mempunyai beberapa bahagian yang terlebih masak dan hangus jika tidak dimasak dengan baik. Pengambilan makanan yang terlebih masak dan hangus juga dapat meningkatkan risiko penyakit kanser.
Makanan yang berwarna hitam dan terlebih masak bersifat karsinogenik dan boleh menyebabkan pengumpulan bahan aktif di dalam badan. Terdapat bukti yang mengaitkan pengambilan daging hangus yang tinggi secara berkala dengan peningkatan risiko barah pankreas sebanyak 60%.[5] Walaupun bahagian kehitaman dan terlebih masak dapat dibuang sebelum makan, memasak makanan dengan cara panggang secara kerap boleh meningkatkan pengambilan makanan yang bersifat karsinogenik.
Meningkatkan Risiko Penyakit Jantung dan Darah Tinggi
Pengambilan makanan yang dipanggang biasanya dikaitkan dengan menu-menu popular dengan penggunaan daging merah dan makanan yang diproses. Seringkali makanan dipanggang dimasak bersama sos segera yang tinggi dengan kandungan sodium dan makanan segera seperti sosej dan daging segera.
Hal ini seterusnya dikaitkan dengan pengambilan banyak makanan yang berlemak tinggi dan bersodium tinggi. Terdapat banyak kajian yang membuktikan bahawa pengambilan makanan yang diproses dan tinggi sodium dapat meningkatkan risiko penyakit jantung dan darah tinggi.
Pengambilan yang melebihi porsi makanan ketika memasak makanan yang dipanggang juga boleh membawa kepada tinggi jumlah pengambilan kalori, lemak, kolesterol dan sodium yang mana membawa risiko tinggi kepada penyakit jantung dan darah tinggi. Selain membawa risiko penyakit jantung dan darah tinggi, pengambilan makanan diproses yang tinggi dengan kandungan sodium juga secara tidak langsung boleh meningkatkan risiko kanser postat.[6]
Tips Memanggang Makanan Secara Sihat
Disebalik kerisauan tentang bahaya memanggang makanan, memanggang makanan boleh dilakukan dengan beberapa tips sihat seperti berikut:
Merebus makanan yang hendak dipanggang terlebih dahulu untuk mengurangkan lemak menitis saat memanggang, mengurangkan penghasilan asap dan mengurangkana masa memasak.
Sering membolak balikkan makanan yang dipanggang untuk mengelakkan ada bahagian makanan yang terlebih masak dan berwarna hitam.
Memanggang makanan menggunakan suhu yang lebih rendah dan tidak terlampau tinggi.
Elakkan memanggang di atas arang terbakar secara langsung.
Hadkan penggunaan penutup untuk mengurangkan asap tebal berkumpul dan melekat pada makanan yang dimasak.
Kerap membuang bahagian hitam pada makanan yang dipanggang sebelum makan.
Pastikan alatan memanggang bersih daripada kesan memanggang sebelumnya untuk mengelakkan makanan cepat hangus dan tidak dimasak secara sekata.
Kesimpulan
Disebalik kegembiraan menyambut hari istimewa dan pesta keramaian bersama makanan dipanggang, selalulah mengamalkan tips-tips memanggang makanan yang sihat. Pengambilan makanan yang seimbang bersama makanan tinggi potasium seperti buah-buahan dan sayur-sayuran amat digalakkan untuk mengimbangi jumlah pengambilan sodium dalam makanan.