Doa Yang Diaminkan Malaikat
Dalam hidup ini, kita amat memerlukan orang lain bersama dengan kita. Selain daripada ahli keluarga dan saudara mara, kita juga memerlukan sahabat dan jiran tetangga dalam bersama membina kehidupan yang harmoni dan sejahtera.
Muslim sesama Muslim adalah bersaudara. Saling berbuat baik, bertolong bantu dan bekerjasama dalam kehidupan ini amat dituntut. Antara kebaikan yang boleh dilakukan ialah mendoakan sesuatu yang baik untuk orang lain. Doa seorang muslim untuk saudara sesama muslim dari jauh tanpa diketahui olehnya akan diaminkan oleh Malaikat malah Malaikat juga mendoakan yang sama buat orang yang mendoakan. Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ أَبِي الزُّبَيْرِ عَنْ صَفْوَانَ وَهُوَ ابْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ صَفْوَانَ وَكَانَتْ تَحْتَهُ الدَّرْدَاءُ قَالَ قَدِمْتُ الشَّامَ فَأَتَيْتُ أَبَا الدَّرْدَاءِ فِي مَنْزِلِهِ فَلَمْ أَجِدْهُ وَوَجَدْتُ أُمَّ الدَّرْدَاءِ فَقَالَتْ أَتُرِيدُ الْحَجَّ الْعَامَ فَقُلْتُ نَعَمْ قَالَتْ فَادْعُ اللَّهَ لَنَا بِخَيْرٍ فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لِأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
Daripada Abu al-Zubayr dari Safwān, iaitu anak ‘Abd Allāh b. Safwān, isterinya bernama al-Dardā’, katanya: “Saya datang ke Sham dan mendatangi Abū al-Dardā’ di rumahnya. Tapi saya tidak menemuinya. Saya bertemu dengan Umm al-Dardā’. Lalu dia bertanya: “Apakah kamu akan pergi menunaikan haji pada tahun ini”. Saya jawab: “Ya”.
Ummu Darda’ berkata; ‘Mohonkanlah kepada Allah kebaikan untuk kami, kerana Rasulullah SAW telah bersabda: ‘Doa seorang muslim untuk saudaranya sesama muslim dari kejauhan tanpa diketahui olehnya akan dikabulkan. Di atas kepalanya ada malaikat yang telah diutus, dan setiap kali ia berdoa untuk kebaikan, maka malaikat yang diutus tersebut akan mengucapkan ‘Amin dan kamu juga akan mendapatkan seperti itu. (HR Muslim No: 4914) Status: Hadis Sahih
Orang yang mendoakan saudara tanpa diketahui oleh saudara tersebut, akan dikabulkan. Malah di atas kepala orang yang berdoa itu ada malaikat yang telah diutus untuk mengucapkan ‘Amin dan juga mendoakan yang sama untuknya.
Marilah kita mendoakan kebaikan buat sahabat dan saudara kita khususnya saudara kita yang sedang ditimpa musibah seperti di Pakistan akibat banjir, di Palestin yang berjuang menghadapi Yahudi. Jangan lupa sahabat dan saudara kita di Malaysia agar dikurniakan kekuatan untuk membina Negara Malaysia yang Rahmah dan Sejahtera.