≡ Menu

Berdebat Memang Nampak Gah, Tapi Apakah Debat Yang Tercela Menurut Islam?

 

SOALAN:

Assalamualaikum SS Datuk Mufti. Terdapat banyak anjuran debat ilmiah yang dianjurkan untuk tontonan masyarakat awam sejak akhir-akhir ini. Bolehkah pihak SS Datuk Mufti menjelaskan batasan dalam debat yang digalakkan dan debat yang lebih baik ditinggalkan?

RINGKASAN JAWAPAN

Terdapat batasan dalam debat dari sudut akhlak dan etika dalam Islam. Jadal mahmud iaitu debat yang terpuji ialah debat yang digalakan. Debat yang terpuji berlaku dengan tujuan untuk mendapatkan kebenaran dan memberi kebaikan kepada masyarakat dengan kaedah yang betul. Manakala jadal mazmum iaitu debat yang tercela bagi debat yang lebih baik ditinggalkan. Debat yang tercela adalah debat yang bercampur baur dengan tujuan yang tidak baik, saling menekan dan memancing emosi pihak lawan bagi mencari kemenangan yang bukan kebenaran serta tidak mencapai objektif. Oleh itu, umat Islam digalakan untuk mengikuti debat yang terpuji dan meninggalkan debat yang tercela. Umat Islam juga disarankan untuk memelihara perpaduan berbanding perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam.

 

HURAIAN JAWAPAN:

PENDAHULUAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Anjuran debat atau dialog merupakan salah satu mekanisme bagi memupuk persefahaman terhadap perbezaan pendapat antara seorang dengan seorang yang lain. Setiap hujah dan bukti perlu dikemukakan bagi memperkuatkan pendapat masing-masing.

Pengertian jadal iaitu debat merupakan susunan analogi daripada premis pernyataan, andaian atau huraian yang masyhur dengan tujuan untuk menekan pendapat pihak lawan dan memaksa orang yang kurang memahami bukti premis-premis tersebut. Di samping itu, debat ialah mekanisme bagi menggagalkan pendapat yang salah melalui hujah, syubhah atau membawa maksud untuk membetulkan pembicaraan pihak lawan. Selain itu, debat juga dikaitkan dengan keadaan perdebatan tentang kebenaran.[1]

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Terdapat batasan dalam debat dari sudut akhlak dan etika dalam Islam. Batasan akhlak ini dibahagikan kepada jadal mahmud iaitu debat yang terpuji bagi debat yang digalakan. Manakala jadal mazmum iaitu debat yang tercela iaitu debat yang perlu.[2] Berikut adalah penjelasan pembahagian tersebut:

1. DEBAT YANG TERPUJI

Allah SWT berfirman berkenaan debat yang terpuji:

وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ

Maksudnya: berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik

Surah an-Nahl (125)

Ayat di atas menjelaskan bahawa debat yang terpuji mempunyai suasana toleransi, menyedarkan hati dan tidak melemahkan fikiran, memandu generasi-generasi umat Islam yang terkemudian dan tidak mencela generasi umat yang Islam telah terdahulu serta mengikut sukatan ilmu yang sesuai.[3] Tujuan debat yang terpuji adalah untuk menegakkan kebenaran dan mengajak manusia ke jalan Allah SWT serta membela agama-Nya.[4]

Dengan keadaan yang sedemikian, tradisi debat ilmiah yang terpuji mengandungi kaedah pemikiran dan pertuturan yang sihat. Perkara ini jelas menunjukan bahawa seorang muslim perlu menggunakan hujah yang bermutu tinggi dan terbaik melalui perkataan dan pemikiran terhadap pihak lawan secara sopan dan berperilaku yang mulia.[5]

Sebagai contoh, debat yang terpuji ditunjukkan oleh Abu al-Hasan al-Asy’ari ketika penghujahan untuk membela sunnah dan menolak bidaah yang berlaku dalam kalangan golongan Muktazilah dan sebahagian golongan bermazhab Hanbali yang cenderung menjisimkan Allah SWT. Abu al-Hasan al-Asy’ari mengharmonikan penghujahan yang ekstrem kedua-dua golongan tersebut dengan kefahaman yang sedarhana berdasarkan kaca mata Ahli Sunnah Waljamaah. [6]

