
Ilmu tasawuf adalah satu ilmu untuk membersihkan hati seseorang hamba daripada segala kekotoran dan nafsu syahwat yang dikeji oleh syarak. Dan ilmu ini tidak asing lagi bagi umat Islam mengetahui dan mempelajarinya. Menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam untuk mempelajari dan mendalami ilmu ini seperti ilmu akidah dan fiqh yang di isyaratkan oleh Baginda Nabi Sallahu ‘Alaihi Wasallam di dalam hadis Jibril iaitu berkenaan dengan Islam, Iman dan Ihsan.
Menurut Imam Ibn Ajibah di dalam kitab Mi’raj at Tasawuf, ilmu tasawuf ini adalah ilmu yang dengannya dapat diketahui tentang cara untuk berjalan menuju ke hadrah Allah SWT (mendapat reda Allah), membersihkan hati daripada segala perkara yang keji dan menghiasi hati dengan pelbagai bentuk kebaikan. Apabila bicara berkenaan dengan ilmu tasawuf ini, pasti akan berkait dengan tarekat kerana kedua-dua ini saling lazim melazimi keduanya. Tarekat merupakan perjalanan rohani seseorang hamba untuk sampai kepada reda Allah SWT, manakala tasawuf itu merupakan natijah atau hasil daripada pengamalan tarekat.
Pengamalan tasawuf ini tidak dapat tidak mesti terikat dengan syariat kerana ia rukun utama bagi seseorang hamba untuk sampai kepada Allah SWT. Imam Junaid al Baghdadi merupakan seorang tokoh besar di dalam dunia tasawuf bahkan beliau merupakan imam besar yang menjadi pegangan dalam perjalanan kesufian ini, beliau berkata: “Jalan kami tarekat dengan al-Quran dan As-Sunnah”. Sheikh Najmuddin al Kubra menjelaskan tentang hubungan syariat dengan hakikat, bahawa syariat itu seperti kapal, tarekat seperti lautan dan hakikat itu seperti mutiara. Barangsiapa yang inginkan mutiara itu, maka hendaklah dia menaiki kapal, kemudian belayar menerus lautan tersebut. Maka barulah dia akan sampai kepada mutiara tersebut. Siapa yang meninggalkan perjalanan ini maka dia tidak akan sampai ke mutiara itu. Perumpamaan di atas menunjukkan bahawa tasawuf tidak dapat berpisah daripada syariat dan mempunyai hubungan yang begitu kuat di antara satu sama lain.
Ilmu syariat pula merupakan di antara salah satu cabang ilmu yang membicarakan berkenaan amal ibadah yang bersifat zahir. Manakala ilmu tasawuf ini membahaskan berkenaan dengan amal yang bersifat batin (hati). Kedua-dua ilmu ini saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain sepertimana yang telah di nyatakan hubungan syariat dan hakikat. Syeikh Zainuddin bin Abdul Aziz al Malibari menyebut di dalam kitab beliau Kifayatul Atqiya’, syariat itu adalah perintah yang Allah SWT telah memerintahkannya dan larangan yang telah Allah larang daripada melakukannya.
Kita tidak boleh memisahkan tarekat atau hakikat dengan syariat kerana tarekat itu sumbernya adalah syariat. Imam Ibn Abidin berkata tarekat itu adalah mengamalkan syariat. Syariat, tarekat dan hakikat ketiga-tiga ini saling lazim melazimi di antara satu sama lain. Syeikh Ali Jum’ah berkata di dalam kitab At Tariq Ila Allah, bahawa ulama Sufi meletakkan kaedah “Setiap hakikat yang bertentangan dengan syariat adalah zindiq.” Tasawuf yang tidak disertakan dengan syariat dan hukum-hakamnya merupakan satu kejahilan dan menjadikan seseorang itu sebagai orang yang zindiq.
Bagaimana seseorang itu ingin sampai kepada Allah dalam keadaan dia meninggalkan syariat. Syariat merupakan pintu untuk seorang hamba itu masuk ke dalam perjalanan rohani sehingga dia sampai kepada hadrat Allah SWT. Oleh kerana itu, Imam Zarruq menyebut di dalam kitab Qawaid at Tasawuf bahawa tidak ada tasawuf melainkan dengan fiqh kerana tidak akan diketahui hukum Allah melainkan dengannya (fiqh). Dan tidak ada fiqh melainkan dengan tasawuf kerana tidak ada satu amal melainkan dengan kejujuran dan tawajjuh kepada Allah SWT.

Sekiranya ada yang mendakwa dan mengajak kepada tasawuf tetapi meninggalkan atau mengenepikan syariat, maka jauhilah kelompok itu kerana tidak ada tasawuf yang berasingan dengan syariat. Walaubagaimanapun, sekiranya kita dapati bahawa ada individu atau sebahagian kelompok yang melakukan perkara yang bercanggah dengan syarak, tidak adil lah untuk kita menghukum semua kumpulan atas sebab perilaku dan perbuatan seorang individu atau sebahagiannya kerana kita tidak menafikan bahawa di dalam sebuah kumpulan itu, pasti ada yang melakukan kesilapan. Perlu kita teliti dengan baik sebelum kita meletakkan sesuatu hukum.
Oleh kerana itu, sebelum kita masuk ke dalam perjalanan rohani ini, selidik terlebih dahulu siapa guru yang akan membimbing supaya kita tidak tersalah memilihi. Perlunya berhati-hati dalam memilihi guru, terutamanya guru rohani yang akan membawa kita sampai kepada Allah SWT (reda-Nya). Imam Muhammad ibn Sirrin berkata: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama. Maka kamu lihatlah daripada siapa kamu ambil agamamu.”
Oleh yang demikian, alim ulama meletakkan garis panduan terhadap guru yang ingin menjadi pembimbing. Syeikh Amin al Kurdi, di dalam kitab Tanwirul Qulub, ada menyatakan syarat yang harus dipenuhi oleh seorang guru mursyid, antaranya ialah:
1. Mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup berkenaan dengan syariat dan akidah yang dapat memberi penjelasan apabila mereka bertanya kepadanya tentang masalah tersebut.
2. Mengetahui tentang perjalanan dan peranan hati serta mengenal penyakit hati dan cara-cara mengubatinya.
Di dalam kitab Haqaiq at Tasawuf, Syeikh Abdul Qadir Isa juga ada menyebut syarat bagi seorang guru mursyid, di antaranya ialah mendapat keizinan untuk membimbing daripada gurunya. Sekiranya guru mursyid itu tidak jelas sanadnya bersambung hingga ke Rasulullah SAW, maka jangan diambil sebagai guru pembimbing.
Konklusinya, perjalanan kerohanian seseorang hamba untuk sampai kepada reda Allah SWT ini tidak dapat tidak perlu selari dengan syariat agar perjalanan itu menjadi sempurna dan sampai kepada tujuan utama. Di samping itu, perlu memiliki guru mursyid yang berautoriti dalam bidang ini supaya proses pertarbiahan tidak terbantut kerana mereka mengetahui bagaimana mengubati penyakit batin sepertimana tahunya pakar perubatan tentang penyakit yang dialami oleh pesakitnya.
