Allah SWT memerintahkan umat manusia untuk berbakti kepada kedua-dua ibu bapa sebagaimana yang dinyatakan di dalam ayat al-Quran surah al-Nisa’ ayat 36 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”
Pengorbanan yang dilakukan serta kepayahan yang ditanggung bermula daripada mengandung, melahirkan sehinggalah membesarkan anak-anak seperti firman Allah di dalam surah Luqman ayat 14 yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”
Kita membaca pelbagai kisah di media berkaitan pengorbanan ibu bapa sehingga sanggup bergadai nyawa demi membesarkan anak-anak. Suatu ketika dahulu tular di media berita tentang seorang ibu yang gagal membayar barang makanan dan ubat yang diambilnya dari sebuah pasar raya kerana terdesak demi anak yang sakit dan kelaparan.
Begitu juga berita tentang seorang bapa yang terpaksa menggalas bayinya seorang diri menaiki motosikal meredah jambatan Pulau Pinang kerana keadaan terpaksa. Justeru tiada yang lebih membahagiakan apabila segala pengorbanan ini kelak dibalas dengan bakti anak kepada kedua-dua orang tua.
Pernah suatu ketika perasaan ini tersentuh apabila mendengar ucapan ringkas daripada seorang anak kepada jemaah di masjid setelah selesai mengimamkan solat jenazah bapanya sendiri, meminta hadirin mendoakan keampunan dan kerahmatan buat arwah bapa yang dikasihinya yang membesarkan mereka adik-beradik.
Sesungguhnya tiada yang lebih menenangkan dan membahagiakan apabila mendengar anak-anak sendiri menyebut-nyebut tentang kebaikan ayah dan ibunya setelah ketiadaan mereka. Ia sebahagian bukti bahawa ibu dan ayahnya telah melunaskan tanggungjawab dengan sempurna di dalam mendidik anak-anak tersebut menjadi anak yang soleh.
Tiada yang lebih bermakna selain daripada melihat kesediaan anak-anak untuk menguruskan sendiri jenazah kedua-dua orang tua, mengimamkan solat jenazah dan memohon keampunan buat mereka.
Anak-anak masih boleh berbakti kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia melalui cara melaksanakan wasiat mereka, mengeratkan silaturahim dengan sahabat mereka, berwaqaf diniatkan atas nama mereka, bersedekah dan menyelesaikan hutang mereka serta berusaha menjadi anak yang soleh dengan mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar.
Galakan tersebut dinyatakan di dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak yang soleh/solehah yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya.” (Riwayat Muslim)
Di dalam hal melunaskan hutang misalnya, di dalam hadis riwayat Ibn Abbas, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal dan dia mempunyai puasa (yang belum diganti) selama sebulan, apakah aku perlu tunaikan untuknya? Lalu Baginda berkata: sekiranya ibumu mempunyai hutang, apa kau akan bayar hutang untuknya? Lelaki itu berkata: Ya. Maka berkata Nabi SAW: Hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan.” (Riwayat Muslim)
Ajaran Islam menganjurkan agar anak-anak sentiasa mendoakan kerahmatan dan keampunan buat kedua-dua ibu bapanya melalui firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 24 yang bermaksud: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Keutamaan amalan bersedekah bagi kedua-dua orang tua walaupun selepas ketiadaan mereka dinyatakan di dalam sebuah hadis riwayat Ibn Abbas bahawa Sa’ad pernah bertanya Rasulullah SAW maksudnya: “Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan belum sempat dia berwasiat. Maka bolehkah aku bersedekah untuknya? Baginda SAW menjawab: Ya.” (Riwayat al-Nasa’ie)
Sesungguhnya amat besar ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT untuk mereka yang berbakti kepada ibu bapa. Sebaliknya menjadi suatu kerugian besar bagi mereka yang masih mempunyai ibu bapa, tetapi tidak dapat berbakti kepada mereka. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau kedua-duanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” (Riwayat Muslim)
Baru-baru ini tular kisah menyayat hati tentang seorang wanita dan anak perempuannya dilaporkan lemas setelah kereta yang dinaiki mereka terjunam ke dalam tasik di suatu daerah di Kedah. Mangsa dipercayai tertekan pedal minyak yang menyebabkan kereta itu meluncur masuk ke dalam tasik.
Kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap dalam kereta sebelum lemas. Menurut laporan media, wanita tersebut dikatakan cuba menyelamatkan ibunya selepas kereta terjunam ke dalam tasik. Namun masuk semula untuk menyelamatkan ibunya.
Orang awam juga turut membantu menyelamatkan dua beranak berkenaan, tetapi gagal. Sungguh besar bakti dan kasih sayang seorang anak sehingga sanggup berkorban dan bergadai nyawa untuk ibunya. Semoga Allah memberikan keampunan dan mengganjari mereka dengan kebajikan.
Menghampiri bulan Ramadan yang bakal tiba serta bulan Sya’ban yang penuh kemuliaan, kita digalakkan agar menghidupkannya dengan pelbagai amalan kebajikan. Oleh itu, selain membaca al-Quran, bertaubat, beristighfar, berdoa, dan melakukan pelbagai ibadah yang lain, jangan kita lupa untuk terus berbakti kepada kedua-dua orang tua dengan pelbagai cara yang telah dinyatakan.
Di dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, mungkin ramai dalam kalangan kita yang tidak berkesempatan bersua muka dengan ibu bapa, namun masih boleh memanfaatkan kemudahan teknologi dengan bertanya khabar melalui panggilan video, WhatsApp dan lain-lain. Sesekali kirimkanlah hadiah buat mereka berdua sekadar kemampuan kita. Kita doakan wabak Covid-19 segera berakhir agar berpeluang bertemu dan menziarahi mereka kembali.