Menurut golongan Muktazilah, al-Quran merupakan makhluk dan bukannya kalam yang bersifat Qadim iaitu sifat tiada permulaan dan tiada pengakhirannya bagi Allah SWT. Lalu, Abu al-Hasan al-Asy’ari mendatangkan hujah bahawa golongan ini berada di atas kebenaran sekiranya maksud mereka berkenaan al-Quran merupakan makhluk daripada sudut lisan, bacaan dan tulisan. [7]

BACA:  Doa Daripada Surah As-Syura Untuk Melembutkan Suami Yang Pemarah

Manakala menurut sebahagian golongan bermazhab Hanbali yang cenderung menjisimkan Allah SWT pula, al-Quran adalah Qadim termasuk huruf, maksud dan lafaz yang terkandung padanya. Lantas, Abu al-Hasan al-Asy’ari membawakan hujah kepada golongan ini berada di atas kebenaran jika yang dimaksudkan dengan Qadim daripada sudut makna yang menunjukkan kepada lafaz yang dinisbahkan kepada zat Allah SWT dan tidak terpisah daripada segala sifat-Nya.[8]

2. DEBAT YANG TERCELA

Debat yang tercela pula dinyatakan berdasarkan sabda Nabi SAW:

مَا ضَلَّ قَوْمٌ بَعْدَ هُدًى كَانُوا عَلَيْهِ إِلَّا أُوتُوا الْجَدَلَ

Maksudnya: Tidak akan tersesat sesuatu kaum yang telah mendapat hidayah selagimana mereka berada di atas jalan tersebut melainkan mereka yang gemar berdebat.

Riwayat Tarmizi

Hadis diatas menjelaskan tentang larangan terhadap debat yang tercela menerusi sikap degil, membantah dan taasub dalam mempromosikan doktrin dan pendapat pemimpin mereka tanpa menyatakan kebenaran yang sebenar.[9]

Debat yang tercela juga berlaku apabila muncul sifat taasub dalam mempromosikan mazhab yang tidak diterima atau akidah yang sesat. Sedangkan, debat yang demikian ini bukanlah untuk menzahirkan kebenaran, menyingkapkan keadaan serta menyatakan perkara yang tidak diketahui atau mengajar kepada orang lain berdasarkan ilmu yang dimilikinya.[10] Di samping itu, debat yang tercela ini dibentuk dengan bersumberkan niat yang tidak baik kerana bertujuan untuk mendapatkan keuntungan harta dan mengejar populariti dalam kalangan masyarakat.[11]

Debat yang tercela menyebabkan perdebatan tidak berhenti daripada perbuatan menyakiti, menimbulkan kemarahan yang menjengkelkan dan memaksa pihak lawan untuk menyokong pendapat masing-masing yang boleh jadi benar atau salah. Berlaku juga perbuatan memfitnah pihak lawan dengan segala yang dia boleh bayangkan.[12] Hal ini bermaksud bahawa debat yang tercela telah menyemarakan kemarahan, merosak hati, menimbulkan permusuhan dan membangkitkan kebencian.[13]

Antara contoh pendirian golongan salaf ketika berhadapan dengan debat yang tercela termasuklah meninggalkan debat tersebut. Golongan salaf juga menegah ucapan yang buruk apabila berlaku pertengkaran dalam kalangan umat Islam. Hal ini kerana setiap umat Islam bertanggungjawab atas segala ucapannya dan diperhitungkan semua ucapan tersebut oleh Allah SWT. [14]

PENUTUP

Berdasarkan huraian diatas, debat yang terpuji berlaku apabila debat menjaga tujuan yang baik untuk mendapatkan kebenaran, diiringi pula dengan kaedah dan budi bahasa yang betul, maka terbukti akan melahirkan rumusan-rumusan baru yang memberi kebaikan kepada masyarakat. Kemudian, debat yang terpuji seperti ini dapat memperkaya khazanah keilmuan dan memperkukuh peradaban.

