قُلۡ إِنَّمَاۤ أَنَا۠ بَشَرࣱ مِّثۡلُكُمۡ یُوحَىٰۤ إِلَیَّ أَنَّمَاۤ إِلَـٰهُكُمۡ إِلَـٰهࣱ وَ ٰحِدࣱ فَٱسۡتَقِیمُوۤا۟ إِلَیۡهِ وَٱسۡتَغۡفِرُوهُۗ وَوَیۡلࣱ لِّلۡمُشۡرِكِینَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredaanNya), serta pohonlah kepadaNya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu). Dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain)” [Surah Fussilat 6]
Ayat ini memerintahkan untuk istiqamah disamping beristighfar (memohon ampun pada Allah).
Imam Ibnu Rajab berkata: “Di dalam firman Allah ‘maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus dan mohonlah ampun kepadaNya’, merupakan isyarat bahawa pasti terjadi kekurangan di dalam (menjalankan) istiqamah yang diperintahkan, maka diperbaiki dengan istighfar yang mengandungi taubat dan istiqamah (menuju jalan lurus)” (Lihat: Jami’ul Ulum wal-Hikam)
Ketika kita ingin berjalan di jalan yang lurus dan memenuhi tuntutan istiqamah, terkadang kita tergelincir dan tidak dapat istiqamah secara tetap dan berpanjangan. Lantas apa yang dapat menutupi kekurangan ini? Jawabnya ialah istighfar.
Ketahuilah bahawa manusia pasti memiliki kekurangan. Manusia tidak akan mampu melaksanakan agama ini secara menyeluruh dengan sempurna. Oleh kerana itulah Allah swt memerintahkan istighfar setelah memerintahkan kita istiqamah.
Firman Allah swt:
اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّاراً
“Beristighfarlah kamu semua kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia itu Maha Pengampun” [Surah Nuh 10]
Allah swt berfirman lagi:
فَإِنَّهُ كَانَ لِلْأَوَّابِينَ غَفُورًا
“Sesungguhnya Dia (Allah) itu Maha Pengampun terhadap golongan awwabeen (yang bertaubat)” [Surah al-Isra’ 25]
Diriwayatkan oleh Sayidina Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
“Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat” (HR Ibn Majah)
Sebagai insan pendosa dan lemah, nescaya akan ada kekurangan dalam fasa untuk kita istiqamah. Maka istighfar adalah pelengkap istiqamah. Maka perbanyakkanlah istighfar disamping istiqamah!!