≡ Menu

Beriman Kepada Allah, Yakinlah Allah Itu Maha Suci Dari Segala Kekurangan

Seseorang yang beriman kepada Allah dan menghayati al-Quran dan as-Sunnah apabila dikhabarkan mengenai sifat Allah (dengan keheningan hati yang murni) pasti akan dapat menanggapi keagungan Allah SWT yang Maha Sempurna.

Allah sesekali tidak bersifat dengan sebarang sifat kekurangan. Bahkan mereka yang berakal sejahtera, waras dan cerdas, pasti mengetahui bahawa mustahil bagi Allah bersifat dengan kejisiman ataupun bersifat dengan kelaziman jisim seperti berbentuk, berukuran dan bertempat. Bahkan terlalu banyak ayat suci al-Quran menafikan kejisiman bagi Allah secara jelas.

(i) Dalil pertama

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah: “Dialah Allah yang Maha Esa. (1) Allah adalah tempat tumpuan segala sesuatu. (2) Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan (3) Dan tidak ada sesuatu pun yang setara dengan-Nya.” (Surah Al-Ikhlas: 1-4)

Menurut Imam Fakh ar-Razi ayat ini diturunkan apabila terdapat sebilangan Yahudi atau musyrikin bertanya kepada Nabi mengenai zat dan sifat-sifat Allah.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Adakah Allah diperbuat daripada emas atau tembaga atau lain-lain? Maka turunlah surah Al-Ikhlas ini. (Rujuk Asas At-Taqdis m/s 30)

Imam Fakhruddin al-Razi (544-606H) seterusnya berkata: “Ayat ini semestinya ayat muhkamat (jelas maknanya) bukan mutasyabihat (kesamaran maknanya) kerana Allah menurunkannya sebagai jawapan kepada soalan mutasyabihat (kesamaran: iaitu pertanyaan tentang sifat Allah yang kesamaran bagi orang yang bertanya). Oleh yang demikian jelas terbukti bahawa setiap fahaman yang bercanggah dengan surah ini adalah fahaman yang batil.”

Katanya lagi: “Sesungguhnya perkataan Ahad (Maha Esa) dalam ayat ini menafikan sifat-sifat kejisiman dan menafikan sifat mengambil ruang dan tempat. Ia dijadikan dalil bagi menafikan kejisiman kerana jisim itu sekurang-kurangnya apa yang tercantum daripada dua jauhar, yang mana dua jauhar tersebut menafikan wahdah (keesaan Allah) yang mutlak.” (Asas At-Taqdis m/s 31)

Imam Al-Baihaqi (458H) berkata ketika mensyarahkan perkataan ‘Ahad’ dalam ayat ini: “Allah tidak berjuzuk-juzuk dan tidak ada batasannya.” (Al-Asma’ wa As-Sifat: m/s 45)

Kesimpulannya, jika Allah mempunyai anggota dan sifat-sifat keanggotaan seperti tangan, kaki, wajah dan lain-lain, nescaya ketika ditanya mengenai sifat-sifat Allah, Allah SWT akan menyebut mengenai sifat kejisiman yang merupakan antara sifat sesuatu zat yang terpenting.

BACA:  Hilangkan Santau & Sihir Dengan Rawatan Alternatif Air Kelapa

Namun, Allah SWT tidak menjelaskannya sama sekali melalui surah al-Ikhlas.

Sebaliknya ayat ini diturunkan untuk menjawab kekeliruan mengenai sifat-sifat Allah secara jelas, sekali gus menafikan kejisiman bagi Allah itu sendiri.

ii) Dalil kedua

Allah SWT menceritakan kisah Nabi Musa AS dengan Fir’aun: Maksudnya: “Fir’aun bertanya: “Dan apakah tuhan semesta alam itu?” (23) Musa menjawab: “Allah pencipta langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara keduanya (Itulah Tuhanmu) jika kamu sekalian (orang-orang) mempercayai-Nya.” (Surah As-Syu’ara: 23-24)

Fir’aun ketika bertanya dengan soalan yangbermaksud: “Apakah Tuhan semesta alam itu,” sebenarnya ingin bertanyakan tentang ciri-ciri ataupun hakikat zat Allah kepada Nabi Musa AS.