Adapun debat yang tercela adalah debat yang bercampur baur dengan tujuan yang tidak baik. Perkara ini sudah tentu tidak akan menghasilkan sesuatu yang positif antara kedua-dua belah pihak yang berselisih pendapat. Perdebatan tersebut hanya akan mendorong pihak-pihak yang berselisih untuk saling menekan dan memancing emosi pihak lawan bagi mencari kemenangan, bukan kebenaran. Kedua-dua belah pihak tidak akan objektif dalam memberikan berhujah, sehingga kebenaran menjadi kabur dan kebatilan diolah supaya dilihat sebagai sesuatu yang hak.

Oleh itu, umat Islam digalakan untuk mengikuti debat yang terpuji dan meninggalkan debat yang tercela. Umat Islam juga disarankan untuk tidak berpecah belah dengan kekeliruan dalam pendekatan keras terhadap isu khilafiyyah seperti memerangi bidaah sehingga tidak menghormati khilaf mazhab-mazhab muktabar. Menjadi keutamaan bagi umat Islam untuk memelihara perpaduan berbanding perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam yang berpegang dengan manhaj Ahli Sunnah Waljamaah.

WallahuA’lam.

 

Rujukan:

[1] Al-Jurjani, ‘Ali ibn Muhammad al-Sharif, Kitab al-Ta‘rifat, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1983), 74. Teks asal:

هو القياس المؤلف من المشهورات والمسلمات .والغرض منه إلزام الخصم وإقحام من هو قاصر عن إدراك مقدمات البرهان.

BACA:  Hukum Menolak Permohonan Maaf Seseorang. Adakah Kita Berdosa?

دفع المرء خصمه عن إفساد قوله : بحجة ، أو شبهة ، أو يقصد به تصحيح كلامه ، وهو الخصومة في الحقيقة

[2] al-Juwainī, Imām al-Ḥaramain, al-Kāfiah Fī al-Jadal, (Kaherah: Maṭba’ah ‘Iīsa al-Bābī al-Ḥalabī wa Sharikāh, 1979M -1399H)51. Teks asal:

توضيح للجدل المذموم والجدل المحمود

[3] Al-Mawardi, ‘Ali bin Muhammad, Al-Nukat wa Al-‘Uyun Tafsir Al-Mawardi, (Beirut: Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, t.th.). Teks asal:

فيه أربعة أوجه: أحدها: يعني بالعفو. الثاني :بأن توقظ القلوب ولا تسفه العقول. الثالث :بأن ترشد الخلف ولا تذم السلف. الرابع: على قدر ما يحتملون

[4] Ar-Rāzī, Muḥammad Ibn ʿUmar Fakhr ad-Dīn, Al-Tafsir al-Kabir aw Mafatih al-Ghayb, (Beirut: Dar al-Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 1420 H), 5: 320. Teks asal:

والجدل الممدوح على الجدل في تقرير الحق ودعوة الخلق إلى سبيل الله ، والذب عن دين الله

[5] Al- Maydānī, Abd al-Raḥmān Ḥabannakah, Al-Ḥaḍārah al-Islāmīyah: Ususuhā wa Wasāiluhā wa Suwar min tatbiqati al-Muslimayna lahā wa-lamḥāt min ta’thīruha fī sāiri al-umami, (Damsyik: Dar al-Qalam, 1998), 365. Teks asal:

تشمل بعمومها الأساليب الفكرية والقولية، وبهذا يتبين لنا أن المطلوب من المسلم أن يكون في مجادلته على حالة هي أرقى وأحسن باستمرار من الحالة التي يكون عليها من يجادله، أدبًا وتهذيبًا، أو قولًا وفكرًا

