
Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak akan tamat bila mereka dah berkahwin, betul ke? Tapi jika di lihat dari perspektif lain, sebenarnya tanggungjawab itu tetap ada cuma tidak seberat sebelum anak berkahwin.
Bagi ibu bapa, meski anak-anak mereka baik yang lelaki mahupun yang perempuan telah berkahwin, mereka tetap akan memantau perihal anak-anak dari jauh.
Ini sebabnya kenapa tanggungjawab ibu bapa tidak pernah tamat terhadap anak-anak mereka.
Merupakan Penasihat Tetap
Ibu bapa tidak akan masuk campur urusan rumahtangga anak-anak yang telah berkahwin, tetapi itu tidak bermakna ibu bapa tidak boleh beri nasihat kepada anak-anak jika memerlukan.
Biasalah dalam perkahwinan ada pasang surutnya dan apabila fikiran terlalu kusut, nasihat serta pandangan ibu bapalah yang kadang-kala dapat leraikan belenggu anak-anak.
Pakar Ensiklopedia Rumahtangga
Rasanya tiada yang lebih pakar dalam bab mengelola bahtera perkahwinan selain ibu bapa sendiri, ibu bapa umpama ensiklopedia rumahtangga yang boleh anak-anak jadikan rujukan.
Bukan itu saja dengan pengajaran dari pengalaman ibu bapa sendiri, anak-anak dapat mengambil mana yang baik dan amalkan dalam kehidupan rumahtangga sendiri.

Pemberi Teguran Tatkala Perlu
Dalam kehidupan pasangan yang baru mendirikan rumahtangga, masing-masing akan cuba adaptasi kepada kelebihan dan kekurangan pasangan.
Dan dalam fasa seperti ini kadang-kala angin marah dan keras kepala bisa mencucuk hubungan suami isteri, lalu menyebabkan hubungan menjadi goyang dek kerana baran sendiri.
Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan dalam memberi teguran berbisa kepada anak-anak, untuk menyedarkan kesilapan diri anak-anak dan tegur anak-anak supaya belajar baiki diri bersama pasangan masing-masing.
Tanggungjawab Tidak Pernah Tamat
Bagi ibu bapa selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah mereka merasakan tanggungjawab terhadap anak-anak tidak pernah tamat.
Apatah lagi, bagi mereka memantau anak-anak dari jauh serta beri pandangan jika perlu pada anak-anak merupakan peranan yang tidak akan tamat sampai akhir hayat.
Besar sebenarnya pengorban ibu bapa terhadap anak-anak, meskipun anak-anak sudah berkahwin oleh itu anak-anak harus bersyukur dan sayangi ibu bapa selagi mereka masih hidup.
