≡ Menu

Beruntunglah Jika Kita Merasakan Rindu Untuk Melakukan Ibadat

ANTARA tanda-tanda seseorang mendapat kemanisan iman ialah apabila dia sangat senang dan cinta untuk melaksanakan ibadah kepada Allah SWT.

Melalui kemanisan iman, seseorang akan mempunyai sifat istiqamah dalam dirinya untuk kekal melakukan amalan ibadah serta sentiasa menunggu-nunggu dan rindu untuk melakukan ibadah seperti solat, puasa, membaca al-Quran, berzikir serta menjauhi perbuatan maksiat.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud “Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman: Siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul lebih daripada cintanya kepada yang lain, siapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah (dan bukan kerana suatu tujuan duniawi) dan ia membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (daripada kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan
ke dalam api neraka.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sebaliknya tanpa kemanisan iman, seseorang tidak lagi merasai nikmat keindahan dalam melakukan ibadah.

Sebagai contoh, jika sebelum ini solat yang didirikan membuatkan dirinya tenang dan lapang namun amalan terbabit seolah-olah sudah tidak begitu berbekas dalam hati malah seperti kosong dan sepi.

Sebagai Muslim, kita amat beruntung jika dapat menyedari berkurangnya kemanisan dalam beribadah supaya ia menjadi hikmah untuk kita bermuhasabah dan mencari jalan untuk memperbaiki hubungan dengan Allah.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Terdapat beberapa tip untuk kita mengekalkan nikmat beribadah seperti berusaha bersungguh-sungguh untuk mentaati perintah Allah, menjauhkan diri daripada dosa, menjadi manusia yang berakhlak mulia, menjadikan ibadah sebagai jalan mendekati Allah dan meyakini bahawa ibadah itu bernilai sama ada di dunia mahupun di akhirat.

BACA:  Polis Masih Belum Dapat Maklumat Acap Ditemui

Selain itu, kemanisan dalam beribadah juga diperoleh melalui cara menjauhi sifat mengejar reda manusia semata-mata, menjauhi teman yang fasik serta meninggalkan sifat mencari kesenangan dunia semata-mata.

Kemanisan iman bermaksud kita dapat merasai kelazatan dalam beribadah, melaksanakan ketaatan kepada Allah, menuruti ajaran Rasulullah dan berkemampuan menghadapi kesulitan serta mengutamakan agama daripada hal keduniaan.

Sebagai hamba Allah, kita berkewajipan melaksanakan amalan yang boleh mendekatkan diri dengan Allah seperti solat, zikir dan membaca al-Quran.

Amalan itu seharusnya dapat mengingatkan kita kepada Allah pada setiap masa dan ketika.

Ia tidak wajar hanya menjadi amalan kebiasaan semata-mata, tetapi mestilah dapat meninggalkan kesan dalam seluruh aspek kehidupan sehingga merubah akhlak dan pemikiran selaras dengan tuntutan syariat.

Kita perlu bermuhasabah sama ada kelaziman melakukan ibadah misalnya menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau adalah sekadar rutin biasa yang tidak memberi sebarang rasa kemanisan beribadah atau memberi impak dalam kehidupan sebagai Muslim.

Apabila seseorang merasakan kemanisan dalam beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah, ia adalah petanda bahawa dia mengingati Allah dan Allah juga mengingatinya.

Seseorang yang merasai kemanisan beribadah akan merasakan kerinduan yang tinggi apabila leka dan alpa daripada menunaikan amalan ibadah kepada Allah.

Dia akan bersegera menunaikan amalan berkenaan dan timbul rasa penyesalan yang tinggi apabila tertinggal melaksanakannya kerana kesibukan atau sebab lain.

BACA:  Ketahui Cermin Cermin Akhlak Yang Terpuji Dalam Keluarga

Pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) baru-baru ini memberikan kelonggaran kepada beberapa perkara dalam hal ini termasuk kapasiti jemaah dan kebenaran mengadakan kuliah Subuh dan Maghrib di masjid, surau Jumaat dan surau di zon hijau khususnya di Wilayah Persekutuan.

Hari pertama pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) PKPP berkaitan perkara ini menyaksikan keterujaan orang ramai untuk kembali menunaikan solat Jumaat dengan mematuhi segala panduan ditetapkan.

Perdana Menteri Malaysia juga mendapat gambaran positif berkaitan pematuhan SOP ini apabila beliau berpeluang menyertai solat Jumaat di Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara.

Allah berfirman yang bermaksud, “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat berkenaan) maka diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Taubah ayat 18)

Ayat ini menjelaskan betapa besarnya keutamaan memakmurkan masjid yang didirikan kerana Allah dan perbuatan terpuji ini adalah bukti benarnya iman dalam hati seorang hamba.

Semoga Allah sentiasa memelihara hati kita semua supaya berterusan merindui untuk melaksanakan amal ibadah dan mengimarahkan masjid dan surau pada setiap masa serta merasai kemanisan iman dalam beribadah sepanjang kehidupan.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.