≡ Menu

Benarkah Hadis Yang Menyeru Kita Melaungkan Azan Di Telinga Bayi Yang Baru Lahir?

Soalan

Assalamualaikum wrth, benarkah hadis azan di telinga bayi yang baru lahir itu hadisnya tidak sahih? Jika saya pernah melakukannya, adakah salah? Mohon penjelasan daripada pihak tuan.

Ringkasan Jawapan

Ulama hadis berbeza pandangan dalam menetapkan hukum hadis azan di telinga bayi yang baru lahir. Sebahagian ulama menghukumkan hadis ini sebagai da’if (lemah). Hal ini kerana, terdapat dalam sanadnya perawi yang da’if iaitu ‘Asim bin Ubaidillah. Meskipun begitu, keda’ifannya tidak parah. Sebahagian yang lain pula menilai hadis ini sebagai sahih, bahkan Imam al-Tirmizi mengatakan bahawa hadis ini adalah hasan sahih dan Imam al-Hakim juga turut mensahihkan hadis ini. Meskipun begitu, dari sudut fiqhnya hadis ini boleh diamalkan, bahkan dalam mazhab al-Syafi’i disunatkan untuk azan di telinga bayi yang baru dilahirkan agar dihindari daripada gangguan syaitan.

Huraian Jawapan

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Hadis azan di telinga bayi yang baru lahir merupakan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dalam sunannya. ʻAsim bin Ubaidillah meriwayatkan daripada Ubaidillah bin Abu Rafiʻ, Ubaidillah bin Abu Rafi’ meriwayatkan daripada ayahnya (Abu Rafiʻ RA) bahawa beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «أَذَّنَ فِي أُذُنِ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ حِينَ وَلَدَتْهُ فَاطِمَةُ بِالصَّلَاةِ»

Maksudnya: Aku melihat Rasulullah SAW azan di telinga al-Hasan bin ‘Ali apabila beliau dilahirkan oleh Fatimah dengan azan solat.

Riwayat Abu Daud (5105)

Selain itu, ramai lagi daripada kalangan ulama hadis yang meriwayatkan hadis ini seperti Imam al-Tirmizi dalam sunannya, Abu Daud al-Tayalisi dalam musnadnya, Ahmad bin Hanbal dalam musnadnya, al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi dalam sunan al-kubra dan lain-lain.

Dalam sanad bagi hadis ini terdapat seorang perawi daripada kalangan tabi’in yang lemah dalam periwayatan hadis iaitu ʻAsim bin Ubaidillah (w. 132H). Imam Malik apabila beliau mendengar Syu’bah meriwayatkan hadis daripada ‘Asim bi Ubaidillah, Imam Malik segera mencelanya. (Rujuk Tarikh Ibn Maʻin Riwayah al-Duri, 3/170)

BACA:  Nak Berbuat Baik, Mulakan Dengan Ahli Keluarga Terdekat Dahulu. Ini Saranan Islam

Menurut Sufyan bin Uyainah, Imam Malik merupakan seorang yang sangat teliti mengkaji perawi-perawi hadis. (Rujuk Tarikh al-Awsat li al-Bukhari, 1/315)

Imam Yahya bin Sa’id turut menda’ifkan ‘Asim bin Ubaidillah. Beliau berkata:

هو عندي نحو ابن عقيل

Maksudnya: Dia (‘Asim) disisiku sama seperti Ibn ‘Uqail (da’if).

(Rujuk Tahdhib al-Kamal fi Asma’ al-Rijal, 13/503)

Selain itu, Yahya bin Maʻin juga menda’ifkan ‘Asim bin Ubaidillah. (Rujuk al-Kamil fi Du’afa’ al-Rijal, 6/387)

Bahkan, keda’ifan ‘Asim bin Ubaidillah telah disepakati oleh ramai para kritik hadis yang lain seperti al-Bukhari, Abu Hatim al-Razi, Abu Zur’ah al-Razi, al-Nasa’i dan lain-lain. Namun, di sana terdapat juga ulama yang mensahihkan hadis ini seperti Imam al-Tirmizi dalam sunannya dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Maka kritikan terhadap hadis ini termasuk perkara khilaf dalam kalangan para ulama hadis.