[6] Ibn ‘Asakir al-Damsyiqi, Tabyin Kazib al-Muftari, (Damsyiq: Dar al-Fikr, t.th), 15. Teks asal:

ففي مثل هذه الظروف الحرجة غار الامام ابو الحسن الاشعري رضي الله عنه على ما حل بالمسلمين من ضروب النكال وقام لنصرة السنة وقمع البدعة فسمى اولا للاصلاح بين الفريقين من الامة بارجاعهما عن تطرفهما الى الوسط العدل

[7] Ibid. Teks asal:

قائلا” للاولين انتم على الحق اذا كنتم تريدون بخلق القرآن اللفظ والتلاوة والرسم

[8] Ibid. Teks asal:

وللآخرين انتم مصيبون اذا كان مقصودكم بالقديم الصفة القائمة بذات الباري غير البائنة منه

[9] Al-Bayḍāwī, ‘Abd Allāh ibn ‘Umar, Tuḥfat al-abrār sharḥ Maṣābīḥ al-Sunnah, (Wizarah al-Awqaf wa al-Shu’un al-Islamiyyah, 2012), 1: 142. Teks asal:

المراد بهذا ” الجدل “: العناد والمراء والتعصب , لترويج مذاهبهم وآراء شيوخهم , من غير أن يكون لهم نصرة على ما هو عليه الحق , وذلك محرم

[10] Al-Manawi, Muhammad ‘Abdul Rauf, Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir, (Kaherah: Maktabah al- Tijariah al-Kubra, 1356 H), 5: 453. Teks asal:

وقال القاضي: المراد التعصب لترويج المذاهب الكاسدة والعقائد الزائفة لا المناظرة لإظهار الحق واستكشاف الحال واستعلام ما ليس معلوما عنده أو تعليم غيره ما عنده

[11] Ar-Rāzī, Muḥammad Ibn ʿUmar Fakhr ad-Dīn, Al-Tafsir al-Kabir aw Mafatih al-Ghayb, (Beirut: Dar al-Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 1420 H), 5: 320. Teks asal:

فنحمل الجدل المذموم على الجدل في تقرير الباطل ، وطلب المال والجاه

[12] Al-Ghazālī, Abī Ḥamīd Muḥammad bin Muhammad, ‘Ihya’ ‘Ulum al-Din, (Beirut: Dār al-Ma’rifah, t.th.), 3: 118. Teks asal:

وَلَا تَنْفَكُّ الْمُمَارَاةُ عَنِ الْإِيذَاءِ وَتَهْيِيجِ الْغَضَبِ وَحَمْلِ الْمُعْتَرَضِ عَلَيْهِ عَلَى أَنْ يَعُودَ فَيَنْصُرَ كَلَامَهُ بِمَا يُمْكِنُهُ مِنْ حَقٍّ أَوْ بَاطِلٍ وَيَقْدَحَ فِي قَائِلِهِ بِكُلِّ مَا يُتَصَوَّرُ لَهُ

[13] Abdullah Ibn Alawi Al-Haddad, Risalah Al-Muawanah Wal Muzaharah Wal Muzakirah, (Dar al-Hawi Li Tibaah wa Nasyar, 1414 H), 36. Teks asal:

وعليك بالحذر من المراء والجدال فإنهما يوغران الصدور ويوحشان القلوب ويولِّدان العداوة والبغضاء

[14] Murtaḍa al-Zabīdī, Ittiḥāf al-Sādah al-Muttaqīn (Beirut: Dar al-Kutub Ilmiyyah, 2002), 9: 173. Teks asal:

وقال محمد بن واسع : رأيت صفوان ابن محرز في المسجد وقريباً منه ناس يتجادلون فرأيته قام فنفض ثيابه وقال : إنما أنتم حرب، وسمع الربيع بن خثيم رجلاً يلاحي رجلاً فقال مه! لا تلفظ إلا بخير ولا تقل لأخيك إلا ما تحب أن تسمعه من غيرك فإن العبد مسؤول عن لفظه محصي عليه ذلك كله أحصاه الله تعالى

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.