
“Seramnya tengok! Tak ada ubat bius pun, terus guna pisau atau jarum untuk keluarkan darah kotor.”
Bila melihat orang melakukan rawatan berbekam, timbul rasa teringin tapi pada masa yang sama rasa takut lebih menguasai diri.
Bukan apa, ramai yang menganggap rawatan tersebut sebenarnya menyakitkan! Tetapi sebenarnya rawatan ini cuma rasa seperti digigit semut.
Kalau kamu nak tahu apakah kebaikan berbekam ini selain membuang toksin dan darah kotor dari badan, teruskan membaca.
Apa sebenarnya rawatan berbekam?
Kamu pernah teringin mahu mencuba rawatan berbekam, tapi sebelum itu adakah kamu tahu apakah sebenarnya rawatan ini?
Rawatan bekam sebenarnya sebuah kaedah perubatan yang menggunakan tekanan rendah atau disebut sebagai negative pressure.
Rawatan ini merupakan satu rawatan terapi yang dipercayai untuk membuang darah kotor dan toksin daripada badan.
Menjadi amalam sunnah dan diamalkan sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi, kebaikannya ada diriwayatkan dalam beberapa hadith.
Kebaikan rawatan berbekam dari 2 sudut
Sudut agama Islam
Dari segi istilah Arab, rawatan ini dipanggil sebagai Al-Hijamah. Menerusi hadith yang diriwayatkan, ini antara saranan dan kebaikan mengenai rawatan berbekam yang perlu dilakukan oleh setiap orang.
Dari Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w., bersabda:
Siapa yang ingin berbekam, lakukanlah pada tanggal 17, 19 atau 21; jangan sampai darah keluar deras sehingga membuatkan salah seorang di antara kamu meninggal
-Hadith Riwayat Ibnu Majal (No. 1135, 3486)
Menerusi riwayat lain, dari Ibnu Abbas:
Rasulullah s.a.w. membekam kepalanya ketika ihram kerana migran (sakit sebelah kepala dan wajah) menyerangnya.
-Hadith Riwayat Al-Bukhari (No. 5701)
Dari Shuhaib, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Lakukan bekam pada tengkukmu; ia boleh mengubati 72 penyakit dan lima penyakit seperti gila, kusta, lepra dan sakit gigi.
-Hadith Riwayat Al-Tabrani, Al-Muqata (Bab 27)

Sudut sains perubatan
Menerusi buku perubatan tertua di dunia, “Ebbers Papyrus” ada menyatakan rawatan bekam ini telah dilakukan bermula dengan masyarakat Mesir Kuno sejak 1550 B.C.
Tapi ada juga yang mengatakan rawatan ini merupakan rawatan tradisional orang China kerana melibatkan titik-titik akupuntur.
Secara umumnya, individu yang melakukan rawatan bekam ini kerana ingin mengubati kesakitan, keradangan, melancarkan aliran darah serta merehatkan badan.
Rawatan ini dijalankan menggunakan cawan atau bekas yang diperbuat daripada kaca, tembikar, silicon dan ada juga yang menggunakan buluh.
2 jenis rawatan bekam yang sering dilakukan
Walaupun ada banyak jenis rawatan bekam dilakukan tetapi 2 jenis rawatan ini sering dilakukan oleh orang ramai. Antaranya ialah:
Rawatan Bekam Angin
Untuk melakukan rawatan bekam angin, pengamal akan meletakkan cawan khusus pada bahagian badan yang ingin dirawat. Dan kebiasaannya pada bahagian belakang badan.
Kemudian, pengamal akan membakar sama ada herba, kertas atau larutan alkohol pada kulit yang ditekup cawan bagi hasilkan tekanan negatif di antara cawan tersebut dan kulit.
Kesannya, bahagian tersebut akan naik seperti bengkak. Bagi sesetengah pengamal, ada juga yang menggunakan mesin untuk menyedut angin keluar dari cawan khas bagi hasilkan bengkak yang konsisten.
Rawatan Bekam Darah
Tidak mempunyai beza yang banyak kerana rawatan bekam darah hanya menggunakan jarum atau pisau skalpel. Tujuannya adalah untuk keluarkan darah dari titik bahagian yang ingin dirawat.
Kebaikan rawatan berbekam pada seseorang individu
Melakukan rawatan bekam ini sedikit sebanyak memberi banyak kebaikan kepada kesihatan seseorang individu seperti:
Baik untuk wajah
Untuk pengetahuan kamu, rawatan bekam boleh merawat beberapa masalah pada wajah seperti kayap, migrain, jerawat dan kelumpuhan muka akibat stok atau dikenali sebagai Bell’s Palsy.
Ini kerana perubahan pada titik bekam membuatkan aliran darah menjadi lancar. Perubahan ini membuatkan kandungan darah dapat merangsang pemulihan sel serta mengeluarkan sisa toksin atau kuman.
Legakan beberapa penyakit
Beberapa penyakit seperti rheumatic arthritis dan gout dipercayai dapat dilegakan dengan kaedah rawatan ini.
Ini kerana penyakit ini mempunyai lebihan penanda keradangan atau toksik seperti asid urik dalam darah yang sukar dibuang melalui air kencing.
Pengeluaran darah yang terkawal dan sedikit melalui kaedah rawatan bekam darah, lebihan toksik dan penanda keradangan ini juga dapat dikurangkan dan dibuang. Rawatan bekam dikatakan efektif jika dilakukan pada bahagian sendi yang sakit.
Merawat penyakit kulit
Penyakit kulit kronik seperti eczema dan psorisis dipercayai dapat dirawat melalui kaedah rawatan ini.
Dengan membuang darah dalam skala yang terkawal serta perubahan tekanan pada titik di bahagian yang dirawat, rawatan bekam ini dipercayai dapat membuang sel darah putih serta penyebab keradangan yang menyebabkan gejala dan penyakit kulit ini.
Rawatan sampingan darah tinggi
Walaupun penyakit darah tinggi tiada penawarnya, tetapi dengan pengambilan ubat, senaman, penjagaan makanan serta kaedah berbakam darah, ia cenderung untuk kawal tekanan darah dengan lebih efektif.
Hal ini kerana pembuangan garam, kolestrol dan lemak dalam darah merupakan faktor utama kepada tekanan darah tinggi dibuang melalui rawatan bekam darah.
Kurangkan tekanan dan kemurungan
Ada yang tak tahu bahawa tekanan dan kemurungan ada perkaitan di antara biologi dan perubahan hormon. Bukannya berkenaan psikologi sahaja.
Rawatan bekam angin atau darah yang disertakan dengan urutan yang dilakukan dengan kerap dapat membantu menenangkan fikiran dan kurangkan stress.
Apa yang kamu tahu sebelum melakukan rawatan ini?
Sebelum melakukan rawatan bekam, kamu perlu memastikan beberapa perkara ini:
- buat di pusat-pusat atau perusahaan yang bertauliah, bersih, selamat dan berpengalaman.
- pengamal mesti teliti dalam memastikan kulit pesakit bersih atau dibersihkan bagi memastikan keselesaan pesakit mereka.
Memang popular di negara kita, jika kamu mahu melakukan rawatan ini pastikan kamu tahu serba sedikit mengenainya dan tahu aspek keselamatan supaya tidak ditipu oleh pengamal.