Oleh yang demikian, hadis ini dihukumkan sebagai hadis da’if kerana dalam rantaian sanadnya terdapat seorang perawi yang da’if (lemah). Meskipun begitu, Imam al-Tirmizi menghukumkan hadis ini sebagai hasan sahih dan beliau membolehkan beramal dengan hadis ini.

Walaupun hadis ‘Asim bin Ubaidillah ini da’if (lemah) namun kelemahannya tidak parah. Lebih-lebih lagi ʻAsim bin Ubaidillah merupakan ulama yang terkenal dan sekiranya terdapat kesilapan dalam periwayatannya maka bukanlah kesilapan tersebut sesuatu yang disengajakan. (Rujuk al-Kamil fi Du’afa’ al-Rijal, 6/393)

Maka, dari sudut pengamalan dengan hadis da’if para ulama telah menggariskan beberapa panduan untuk dibolehkan beramal dengannya, iaitu:

  • Hadis da’if tersebut tingkat keda’ifannya tidak terlalu parah.
  • Terdapat sokongan daripada hadis-hadis lain.
  • Pengamalan tersebut adalah disebabkan mengambil sikap berhati-hati (ihtiyat) dan tidak disabitkan bahawa perkara tersebut merupakan sunnah Nabi SAW.

(Rujuk Tadrib al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi, 1/351)

Justeru, para fuqaha membolehkan untuk beramal dengan hadis da’if sekiranya memenuhi 3 syarat di atas. Dalam hal ini, terdapat beberapa riwayat lain yang menyokong kandungan matan hadis yang telah diriwayatkan oleh ‘Asim bin Ubaidillah. Antaranya, hadis yang menceritakan berkenaan gangguan syaitan pada saat bayi baru dilahirkan. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

BACA:  Persoalan Status Halal Bubble Tea Berubah Menjadi Halalphobia

كُلُّ بَنِي آدَمَ يَطْعُنُ الشَّيْطَانُ فِي جَنْبَيْهِ بِإِصْبَعِهِ حِينَ يُولَدُ، غَيْرَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ، ذَهَبَ يَطْعُنُ فَطَعَنَ فِي الحِجَابِ

Maksudnya: Setiap anak adam akan ditusuk dua rusuknya oleh jari syaitan saat dia dilahirkan kecuali Isa anak Maryam AS. Syaitan hendak menusuknya, namun dia menusuk di sebalik hijab.

Riwayat al-Bukhari (3286)

Kemudian, dalam hadis sahih yang lain menyebutkan bahawa syaitan akan lari apabila terdengar laungan azan. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ النِّدَاءَ بِالصَّلاَةِ أَحَالَ لَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لاَ يَسْمَعَ صَوْتَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya syaitan, jika mendengar laungan azan untuk solat, dia akan berpaling dan berundur sambil terkentut sehingga dia tidak mendengar laungan azan tersebut.

Riwayat Muslim (389)

Maka, dalam mazhab al-Syafi’e disunatkan untuk azan di telinga bayi yang baru dilahirkan dengan tujuan untuk mengusir syaitan yang hadir bersamanya saat kelahiran tersebut. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 9/376)

Selain itu, ulama juga berpandangan bahawa hikmah perbuatan tersebut juga adalah untuk mengajarkannya tentang keimanan seawal bayi itu dilahirkan ke dunia. Ini kerana azan itu merupakan syiar Islam. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’e, 3/60)

Kesimpulan

Ulama hadis berbeza pandangan dalam menilai hadis ini. Sebahagian mereka menilai hadis ini da’if (lemah) disebabkan terdapat seorang perawi yang berstatus da’if dalam sanadnya iaitu ‘Asim bin Ubaidillah. Namun, keda’ifan hadis ini tidak parah. Sebahagian yang lain menilai hadis ini sebagai sahih, bahkan Imam al-Tirmizi mengatakan bahawa hadis ini adalah hasan sahih. Meskipun begitu, dari sudut fiqhnya hadis ini boleh diamalkan dan hukum melakukan perbuatan azan di telinga bayi ketika bayi baru dilahirkan adalah sunat menurut mazhab al-Syafiʻe. Hal ini kerana perbuatan tersebut dapat mengelakkan daripada gangguan syaitan.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.