قَالَ رَبِّ ٱغۡفِرۡ لِی وَلِأَخِی وَأَدۡخِلۡنَا فِی رَحۡمَتِكَۖ وَأَنتَ أَرۡحَمُ ٱلرَّ ٰحِمِینَ
Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku, dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, kerana Engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani dari segala yang lain mengasihani” [Surah al-A`raf 151]
Sambung bicara tentang kasih sayang Allah swt. Ketahuilah bahawa Allah swt Tuhan Yang Maha Menyayangi, Maha Mengasihani.
Oleh itu, kita perlu berusaha untuk menjadi hamba yang dikasihiNya.
Bagaimana untuk mendapat cinta dan kasih Allah swt?
1. Jadilah hambaNya yang bertaqwa. FirmanNya:
فَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ
“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaqwa” [Surah Aali Imran 76]
2. Jadilah hambaNya yang sabar. FirmanNya:
وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ
“Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar” [Surah Aali Imran 146]
3. Jadilah hambaNya yang bertaubat. FirmanNya:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri” [Surah al-Baqarah 222]
Ini diantara hamba-hamba yang dicintai Allah swt. Maka kita kena pastikan tergolong di kalangan manusia yang dicintai Allah.
Apa kelebihan dan keistimewaan yang diperolehi apabila seseorang itu dicintai Allah??
1. Beroleh kecintaan Allah, para Malaikat dan seluruh makhluk.
Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda:
إِذَا أَحَبَّ اللَّهُ العَبْدَ نَادَى جِبْرِيلَ: إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلاَنًا فَأَحْبِبْهُ، فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ، فَيُنَادِي جِبْرِيلُ فِي أَهْلِ السَّمَاءِ: إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلاَنًا فَأَحِبُّوهُ، فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ، ثُمَّ يُوضَعُ لَهُ القَبُولُ فِي الأَرْضِ
“Apabila Allah mencintai seorang hambaNya, Dia memanggil Jibril dan berkata: “Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah dia”. Jibril pun mencintai hamba tersebut dan menyeru kepada penduduk langit: “Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah dia!”. Maka seluruh penduduk langit mencintai hamba tersebut, sehingga orang itu pun diterima oleh seluruh penduduk di bumi” (HR al-Bukhari)
2. Tatkala Allah swt mencintai hambaNya, maka Allah swt mengumumkan perang kepada sesiapa sahaja yang membenci kekasihNya.
Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda:
إِنَّ اللَّهَ قَالَ: مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالحَرْبِ، وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ، وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ
Allah swt berfirman: “Siapa sahaja yang memusuhi kekasihKu, maka Aku mengumumkan perang kepadanya. Dan hambaKu tidaklah mendekatkan diri kepadaKu dengan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada (ibadah) yang telah Aku wajibkan. Jika hambaKu terus-menerus mendekatkan diriku dengan amalan sunnah, maka Aku mencintai dia” (HR al-Bukhari)
Semoga kita tergolong dikalangan manusia yang beroleh cinta daripada Allah swt. Aamiiin