Beruntungnya Orang Beriman Didoakan Malaikat
Firman Allah SWT
﴿الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ
(Malaikat-malaikat) yang memikul ‘Arsy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): “Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari siksaan neraka yang menyala-nyala
Pengajaran
1. Malaikat yang memikul ‘Arasy dan para malaikat yang ada di sekelilingnya sentiasa menyucikan Allah, mengucapkan syukur atas nikmat-Nya.
2. Para malaikat memohonkan keampunan bagi orang yang mengakui keesaan dan kesucian Allah dari sembahan selain-Nya.
3. Malaikat juga memintakan keampunan kepada Allah bagi orang-orang yang bertaubat, serta menghentikan perbuatan dosa dan maksiat yang telah dilakukan.
4. Malaikat juga memohon agar orang-orang mukmin itu dilindungi dari siksa neraka Jahanam.
5. Ada beberapa golongan yang malaikat mendoakan mereka, iaitu orang yang bersedekah, orang yang menunggu waktu solat, golongan yang mengajar kebaikan dan orang yang menziarah kerana Allah.
a)Orang yang bersedekah akan menerima doa daripada para malaikat. Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari:
“Tiada satu pagi yang datang melainkan diutuskan dua malaikat dan salah satu malaikat tersebut berdoa: Wahai Tuhanku, berilah pemberi sedekah gantian (yang lebih baik).”
b) Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Tirmizi:
“Sesungguhnya para malaikat mendoakan ke atas mereka yang menunggu solat di tempat solatnya selagi mana dia berada dalam keadaan suci. Doa malaikat: Ya ALLAH ampunkanlah dirinya dan rahmatilah dirinya.”
c) Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Tirmizi:
“Sesungguhnya ALLAH dan para malaikat-Nya serta ahli langit dan bumi sehinggakan semut dalam batu dan ikan di lautan mendoakan orang yang mengajarkan kebaikan.”
d) Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Tirmizi:
“Sesiapa yang melawat orang yang sakit atau menziarahi saudaranya kerana ALLAH maka nanti akan diseru dengan kata-kata: engkau akan dapat kebaikan, perjalanan engkau akan dipermudahkan dan akan disediakan tempat untuk kau di syurga.”
6. Ayuh, mari kita membanyakkan memohon keampunan pada bulan mulia ini agar kita termasuk golongan yang didoakan malaikat agar dimasukkan ke dalam syurga serta dijauhkan dari azab api neraka.