≡ Menu

Beribadah Sehingga Mengancam Nyawa, Itu Bukan Saranan Islam

Isu keagamaan menjadi antara topik perbahasan penting kerana berlaku pengubahsuaian dari segi praktisnya sejak penularan wabak COVID-19.

Tambahan pula, terdapat kemunculan beberapa kluster keagamaan akhir-akhir ini. Antara terkini, penularan berpunca daripada aktiviti tarawih dan moreh pada Ramadan lalu.

Umum mengetahui aktiviti keagamaan membabitkan perhimpunan, interaksi rapat, sentuhan fizikal dan perjumpaan langsung. Dalam Islam contohnya, jemaah perlu merapatkan saf ketika solat. Kewajipan solat Jumaat pula secara tradisinya mensyaratkan 40 jemaah untuk dilaksanakan di satu-satu tempat.

Begitu juga, bersalaman sambil berselawat adalah amalan mulia sejak zaman-berzaman. Semua aktiviti keagamaan mengikut prinsip asalnya menjadi lambang perpaduan umat.

Namun, kelaziman itu perlu dihentikan sementara ataupun mungkin diubah suai bentuknya demi mengekang penularan virus berbahaya ini. Semua rakyat seharusnya sedar bahawa penularan virus ini masih belum berakhir, malah angka kes terbaru semakin meningkat saban hari.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Langkah berhati-hati masih perlu diambil semua lapisan masyarakat. Prosedur operasi standard (SOP) mesti dipatuhi di semua tempat awam, termasuklah tempat keagamaan.

Bersalaman masih perlu dielakkan, walaupun dengan sahabat rapat dan saudara-mara. Sekiranya mendapat kelonggaran untuk menjadi jemaah, pastikan pelitup muka sentiasa dipakai serta penjarakan fizikal kekal dijaga.

Jika ditetapkan larangan untuk mengadakan sebarang aktiviti buat sementara waktu, semua rakyat perlulah akur dan tidak mengingkari keputusan itu. Begitu juga sekiranya ditetapkan jumlah jemaah pada satu-satu masjid dalam satu masa.

Penetapan had maksimum adalah untuk menyediakan ruangan mencukupi bagi memastikan penjarakan fizikal antara individu. Warga prihatin meyakini bahawa pihak berkuasa mengeluarkan arahan dengan asas dan pertimbangan yang kukuh.

Oleh itu, dalam menjalani kehidupan termasuklah ketika melaksanakan perintah agama, kebiasaan norma baharu perlu dilaksanakan semaksimum mungkin bagi mengekang penularan virus berbahaya ini daripada terus menular.

Islam tidak memberatkan umatnya untuk beribadah sehingga memudaratkan diri dan kesihatan. Malah, konsep Islam ‘La dharar wa la dhirar’, iaitu ‘tidak menyebabkan mudarat dan tidak memudaratkan orang lain’ menekankan prinsip mengelakkan permasalahan yang bakal berlaku, ataupun kemudaratan yang berisiko untuk terjadi.

Dengan keunikan Islam sebagai agama yang memelihara manfaat manusia, solat jemaah, tadarus serta majlis ilmu masih boleh diteruskan dan tidak terjejas sedikit pun fadilatnya sekiranya dilaksanakan bersama-sama ahli dalam satu rumah sahaja.

BACA:  5 Perkara Papa & Mama Patut Tahu Tentang Vaksin Pneumokokal Di Malaysia

Bahkan, mereka yang mengikut tatacara pengendalian pencegahan wabak ini diberikan keutamaan dan ganjaran oleh Allah SWT kerana keprihatinan mereka dalam menjaga diri.

Allah berfirman maksudnya: “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan” (Al-Baqarah: 195). Ayat ini menjelaskan bahawa menjaga diri adalah perintah Allah.

Allah SWT melarang umat Islam daripada menjerumuskan diri kepada perkara membinasakan mereka. Lebih-lebih lagi, dalam keadaan pandemik yang berisiko untuk menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira usia, tahap kesihatan dan latar belakang.

Harapannya, fasa kehidupan yang mencabar ini mampu mendidik semua umat Islam untuk menguatkan rasa tawakal kepada Allah, menggiatkan lagi doa supaya dibebaskan daripada wabak berbahaya serta melatih sifat sabar dalam diri semua.

Semoga dengan kesabaran yang kuat ini mampu mengembalikan suasana solat jemaah, tadarus, saling bersalaman serta kemeriahan menjalankan aktiviti keagamaan seperti sebelum ini.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.