≡ Menu

Berkepit Dengan Gajet, Bergelumang Dengan Dosa Atau Pahala? Pilihan Di Tangan Kita

Apa yang akan terjadi pada akhir zaman dikhabarkan secara terperinci oleh Nabi SAW, baik secara terang mahupun secara isyarat. Antara yang menarik, terdapat sebuah hadis yang menggambarkan situasi dunia komunikasi dan informasi pada hari ini.

Daripada Abdullah bin Amru RA dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Antara tanda dekatnya hari kiamat ialah orang yang jahat akan diangkat, orang yang baik akan dihina, percakapan akan bebas dibuka, amalan akan disimpan dan akan dibacakan kepada kalangan kaum itu ‘al-mathnah’ serta tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang mengingkarinya”. Ada yang bertanya: “Apakah dia al-mathnah itu?” Jawab baginda: “Sesuatu yang dituliskan selain kitab Allah azza wajalla.” Riwayat al-Tabarani dan al-Hakim, katanya: Sahih

Frasa ‘percakapan akan bebas dibuka’ jelas merujuk kepada kebebasan komunikasi tanpa sempadan melalui sistem internet yang dapat diakses oleh pelbagai peranti canggih dan telefon pintar pada masa kini. Maka, tidak hairanlah jika manusia akan lebih banyak membaca apa yang dihidangkan oleh alat komunikasi itu berbanding membaca al-Quran. Lantaran itulah amalan mereka berkurangan atau lebih teruk lagi jika terus ditinggalkan.

Melaluinya juga, pelbagai ideologi dan propaganda dapat disebarkan dengan mudah. Maka, tidak pelik sekiranya orang yang jahat akan diangkat, manakala orang yang baik akan dihina dan dipandang rendah.

Perkembangan teknologi komunikasi dan informasi serta penggunaannya yang cukup meluas di serata dunia kini amat jauh berbeza dengan beberapa dekad lalu. Ditambah dengan kemunculan pelbagai media sosial lebih merancakkan lagi komunikasi pelbagai hala. Akibat kemunculan pandemik Covid-19 juga menambahkan lagi kepentingannya dalam segala aspek kehidupan termasuk hal politik dan ekonomi. Bagaimanapun, penggunaan media sosial secara meluas tentu mempunyai kesan baik dan buruknya tersendiri.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Kesan daripada pandemik Covid-19 sebahagian besar proses pengajaran dan pembelajaran kini melalui pelbagai platform yang disediakan dalam talian. Begitu juga dalam aspek ilmu dan dakwah, masyarakat umum mula membiasakan diri dengan kuliah atau ceramah dalam talian sama ada secara langsung mahupun rakaman. Demikian juga dalam mengikuti seminar atau forum yang diadakan.

BACA:  Isteri Tuntut Fasakh Kerana Suami Ada AIDS. Adakah Islam Membenarkannya?

Peluang ini turut digunakan oleh ramai ahli agama untuk menyampaikan pengajian dan perkongsian ilmu. Budaya baharu ini secara umum adalah alternatif yang baik bagi menggantikan pelbagai program yang tidak dapat dilaksanakan secara biasa akibat penularan wabak. Ia adalah fenomena positif dalam proses untuk memastikan umat terus dipandu dan dibimbing dengan pedoman agama.

Apa yang membimbangkan, platform yang sama digunakan oleh sesetengah individu untuk mencetuskan sengketa, menggalakkan fitnah, memperlekehkan ahli ilmu dan ulama serta mendorong kepada gejala negatif seperti mengata, mencaci maki, berkata kesat dan sebagainya. Bahkan, gejala membidaahkan dan mengkafirkan pihak lain juga mula mendapat ruang.

Misalnya, sesetengah individu berkenaan mengkritik seorang demi seorang ahli agama atau ilmuwan yang dirasakan salah menurut kaca matanya. Adakah itu tindakan yang betul? Apatah lagi jika ia menyentuh aspek peribadi hingga menjatuhkan maruah dan mencalarkan imej orang yang dikritiknya. Apakah cara itu mampu memandaikan umat atau lebih merosakkan akhlak? Bukankah teguran yang boleh menyebabkan fitnah atau menjatuhkan aib seseorang perlu dilakukan secara tertutup?

BACA:  Kenapa Isteri Abu Lahab Digelar Pembawa Kayu Api Di Dalam Al-Quran? Nauzubillah

Ini jelas bukanlah cara yang ditunjukkan oleh agama walaupun ia mendakwa kononnya bagi mencari reda Allah SWT. Jika kritikannya adalah perkara disepakati oleh semua ulama pun tidak dibenarkan, apatah lagi jika hal itu hanya isu khilaf ulama yang patut kita berlapang dada dengannya.

Menghasut dan ‘memaksa’ orang lain untuk berpihak kepada pendiriannya dalam isu khilaf bukanlah budaya ilmiah yang bagus. Sedangkan hal sebegini, gelanggang yang sewajarnya ialah forum dan diskusi ilmiah yang lebih sesuai bagi mengemukakan hujah serta dalil masing-masing. Atau sekurang-kurangnya melalui polemik yang bertanggungjawab.

Dikhuatirkan, apa yang lebih diutamakan oleh sesetengah individu ini ialah memastikan pengikut (follower) mereka rasa tertarik dengan persembahan dan isi kandungan yang disampaikan tanpa mempedulikan terhadap respons kasar, biadab, celupar serta segala macam cacian dicoretkan dengan tangan mereka tanpa rasa berdosa.

Lebih berat lagi, ada yang jahil tanpa tahu hujung pangkal menokok tambah lagi perkara yang tidak wujud. Dia lupa bahawa hukumnya adalah haram dan berdosa. Walhal kita dilarang daripada mengatakan apa yang tidak diperkatakan oleh seseorang sekalipun dia orang yang kita benci.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.