Imam Fakhruddin Al-Razi berkata: “Nabi Musa ketika ditanya tentang sifat Allah dalam ayat tersebut tidak menjawab tentang sifat atau zat-Nya sebaliknya menjawab tentang perbuatan Allah iaitu yang Maha Pencipta dan yang Maha Mentadbir. Ia merupakan dalil terkuat menunjukkan bahawa Allah SWT tidak berjisim dan tidak bertempat. Ada pun lafaz maksudnya

‘Apa’ adalah soalan mengenai mahiyyah atau hakikat sesuatu.

Kalau Allah SWT mengambil ruang (berjisim dan bertempat) sudah tentu jawapan bagi soalan terbabit adalah memberitahu mengenai keadaan zat Allah (yang bersifat kejisiman) lebih utama daripada memberitahu mengenai perbuatan Allah SWT” (Asas At-Taqdis: 32)

Maknanya jika zat Allah SWT bersifat dengan anggota badan seperti bertangan, bermata, berkaki dan lain-lain seperti yang difahami oleh mereka yang jahil mengenai nas-nas mutasyabihat pasti Nabi Musa AS akan menjawab mengenai sifat-sifat anggota tubuh bagi zat Allah SWT.

Ini kerana ia lebih dekat kepada maksud soalan yang dikehendaki Fir’aun.

Disebabkan Nabi Musa AS tahu mengeani hakikat sifat dan zat Allah yang tidak berjisim, tidak beranggota, tidak berbentuk dan lain-lain maka Nabi Musa AS diperintahkan oleh Allah SWT menjelaskan mengenai perbuatan Allah.

iii) Dalil ketiga

BACA:  3 Amalan Yang Menempatkan Kita Di Syurga. Amalkan Dengan Penuh Tawadhuk

Firman Allah maksudnya: “Tidak ada sesuatu pun yang serupa denganNya, dan Dia-lah yang Maha mendengar dan Maha Melihat.” (Surah Syura: 11)

Ayat ini secara jelas menafikan persamaan Allah dengan makhluk-Nya dalam segenap sudut termasuk sudut kejisiman seseorang hamba.

Sebarang persamaan ataupun sesuatu yang membawa kepada kelaziman yang menyamakan Allah SWT dengan sifat makhluk-Nya bererti ia sesuatu yang mustahil bagi Allah.

Ini suatu asas yang kukuh kerana ia selaras dengan surah al-Ikhlas (ayat keempat) yang menjadi tunjang aqidah Islam berkait dengan sifat-sifat ketuhanan Allah SWT.

iv) Dalil keempat

Allah SWT berfirman ketika menceritakan mengenai kesyirikan kaum Nabi Musa AS: “Dan kaum Musa, setelah kepergian Musa ke gunung Thur mereka membuat daripada perhiasan-perhiasan (emas) mereka anak lembu yang berjasad dan bersuara. Apakah mereka tidak mengetahui bahawa anak lembu itu tidak dapat berbicara dengan mereka dan tidak dapat (pula) menunjukkan jalan kepada mereka? Mereka menjadikannya (sebagai sembahan) dan mereka adalah orang-orang yang zalim.” (Surah al-A’raaf: 148)

Ayat ini menjelaskan mengenai kejahilan kaum Nabi Musa AS yang menjadikan berhala anak lembu sebagai tuhan. Sedangkan anak lembu terbabit mempunyai sifat makhluk.

Ia sesuatu yang tidak layak bagi Allah seperti berjasad dan bersuara. Ayat ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa Allah SWT menafikan kejisiman bagi-Nya kerana sifat kejisiman, kejasadan dan lain-lain merupakan sifat makhluk dan berhala.

Sedangkan Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Suci daripada sebarang kekurangan.

Dalam ayat di atas juga Allah mencela orang yang menjadikan berhala anak lembu yang berjasad sebagai tuhan kerana kejahilan mereka terhadap sifat keagungan Allah yang tidak berjasad mahupun tidak berjisim.

Ada pun matlamat Allah menyebut: ‘berjasad dan bersuara’ itu untuk membuktikan kepada kita bahawa mustahil Allah bersifat dengan jasad dan suara. Jelas sekali bahawa ayat ini boleh dijadikan dalil untuk menafikan kelaziman jisim bagi Allah SWT.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.